Prinsip Halal-Haram Siri 1
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang Halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu (2 : 168)
Bismillah.
Insyaallah, kali ini ambo ingin kongsikan serba sedikit berkenaan berkenaan
definisi dan prinsip Halal dan Haram sebelum kita bercerita lebih lanjut. Halal berasal daripada kalimah arab Arab
iaitu halla, yahillu, hillan, waHalalan yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan
oleh hukum Syarak.
Menurut
beliau, tiada sesuatupun yang haram, melainkan jelas terdapat nas yang sah (sahih)
dan tegas (sarih) dari syarak (berdasarkan hukum yang telah ditetapkan oleh
Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W.) yang mengharamkannya. Sekiranya tiada nas
yang sah - contohnya kerana kedapatan sebahagian Hadis lemah atau tidak ada nas yang tegas yang menunjukkan
pengharamannya, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, iaitu Harus. Ulama-ulama Islam mendasarkan ketetapannya,
bahawa segala sesuatu asalnya Harus, seperti tersebut di atas, dengan dalil
ayat- ayat al-Quran yang antara lainnya ialah :
"Dialah Zat yang menjadikan untuk kamu apa-apa yang ada di bumi ini semuanya." (al-Baqarah: 29) "(Allah) telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya." (al-Jatsiyah: 13) "Belum tahukah kamu, bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi; dan Ia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmatNya yang nampak mahupun yang tidak nampak." (Luqman: 20)
Sesungguhnya
Allah S.W.T yang Maha Bijakasana, tidak akan membuat segala-galanya ini yang
diserahkan kepada manusia dan dikurniakannya, kemudian Dia sendiri
mengharamkannya. Beberapa hal yang
diharamkan oleh Allah S.W.T. lantaran kerana terdapatnya sebab dan Hikmat. Oleh yang demikian, arena Haram dalam syariat
Islam itu sebenarnya sangat sempit sekali
dan lapangan Halal sangat luas. Hal ini kerana jumlah nas-nas yang sah
dan tegas dalam soal haram adalah sangat sedikit. Sebaliknya, sesuatu yang tidak ada keterangan
Halal-haramnya, adalah kembali kepada hukum asal iaitu Halal dan termasuk dalam
kategori yang dimaafkan Allah.
"Apa saja yang Allah S.W.T. Halalkan dalam kitabNya, maka ianya Halal, dan apa saja yang diharamkanNya, maka ianya haram; sedang apa yang didiamkannya, maka ianya dibolehkan (dimaafkan). Oleh karena itu terimalah dari Allah S.W.T. kemaafan itu, kerana sesungguhnya Allah S.W.T. tidak lupa sedikitpun." Kemudian Rasulullah S.A.W. membaca ayat: dan Tuhanmu tidak lupa. (Riwayat Hakim dan Bazzar) "Rasulullah S.A.W. pernah ditanya tentang hukumnya minyak sapi, keju dan keldai hutan, maka baginda menjawab: Apa yang disebut Halal ialah: sesuatu yang Allah S.W.T. Halalkan dalam kitabNya; dan yang disebut Haram ialah: sesuatu yang Allah S.W.T. haramkan dalam kitabNya; sedang apa yang didiamkan, maka ianya salah satu yang Allah S.W.T maafkan buat kamu." (Riwayat Tarmizi dan lbnu Majah)
Ini
adalah suatu contoh peristiwa yang jelas melambangkan kebijaksanaan Rasulullah
S.W.T. dalam mendepani isu Halal-Haram dari umat baginda. Rasulullah S.A.W. tidak memberikan jawapan
kepada si penanya dengan menerangkan satu persatunya, tetapi baginda
mengembalikan kepada suatu kaedah yang kiranya dengan kaedah itu persoalan sesuatu
perkara itu sama ada Halal atau Haram dapat difahami. Prof Dr Syeikh Yusuf Qaradawi juga menjelaskan, kaedah asal segala sesuatu
adalah Harus (Mubah) ini tidak hanya terbatas dalam masalah benda, tetapi meliputi
masalah perbuatan dan pekerjaan yang tidak termasuk daripada urusan ibadah, iaitu
yang biasa kita istilahkan dengan Adat atau Mu'amalat. Pokok dalam masalah ini
tidak haram dan tidak diharamkan dan dikonkritkannya sesuai dengan firman
Allah:
"Dan Allah telah menjelaskan kepadamu apa yang telah diharamkan-Nya atas kamu." (al-An'am: 119)
Ayat
ini umum, meliputi aspek makanan, perbuatan dan lain-lain. Berbeza sekali dengan urusan ibadah yang mana tiadalah
semata-mata urusan agama yang tidak ditetapkan, melainkan dari jalan wahyu. Oleh
sebab itulah, maka terdapat dalam suatu Hadis Nabi yang mengatakan:
"Barangsiapa membuat cara baru dalam urusan kami, dengan sesuatu yang tidak ada contohnya, maka dia itu tertolak." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini,
adalah karena hakikat AGAMA (atau dikatakan IBADAH) itu tercermin dalam dua
hal, iaitu:
- Hanya Allah S.W.T. yang disembah;
- Untuk menyembah Allah S.W.T., hanya dapat dilakukan menurut apa yang disyariatkannya.
Oleh
karena itu, barangsiapa mengada-ada suatu cara ibadah yang timbul dari dirinya
sendiri adalah suatu kesesatan yang harus ditolak kerana hanya syarak yang
berhak menentukan cara ibadah yang dapat dipakai untuk bertaqarrub kepada-Nya. Prinsip-prinsip
lain yang menjadi tunjang Halal dan haram dalam Islam menurut Prof Dr Yusuf
al-Qaradawi termasuklah :
- Kuasa mengHalalkan dan mengharamkan sesuatu adalah hak mutlak Allah s.W.T.;
- Mengharamkan yang Halal dan mengHalalkan yang haram adalah sama seperti syirik;
- Mengharamkan yang Halal boleh mengakibatkan timbulnya perkara keji dan memudaratkan;
- Perkara yang Halal tidak memerlukan lagi perkara yang haram;
- Perkara-perkara yang membawa kepada haram adalah haram;
- Berhelah dalam perkara yang haram adalah haram;
- Niat yang baik tidak dapat mengHalalkan yang haram;
- Menghindarkan diri daripada perkara syubhat kerana khuatir terjebak ke dalam perkara haram;
- Sesuatu yang haram, adalah haram untuk semua orang;
- Keadaan darurat membenarkan perkara yang dilarang (haram).
Dalam
konteks di Malaysia, perundangan dan
penguatkuasaan Halal termaktub dalam Akta
Perihal Dagangan 2011(APD 2011) yang telah diluluskan oleh Parlimen
Malaysia pada 11 Julai 2011. Di bawah Seksyen
28 dan 29 Akta ini, terdapat dua Perintah Perihal Dagangan yang berkaitan
dengan penguatkuasaan Halal iaitu Perintah
Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan
Penandaan Halal) 2011. Bermula pada 1
Januari 20'12 iaitu tarikh kuat kuasa bagi APD 2011, kedua-dua perintah ini
digunapakai dan memansuhkan dua perintah Perihal Dagangan sebelum ini iaitu Perbahasaan
Halal 1975 dan Penandaan Halal 1975. Seksyen 28 memperuntukkan kuasa menteri mentakrifkan
apa-apa ungkapan dan bagi menghendaki maklumat diberikan. Menteri boleh
menetapkan erti berkenaan sama ada ungkapan digunakan dalam perjalanan
perdagangan, perniagaan atau dalam hal keadaan dinyatakan dalam perintah itu,
maka berdasarkan seksyen ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan mengeluarkan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Manakala dalam
Seksyen 29 pula, menteri boleh menamakan mana-mana pihak berkuasa untuk
memperakukan, menandakan, membekalkan atau menawarkan ke atas sesuatu barangan
termasuk yang berkaitan dengan pensijilan Halal. Maka berdasarkan seksyen ini,
Menteri KPDNKK mengeluarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal)
2011.
Dalam
Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Hukum Syarak membawa maksud undang-undang Islam mengikut Mazhab
Syafii, atau undang-undang Islam dalam mana-mana satu dari pada Mazhab lain
sama ada Hanafi, Maliki atau Hambali yang telah dipersetujui oleh Yang
Dipertuan Agong unuk dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan
dan Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja bagi
mana-mana Negeri untuk dikuatkuasakan di Negeri masing-masing.
Menurut
Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal)
2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) (Pindaan) 2012, Halal dan
ungkapan lain ditakrifkan :
1. Apabila suatu makanan atau barang-barang
diperihalkan sebagai Halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk
menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh
orang Islam, ungkapan tersebut bererti makanan atau barang-barang itu :
(a) Bukanlah
dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda
daripada binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak bagi orang Islam untuk
memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
(b) Tidak
mengandungi apa-apa benda yang najis mengikut Hukum Syarak;
(c) Tidak
memabukkan mengikut Hukum Syarak;
(d) Tidak
mengandungi mana-mana bahagian anggota manusia atau hasilan daripadanya yang
tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak;
(e) Tidak
beracun atau memudaratkan kesihatan;
(f) Tidak
disediakan, diproses atau dikilang menggunakan apa-apa peralatan yang dicemari
najis mengikut Hukum Syarak; dan
(g) Tidaklah
dalam masa menyediakan, memproses atau menyimpannya bersentuhan, bercampur atau
berdekatan dengan apa-apa makanan yang gagal memenuhi perenggan (a) dan (b).
2. Apabila perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai Halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan perkhidmatan itu boleh digunakan oleh orang Islam, ungkapan tersebut bererti perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu dijalankan mengikut Hukum Syarak.
Definisi ini juga digunapakai dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2011 (Semakan Kedua) yang menjadi rujukan utama dalam pensijilan Halal Malaysia dan pelengkap kepada MS1500 ((Makanan Halal - Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian Dan Penyimpanan - Garis Panduan Umum) dan standard-standard yang berkaitan oleh pegawai pemeriksa JAKIM dan JAIN.
Berdasarkan
MS1500 Edisi 2009 (Semakan Kedua), Halal ialah perkara
yang dibenarkan oleh hukum Syarak dan tidak akan dikenakan azab bagi orang yang
melakukannya manakala Makanan Halal pula bermaksud
makanan dan minuman dan/atau ramuannya yang dibenarkan oleh Hukum Syarak
dan menepati syarat -syarat berikut:
- tidak mengandungi apa-apa bahan daripada haiwan yang tidak Halal kepada orang Islam mengikut hukum Syarak atau pro duk daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum Syarak;
- tidak mengandungi najis mengikut hukum Syarak;
- selamat dimakan, tidak beracun, tidak memabukkan atau tidak memudaratkan kesihatan;
- tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan peralatan yang dicemari najis mengikut hukum Syarak;
- tidak mengandungi mana -mana bahagian atau anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan oleh hukum Syarak; dan
- semasa penyediaan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan atau pengangkutan, makanan tersebut diasingkan dari makanan lain yang tidak menepati keperluan dalam butiran a), b), c), d) atau e) di atas atau bahan -bahan lain yang telah disahkan sebagai najis mengikut hukum Syarak.
Najis menurut Hukum Syarak adalah:
- Anjing dan babi (khinzir) dan segala terbitan daripadanya;
- Makanan Halal yang dicemari oleh bahan yang tidak Halal (haram);
- Makanan Halal yang bersentuhan dengan bahan -bahan yang tidak Halal;
- Sebarang cecair atau objek yang keluar dari rongga manusia atau haiwan seperti air kencing, darah, muntah ,nanah, uri dan tahi. (NOTA. Susu, sperma dan ovum manusia dan haiwan, kecuali anjing dan babi adalah tidak najis.)
- Bangkai haiwan atau haiwan Halal yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
- Arak atau minuman atau makanan yang dicampurkan dengan arak
Terdapat
tiga jenis najis iaitu najis Mughallazah
iaitu najis berat merangkumi anjing dan babi (khinzir) termasuk sebarang
cecair atau objek yang keluar daripada rongga anjing dan babi (khinzir),
keturunannya dan terbitan daripadanya; najis Mukhaffafah
iaitu najis ringan melaputi hanyalah air kencing bayi lelaki berusia dua
tahun dan ke bawah yang tidak mengambil apa-apa makanan lain kecuali susu ibu
sahaja; dan terkahir ialah najis Mutawassitah
iaitu najis pertengahan, yang tidak termasuk di dalam kategori najis berat atau
najis ringan seperti muntah, nanah, darah, arak, bangkai, cecair dan objek yang
keluar daripada rongga dan sebagainya.
Melalui peruntukan dalam APD 2011 juga, Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah dijadikan
sebagai agensi berwibawa yang mengeluarkan sijil dan logo Halal Malaysia. Hal ini sekali gus mengesahkan bahawa tiada
lagi logo Halal lain yang boleh dikeluarkan oleh mana-mana badan kecuali logo Halal
Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.W.T. dan
menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.
(gambar kenangan semasa pertama kali mengikuti MAHA pada tahun 2006)
Abdullah Abas ~ Pencinta
Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal
kredit to :
4. http://www.smeinfo.com.my/index.php/en/component/content/article/38-developmalaysian/1374-akta-perihal-dagangan-2011
mohon share ilmunya
ReplyDelete