Tuesday 25 December 2012

MS 1500

MS 1500 Standard Malaysia berkenaan Makanan Halal

PENDAHULUAN
Bismillah. Standard Malaysia bertajuk ‘Makanan Halal:Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan – Garis Panduan Umum (MS 1500:2004) telah dibangunkan di bawah Sistem Pembangunan Standard Malaysia yang di bawah tanggungjawab Jabatan Standard Malaysia (DSM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.  Pada umumnya, Jabatan Standard Malaysia (STANDARDS MALAYSIA) berperanan membangun dan mempromosikan penggunaan Malaysian Standards (MS). Dalam membangunkan MS  dan melaksanakan aktiviti standardisasi di peringkat antarabangsa, STANDARDS MALAYSIA bertanggungjawab dalam hal-hal berkaitan polisi dan strategi. STANDARDS MALAYSIA telah melantik SIRIM Berhad bagi menguruskan pelaksanaan di peringkat teknikal.

Standard Malaysia ini merupakan satu daripada lima inisiatif Kerajaan di dalam merealisasikan Malaysia sebagai pusat makanan Halal.  Lebih daripada 120 jawatankuasa teknikal dan kumpulan kerja telah ditubuhkan di bawah 24 Jawatankuasa Standard Perindustrian (ISC) untuk membangunkan Malaysian Standards (MS) MS 1500 ini dibangunkan oleh Jawatankuasa Standard Perindustrian Kebangsaan yang berkaitan dengan Halal (ISC I) yang mana telah diwakili oleh pelbagai organisasi termasukJAKIM yang merupakan Pengerusi kepada Jawatankuasa Teknikal yang berkaitan untuk gambaran menyeluruh sistem pembangunan standard di Malaysia dan kaitan ISC I di dalam sistem ini.

Skop standard ini mengandungi garis-garis panduan yang praktikal bagi industri makanan mengenai penyediaan dan pengendalian makanan Halal (termasuk penambah nutrien). Ia bertujuan menyediakan peraturan asas bagi produk makanan serta perdagangan atau perniagaan makanan di Malaysia. Ia akan digunakan oleh JAKIM sebagai asas untuk pensijilan tetapi akan ditambahkan dengan banyak keperluan yang lainnya bagi melengkapkan proses pensijilan.

Dokumen ini telah melalui proses yang diselaraskan kepada keperluan standard antarabangsa sebagai contoh; Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO), di mana sistem pembangunan standard antarabangsa adalah asas persetujuan semua pihak yang berkepentingan seperti Kerajaan, sektor swasta, NGO, penyelidik dan badan-badan profesional. Malaysia (DSM) menggunakan polisi ISO yang sama.


FORUM UMUM SEMAKAN KEDUA
Tanggal 3 Mac 2009, satu forum umum semakan kedua MS1500 telah diadakan di Dewan Bunga Tanjung, Kelab Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Forum ini adalah anjuran bersama Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) dan Jabatan Standard Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. SIRIM pula bertindak selaku pengurus forum tersebut. Semakan Kedua Standard ini sebenarnya telah dibuka untuk Public Comment sejak dari 1 Februari 2009 sehingga 31 Mac 2009

Semakan kedua Standard Malaysia ini telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Teknikal bagi Makanan Halal dan Barang Gunaan Islam dan ianya di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Standard Perindustrian Standard Halal. Dengan terbitnya Semakan Kedua Standard Malaysia ini, maka secara automatic ianya akan membatal dan menggantikan MS 1500:2004 yang digunapakai dan menjadi rujukan majoriti pengusaha makanan Halal bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Mengikut draf Malaysia standard yang telah dikeluarkan, beberapa perubahan telah dilakukan terhadap standard sebelum ini setelah disemak semula dan perubahan utama di dalam semakan ini adalah seperti berikut:

a) dua (2) definasi hukum syarak, dari sudut agama dan perundangan negara;
b) penambahan klausa-klausa dan sub-klausa berikut:
i. tanggungjawab pengurusan;
ii. premis;
iv. pembungkusan, perlabelan dan pengiklanan; dan
v. kaedah pneumatic stunning serta gambarajah tempat meletakkan pneumatic stunner pada haiwan.
c) pemansuhan kaedah penyembelihan dengan menggunakan pisau mekanikal; dan
d) secara keseluruhan, pengubahsuaian dan penambahbaikan pelbagai klausa –klausa untuk penerangan dan pemahaman yang lebih jelas;

Versi bahasa Malaysia ini adalah terjemahan daripada versi asal di dalam bahasa Inggeris iaitu MS 1500, Halal food - Production, preparation, handling and storage – General guidelines. Jika terdapat sebarang pertikaian semasa penggunaan standard ini, versi bahasa Inggeris adalah dirujuk.


PUBLIC COMMENT – REAKSI
 
Usaha dan inisiatif Jawatankuasa Teknikal bagi Makanan Halal dan Barang Gunaan Islam (sebelum ini dikenali Jawatankuasa Teknikal bagi Makanan Halal sahaja) wajar dipuji memandangkan ianya menunjukkan komitmen Kerajaan melalui Jawatankuasa ini untuk menambahbaik standard ini agar terus berkualiti dan relevan dengan peredaran masa. Dengan dibarisi oleh muka lama (yang terlibat dengan MS1500:2004) dan muka baru dalam jawatankuasa ini, ianya mampu menjadi sinergi untuk memastikan standard ini terus menjadi antara rujukan utama para pengusaha dan peniaga yang terlibat langsung dalam industri makanan Halal seantero dunia.

Menyedari tanggungjawab untuk sama-sama menambahbaik serba sedikit nilai MS1500:2009 ini, Jawatankuasa Pemantauan Halal dari satu syarikat pengusaha Bumiputera makanan Halal yang beroperasi di Selangor telah mengesyorkan agar perkara-perkara berikut diambil kira :

1.   Ketidakselarasan atau bercanggah dengan Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

1.1   Klausa 3.5.1.1.1 (h) haiwan Halal yang dipelihara dan diberi makan najis dengan sengaja dan berterusan;

Ulasan : Keputusan Jawatankuasa Muzakrah Majlis Fatwa ke 2 12/5/1981 perkara (ii) menyatakan bahawa makanan ayam yang diproses bahan-bahan bercampur dengan najis seperti darah lembu, darah babi dan lain-lain adalah harus atau Halal.

Terdapat makanan ayam menggunakan meat and bone meals (MBM), blood meal dan atau kalsium berasal haiwan di gunakan di dalam ransum makanan dalam kadar yang sedikit berbanding dengan kadar kacang soya dan jagung yang tinggi. Dengan memasukkan perkara ini sebagai syarat pengeluar daging ayam, akan memerlukan sijil Halal dari ladang ayam yang begitu banyak bilangan. Ini adalah tidak praktikal serta membazir waktu dan tenaga.

1.2   Lampiran A Jadual A1. dicadang untuk dikeluarkan dari standard oleh kerana:
a)    Tidak selaras dan ada yang bercanggah dengan perkara ii(b) Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan 29 September 2005;
b)    Tidak dinyatakan kekuatan voltan yang dipakai. Perlu lebih banyak data dari penyelidikan penggunaan kejutan elektrik untuk haiwan ternakan tempatan sebelum parameter terdapat dalam jadual boleh dan selamat dipakai;
c)    Lampiran A, perkara A3 : Penggunaan Pneumatic Percussive Stunnner telah dibenarkan oleh Muzakarah khas majlis Fatwa 13 Mac 2006. Dalam Fatwa ini tidak menyatakan tekanan udara maksimum 225 psi seperti dalam standard.

1.3   Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa bertarikh 29 September 2005 mengharamkan pengunaan penetrative dan non-penetrative captive bolt (mushroom head)(keputusan (i)). Manakala keputusan (ii) pula hanya kaedah kejutan elektrik sahaja dibenarkan.

Penetrative dan non-penetrative captive bolt dan pneumatic percussive stunner adalah merupakan jenis ketukan atau percussion stunner. Dari pengalaman kami semua, stunner jenis ketukan ini boleh menyebabkan kematian haiwan jika kuasanya tidak dikawal. Beza antara captive bolt dan pneumatic adalah kuasa yang diguna untuk menolak piston/ plunger keluar dari barrel alat tersebut. Captive bolt menggunakan catridge (selonsong) daya tolakan adalah dari letupan.

Terdapat beberapa jenis catridge mengikut kekuatan daya tolakan dan ditanda merah, kuning, coklat, dan hijau. Penggunaan captive bolt pernah dibenarkan oleh Majlis Fatwa dengan syarat sama seperti pneumatic diantaranya adalah dengan menggunakan mushroom head. Pneumatic stunner menggunakan tekanan udara untuk menolak piston. Kekuatan tekanan udara tersebut boleh dikawal.

Adalah dicadangkan supaya penggunaan stunning jenis percussion ini di semak semula dengan teliti dan komprehensif oleh jawatankuasa Teknikal dan di kemukakan semula kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya kekeliruan dapat diatasi sebelum dimasukan ke dalam standard

1.4   Mechanical slaughter
Kaedah penyembelihan diatas telah dikeluarkan dari draf sedangkan kaedah penyembelihan telah diputuskan harus oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke 48, 3 April 2000. Dengan mengeluarkan dari draf akan memberi interpretasi seolah-olah kaedah mekanikal ini tidak lagi dibenarkan atau diragukan.

Untuk pengetahuan Jawatankuasa Teknikal, kaedah penyebelihan ini diguna oleh rumah sembelih ayam di luar negara yang telah diluluskan untuk tujuan import oleh kerajaan Malaysia. Contohnya beberapa rumah sembelih ayam di Denmark telah diluluskan untuk produk Mechanised Deboned Meat (MDM) untuk tujuan import. Denmark adalah satu-satunya sumber MDM untuk pemerosesan sausage/frankfurter. Hampir semua syarikat pemerosesan Frankfurter di Malaysia memporoleh bahan mentah dari Denmark

2.   Keperluan ( Perkara 3)

Klausa 3 Keperluan hendaklah difokuskan dan dikhaskan untuk isu-isu syariah sahaja dan perkara yang tidak berkaitan dengan syariah seperti GMP, hygiene dan sistem kualiti (3.1-3.4,3.6 dan 3.7) dikeluarkan dari perkara 3. Isu-isu GMP dan sebagainya telah pun mempunyai peraturan serta perundangan dan dikuatkuasakan oleh jabatan atau agensi Kerajaan yang lebih kompeten yang ttidak dimasukkan kapada standard. Cukup dengan diberi rujukan sahaja. Kekeliruan dan isu timbul apabila badan pensijilan Halal mula menggunakan isu-isu GMP, hygiene untuk tidak mengeluarkan logo atau sijil Halal sedangkan loji pemprosesan adalah di dalam pengawasan jabatan atau agensi Kerajaan

3.   Standard Halal hendaklah menumpukan perkara syariah sahaja. Adalah didapati standard Halal berkaitan syariah tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Berikut adalah perkara/isu syariah yang perlu diambil tindakan;

3.1   Prosedur penyucian najis mughallazah. Prosedur ini perlu diteliti supaya ianya lebih jelas, sesuai dan praktikal bagi tujuan pembersihan alat atau bangunan supaya lebih berguna sebagai panduan oleh pihak industri. Juga mengambilkira pandangan yang lebih menyeluruh bagi kaedah pencucian seperti penggunaan bahan-bahan alternatif selain daripada tanah contohnya air panas, minyak panas atau api;

3.2   Panduan bagi penyucian najis muttawasitah hendaklah disediakan. Panduan tersebut lebih berguna dan lebih relevan. Misalnya di rumah penyembelihan, semasa proses penyembelihan, najis seperti darah dan isi perut (stomach/intestine content) sering mencemari daging terutama semasa proses mengeluarkan perut dan usus (eviceration). Penyucian najis muttawasitah lebih kerap dan banyak dilaksanakan dari samak;

3.3   Klausa 3.2.8 Jarak antara premis dan ladang babi diyatakan dengan jelas contohnya 200 meter atau 1 km atau mengikut kriteria kehendaki oleh syariah;

3.4   Klausa 3.2.9 ditambah satu ayat lagi berbunyi ‘ Jika sekiranya premis yang digunakan tidak dikhususkan sembelihan Halal sahaja, penyembelihan Halal secara berkala (time/product dedicated) dibenarkan tetapi hendaklah dikawal oleh Badan Islam yang diiktiraf oleh Pihak berkuasa Agama Islam Malaysia’;

3.5   Klausa 3.2.10 dikeluarkan dari standard atau sebagai alternatif ditambah satu ayat lagi berbunyi “ penyediaan karkas boleh dibuat di premis lain dengan syarat premis tersebut di kawalselia oleh Pihak berkuasa Agama Islam atau badan seumpamanya yang diiktiraf

3.6   Klausa 3.5 : Sumber makanan dan minuman Halal.

3.7   Klausa 3.5.1.1 Haiwan darat . Senarai a) hingga i) di keluarkan dan diganti dengan senarai haiwan Halal sahaja yang lazim dijadikan makanan manusia.Klausa 3.5.2 (f) Perkataan (Basmallah) diganti dengan perkataan (Tasmiah)

4.   Definisi
Klausa 2.1.1 Hukum Syarak definasi dipermudah supaya difahami semua dan tidak mendatangkan kekeliruan termasuk bukan Muslim.

Klausa 2.3 (e) tidak mengandungi mana-mana bahagian atau anggota manusia. Perkataan lain didalam ayat di mansuhkan.

5.   Klausa 4 Pematuhan : Ayat kedua di mansuhkan

6.   Klausa 5 Sijil Halal. Ayat ini tidak memberi apa-apa makna dan dimansuhkan

7.   Klausa 6 tidak dapat dikuatkuasakan dan bukan sebahagian dari standard dan hendaklah dimansuhkan

Memandangkan kepada perkara yang dibangkitkan adalah perkara dasar berkaitan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan untuk mengelakkan kekeliruan adalah dicadangkan draf semakan kedua ini disemak secara kritikal oleh individul yang arif di dalam syariah dan pakar teknikal yang berkaitan. Beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu dengan Majlis Fatwa supaya standard ini selari dan tidak bercanggah dengan Keputusan Fatwa.

KESIMPULAN
Dengan terbitnya MS1500:2009, ianya diharapkan akan mampu memacu industri makanan Halal tempatan untuk terus bersaing di persada di antarabangsa. Tiada gunanya andai kita mendabik dada mengatakan kitalah juara Halal yang terbaik namun hakikatnya negara lain terus maju ke hadapan meninggalkan kita dalam industri ini. Buat saudara-saudara seIslamku, betulkan niat untuk mencapai mardhatillah, perjuangan kita dalam industri Halal di dunia hari ini adalah untuk menyemai hasilnya di akhirat kelak. Industri yang menyediakan pulangan pendapatan beratus-ratus billion malah dikatakn mencapai trillion ini, sudah pasti tidak mampu menyaingi ganjaran dan pulangan yang disediakan oleh Allah S.W.T di sana nanti.




Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal

kredit to :
1. halal.gov.my/v3/index.php/ms/garis-panduan/standard-malaysia
2. i-genhalal.blogspot.com
3. Jawatankuasa Pemantauan Halal, syarikat Bumiputera Selangor

Saturday 1 December 2012

Prinsip Halal-Haram Siri 1


Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang Halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu (2 : 168)

Bismillah. Insyaallah, kali ini ambo ingin kongsikan serba sedikit berkenaan berkenaan definisi dan prinsip Halal dan Haram sebelum kita bercerita lebih lanjut.  Halal berasal daripada kalimah arab Arab iaitu halla, yahillu, hillan, waHalalan yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum Syarak.  

Menurut Prof Dr Syeikh Muhammad Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya yang sering menjadi rujukan berkenaan persoalan fiqh semasa Halal-Haram iaitu Halal-Haram dalam Islam (al-Halal wa al-haram fi al-Islam), dasar pertama yang ditetapkan Islam, ialah: bahawa asal sesuatu yang dicipta Allah S.W.T. adalah Halal dan Harus (Mubah). Beliau merupakan seorang cendekiawan Muslim yang terkenal yang berasal dari Mesir dan merupakan ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) serta Presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (International Association of Muslims Scholars). Beliau adalah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia dan telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009 Malaysia.

Menurut beliau, tiada sesuatupun yang haram, melainkan jelas terdapat nas yang sah (sahih) dan tegas (sarih) dari syarak (berdasarkan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W.) yang mengharamkannya. Sekiranya tiada nas yang sah - contohnya kerana kedapatan sebahagian Hadis lemah  atau tidak ada nas yang tegas yang menunjukkan pengharamannya, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, iaitu Harus.  Ulama-ulama Islam mendasarkan ketetapannya, bahawa segala sesuatu asalnya Harus, seperti tersebut di atas, dengan dalil ayat- ayat al-Quran yang antara lainnya ialah :

"Dialah Zat yang menjadikan untuk kamu apa-apa yang ada di bumi ini semuanya." (al-Baqarah: 29) "(Allah) telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya." (al-Jatsiyah: 13) "Belum tahukah kamu, bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi; dan Ia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmatNya yang nampak mahupun yang tidak nampak." (Luqman: 20)

Sesungguhnya Allah S.W.T yang Maha Bijakasana, tidak akan membuat segala-galanya ini yang diserahkan kepada manusia dan dikurniakannya, kemudian Dia sendiri mengharamkannya.  Beberapa hal yang diharamkan oleh Allah S.W.T. lantaran kerana terdapatnya sebab dan Hikmat.  Oleh yang demikian, arena Haram dalam syariat Islam itu sebenarnya sangat sempit sekali  dan lapangan Halal sangat luas. Hal ini kerana jumlah nas-nas yang sah dan tegas dalam soal haram adalah sangat sedikit.  Sebaliknya, sesuatu yang tidak ada keterangan Halal-haramnya, adalah kembali kepada hukum asal iaitu Halal dan termasuk dalam kategori yang dimaafkan Allah.

"Apa saja yang Allah S.W.T. Halalkan dalam kitabNya, maka ianya Halal, dan apa saja yang diharamkanNya, maka ianya haram; sedang apa yang didiamkannya, maka ianya dibolehkan (dimaafkan). Oleh karena itu terimalah dari Allah S.W.T. kemaafan itu, kerana sesungguhnya Allah S.W.T. tidak lupa sedikitpun." Kemudian Rasulullah S.A.W. membaca ayat: dan Tuhanmu tidak lupa. (Riwayat Hakim dan Bazzar) "Rasulullah S.A.W. pernah ditanya tentang hukumnya minyak sapi, keju dan keldai hutan, maka baginda menjawab: Apa yang disebut Halal ialah: sesuatu yang Allah S.W.T. Halalkan dalam kitabNya; dan yang disebut Haram ialah: sesuatu yang Allah S.W.T. haramkan dalam kitabNya; sedang apa yang didiamkan, maka ianya salah satu yang Allah S.W.T maafkan buat kamu." (Riwayat Tarmizi dan lbnu Majah)

Ini adalah suatu contoh peristiwa yang jelas melambangkan kebijaksanaan Rasulullah S.W.T. dalam mendepani isu Halal-Haram dari umat baginda.  Rasulullah S.A.W. tidak memberikan jawapan kepada si penanya dengan menerangkan satu persatunya, tetapi baginda mengembalikan kepada suatu kaedah yang kiranya dengan kaedah itu persoalan sesuatu perkara itu sama ada Halal atau Haram dapat difahami.  Prof Dr Syeikh Yusuf Qaradawi  juga menjelaskan, kaedah asal segala sesuatu adalah Harus (Mubah) ini tidak hanya terbatas dalam masalah benda, tetapi meliputi masalah perbuatan dan pekerjaan yang tidak termasuk daripada urusan ibadah, iaitu yang biasa kita istilahkan dengan Adat atau Mu'amalat. Pokok dalam masalah ini tidak haram dan tidak diharamkan dan dikonkritkannya sesuai dengan firman Allah:

"Dan Allah telah menjelaskan kepadamu apa yang telah diharamkan-Nya atas kamu." (al-An'am: 119)

Ayat ini umum, meliputi aspek makanan, perbuatan dan lain-lain.  Berbeza sekali dengan urusan ibadah yang mana tiadalah semata-mata urusan agama yang tidak ditetapkan, melainkan dari jalan wahyu. Oleh sebab itulah, maka terdapat dalam suatu Hadis Nabi yang mengatakan:

"Barangsiapa membuat cara baru dalam urusan kami, dengan sesuatu yang tidak ada contohnya, maka dia itu tertolak." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini, adalah karena hakikat AGAMA (atau dikatakan IBADAH) itu tercermin dalam dua hal, iaitu:
  1. Hanya Allah S.W.T. yang disembah;
  2. Untuk menyembah Allah S.W.T., hanya dapat dilakukan menurut apa yang disyariatkannya.


Oleh karena itu, barangsiapa mengada-ada suatu cara ibadah yang timbul dari dirinya sendiri adalah suatu kesesatan yang harus ditolak kerana hanya syarak yang berhak menentukan cara ibadah yang dapat dipakai untuk bertaqarrub kepada-Nya. Prinsip-prinsip lain yang menjadi tunjang Halal dan haram dalam Islam menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradawi termasuklah :
  1. Kuasa mengHalalkan dan mengharamkan sesuatu adalah hak mutlak Allah s.W.T.;
  2. Mengharamkan yang Halal dan mengHalalkan yang haram adalah sama seperti syirik;
  3. Mengharamkan yang Halal boleh mengakibatkan timbulnya perkara keji dan memudaratkan;
  4. Perkara yang Halal tidak memerlukan lagi perkara yang haram;
  5. Perkara-perkara yang membawa kepada haram adalah haram;
  6. Berhelah dalam perkara yang haram adalah haram;
  7. Niat yang baik tidak dapat mengHalalkan yang haram;
  8. Menghindarkan diri daripada perkara syubhat kerana khuatir terjebak ke dalam perkara haram;
  9. Sesuatu yang haram, adalah haram untuk semua orang;
  10. Keadaan darurat membenarkan perkara yang dilarang (haram).


Dalam konteks di Malaysia, perundangan dan penguatkuasaan Halal termaktub dalam Akta Perihal Dagangan 2011(APD 2011) yang telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia pada 11 Julai 2011. Di bawah Seksyen 28 dan 29 Akta ini, terdapat dua Perintah Perihal Dagangan yang berkaitan dengan penguatkuasaan Halal iaitu Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.  Bermula pada 1 Januari 20'12 iaitu tarikh kuat kuasa bagi APD 2011, kedua-dua perintah ini digunapakai dan memansuhkan dua perintah Perihal Dagangan sebelum ini iaitu Perbahasaan Halal 1975 dan Penandaan Halal 1975.  Seksyen 28 memperuntukkan kuasa menteri mentakrifkan apa-apa ungkapan dan bagi menghendaki maklumat diberikan. Menteri boleh menetapkan erti berkenaan sama ada ungkapan digunakan dalam perjalanan perdagangan, perniagaan atau dalam hal keadaan dinyatakan dalam perintah itu, maka berdasarkan seksyen ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengeluarkan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.  Manakala dalam Seksyen 29 pula, menteri boleh menamakan mana-mana pihak berkuasa untuk memperakukan, menandakan, membekalkan atau menawarkan ke atas sesuatu barangan termasuk yang berkaitan dengan pensijilan Halal. Maka berdasarkan seksyen ini, Menteri KPDNKK mengeluarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. 

Dalam Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Hukum Syarak membawa maksud undang-undang Islam mengikut Mazhab Syafii, atau undang-undang Islam dalam mana-mana satu dari pada Mazhab lain sama ada Hanafi, Maliki atau Hambali yang telah dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong unuk dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja bagi mana-mana Negeri untuk dikuatkuasakan di Negeri masing-masing. 

Menurut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) (Pindaan) 2012, Halal dan ungkapan lain ditakrifkan :
1. Apabila suatu makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai Halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam, ungkapan tersebut bererti makanan atau barang-barang itu :
(a)  Bukanlah dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak bagi orang Islam untuk memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
(b)  Tidak mengandungi apa-apa benda yang najis mengikut Hukum Syarak;
(c)  Tidak memabukkan mengikut Hukum Syarak;
(d)  Tidak mengandungi mana-mana bahagian anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak;
(e)  Tidak beracun atau memudaratkan kesihatan;
(f)   Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan apa-apa peralatan yang dicemari najis mengikut Hukum Syarak; dan
(g)  Tidaklah dalam masa menyediakan, memproses atau menyimpannya bersentuhan, bercampur atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang gagal memenuhi perenggan (a) dan (b).

2. Apabila perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai Halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan perkhidmatan itu boleh digunakan oleh orang Islam, ungkapan tersebut bererti perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu dijalankan mengikut Hukum Syarak.

Definisi ini juga digunapakai dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2011 (Semakan Kedua) yang menjadi rujukan utama dalam pensijilan Halal Malaysia dan pelengkap kepada MS1500 ((Makanan Halal - Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian Dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum) dan standard-standard yang berkaitan oleh pegawai pemeriksa JAKIM dan JAIN.

Berdasarkan MS1500 Edisi 2009 (Semakan Kedua), Halal ialah perkara yang dibenarkan oleh hukum Syarak dan tidak akan dikenakan azab bagi orang yang melakukannya manakala  Makanan Halal pula bermaksud makanan dan minuman dan/atau ramuannya yang dibenarkan oleh Hukum Syarak dan menepati syarat -syarat berikut:
  1. tidak mengandungi apa-apa bahan daripada haiwan yang tidak Halal kepada orang Islam mengikut hukum Syarak atau pro duk daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum Syarak;
  2. tidak mengandungi najis mengikut hukum Syarak;
  3. selamat dimakan, tidak beracun, tidak memabukkan atau tidak memudaratkan kesihatan;
  4. tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan peralatan yang dicemari najis mengikut hukum Syarak;
  5. tidak mengandungi mana -mana bahagian atau anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan oleh hukum Syarak; dan
  6. semasa penyediaan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan atau pengangkutan, makanan tersebut diasingkan dari makanan lain yang tidak menepati keperluan dalam butiran a), b), c), d) atau e) di atas atau bahan -bahan lain yang telah disahkan sebagai najis mengikut hukum Syarak.

Najis menurut Hukum Syarak adalah:
  1. Anjing dan babi (khinzir) dan segala terbitan daripadanya;
  2. Makanan Halal yang dicemari oleh bahan yang tidak Halal (haram);
  3. Makanan Halal yang bersentuhan dengan bahan -bahan yang tidak Halal;
  4. Sebarang cecair atau objek yang keluar dari rongga manusia atau haiwan seperti air kencing, darah, muntah ,nanah, uri dan tahi. (NOTA. Susu, sperma dan ovum manusia dan haiwan, kecuali anjing dan babi adalah tidak najis.)
  5. Bangkai haiwan atau haiwan Halal yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
  6. Arak atau minuman atau makanan yang dicampurkan dengan arak


Terdapat tiga jenis najis iaitu najis Mughallazah iaitu najis berat merangkumi anjing dan babi (khinzir) termasuk sebarang cecair atau objek yang keluar daripada rongga anjing dan babi (khinzir), keturunannya dan terbitan daripadanya;  najis Mukhaffafah iaitu najis ringan melaputi hanyalah air kencing bayi lelaki berusia dua tahun dan ke bawah yang tidak mengambil apa-apa makanan lain kecuali susu ibu sahaja; dan terkahir ialah najis Mutawassitah iaitu najis pertengahan, yang tidak termasuk di dalam kategori najis berat atau najis ringan seperti muntah, nanah, darah, arak, bangkai, cecair dan objek yang keluar daripada rongga dan sebagainya.

Melalui peruntukan dalam APD 2011 juga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah dijadikan sebagai agensi berwibawa yang mengeluarkan sijil dan logo Halal Malaysia.  Hal ini sekali gus mengesahkan bahawa tiada lagi logo Halal lain yang boleh dikeluarkan oleh mana-mana badan kecuali logo Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.W.T. dan menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.


(gambar kenangan semasa pertama kali mengikuti MAHA pada tahun 2006)


Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal

kredit to :
4. http://www.smeinfo.com.my/index.php/en/component/content/article/38-developmalaysian/1374-akta-perihal-dagangan-2011