Sains Makanan : Suatu Pengenalan Siri 1
Bismillah. Setelah kita dilontarkan sedikit
idea tentang definisi dan konsep makanan, maka kali ini ambo teruja untuk
berkongsikan pula dengan teman-teman berkenaan pengenalan dan definisi asas SAINS makanan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T.
yang memudahkan usaha coretan ini. Apabila
membicarakan soal sains makanan, ianya adalah suatu istilah yang lunak
digunakan bagi menggambarkan aplikasi prinsip sains yang mewujudkan dan
menstabillan pembekalan bahan-bahan makanan.
Melalui sains makanan, dunia hari ini mampu mengenali apa itu makanan
sejuk beku, makanan dalam tin, makanan sedia dimakan yang cuma memerlukan
beberapa detik penyediaan dengan alat bantu ketuhar gelombang mikro, minuman
susu yang masih mengandungi nutrien diperlukan walaupun melalui pemanasan dan
juga makanan tradisional yang lebih mudah disediakan tanpa memerlukan peralatan
yang banyak dan remeh. Hal ini secara
tidak langsung mewujudkan warna-warna kehidupan yang lebih indah terhadap
hidangan makanan yang diambil dalam sehari-hari
Tidak dapat dinafikan, makanan adalah satu
keperluan utama manusia yang mustahak dan terpenting (bacaan lanjut boleh jugadirujuk kepada entri ambo sebelum ini).
Malah, terdapat pandangan yang mengatakan makanan menduduki tempat teratas keperluan
kerana keperluannya adalah bersifat harian dan menentukan mati-hidup seseorang
berbanding pakaian dan tempat tinggal yang lebih bersifat tahan lama dan
perbelanjaan untuk kedua-dua keperluan ini tidaklah hari-hari. Keperluan manusia terhadap makanan adalah
berterusan dan perasaan lapar akan mengingatkan mereka untuk makan,
sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Ambo pernah bercerita dengan sanak saudara
dan kenalan tentang profisyen ambo dalam bidang makanan dan kebanyakan mereka mengiyakan
bahawa bidang makanan adalah suatu bidang yang akan sentiasa ada selagi mana
manusia itu berhajat kepada makanan, walaupun kadang-kadang denisi dan konsep
sains makanan itu kadang-kala disalahtafsir.
Suatu hakikat yang perlu diterima bahawa makanan
yang mampu sampai ke pinggan kita hari ini amat dipengaruhi oleh faktor
perkembangan teknologi berasaskan kefahaman terhadap sains makanan. Hal ini
kerana, ianya memberi peluang kepada manusia untuk menjimatkan masa
mencari-cari wang yang akan dibelanjakan bagi mendapatkan makanan yang diperlukan. Selain daripada kepelbagaian bentuk teknik
pemprosesan makanan yang ada pada hari ini seperti sejuk dan sejukbeku, bakar
dan panggang, pengetinan dan pembotolan serta pembungkusan, teknologi
berasaskan sains makanan juga melibatkan kepelbagaian bahan-bahan tambah
makanan (food additives) yang wujud pada hari ini yang diformulasikan ke dalam
produk makanan sebagai bahan bantu pemprosesan (processing aids).
Sebagai pengenalan, menurut Institut
Teknologi Makanan Amerika Syarikat, Sains Makanan merupakan suatu disiplin ilmu yang menggabungkan kombinasi
ilmu biologi, fizik dan kejuruteraan untuk mengkaji sifat semulajadi makanan,
faktor-faktor yang memungkinkan kerosakannya dan prinsip-prinsip asas
pemprosesan makanan. Definisi yang
hampir sama dikongsi oleh Institut Sains dan Teknologi Makanan United Kingdom
bahawa Sains Makanan adalah suatu bahagian ilmu
yang sistematik dan logik (coherent) di mana memerlukan pemahaman terhadap asas dan komposisi
bahan-bahan makanan serta perlakuan yang sepatutnya terjadi kepada makanan
terhadap kepelbagaian tindakan yang dikenakan.
Selain itu, sains makanan juga adalah suatu
bidang kajian saintifik terhadap bahan
asas makanan dan perlakuannya semasa diformulasi, diproses, dibungkus, disimpan
dan dinilai oleh manusia sebagai pengguna sebelum dimakan. Definisi ini secara tidak langsung membezakan
prinsip asas pengkajian dengan Sains Pemakanan kerana Sains Makanan lebih
menekankan aspek kualiti dan keselamatan makanan sebelum diambil oleh
pengguna. Pemakanan adalah salah satu
bidang kajian lanjutan sains makanan yang lebih menjurus kepada keperluan dan
tindak balas selepas makanan diambil untuk penjagaan kesihatan tubuh badan.
Walau bagaimanapun, apabila membicarakan
definisi sains makanan secara lebih umum, ianya merupakan suatu topik yang
masih boleh memberikan interpretasi yang lebih luas, apatah lagi topik ini
melibatkan lebih daripada satu cabang ilmu pengetahuan. Sebagai satu bidang kajian dan amalan, sains
makanan tidak seharusnya dibincangkan sebagai disiplin sains secara terbatas
kerana pengkelasannya meliputi sains biologi tulen dan gunaan, fizik, kimia,
matematik, kejuruteaan kimia, mikrobiologi, pemakanan, toksikologi dan
sebagainya.
Sains makanan merupakan antara bidang
terokaan manusia sehingga kini yang terpenting sepanjang sejarah ketamadunan
manusia. Aplikasi kajian asas sains
makanan berasaskan kepada pemilihan, pengawetan, pemprosesan, pembungkusan,
pengagihan dan pengambilannya secara selamat dan mengekalkan nutrien yang
diperlukan manusia telah membangunkan Teknologi Makanan. Pemahaman terhadap sains makanan yang lebih
bersifat jangka masa panjang telah mengembangkan penemuan demi penemuan
teknologi dari semasa ke semasa yang lebih bersifat dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa manusia. Kajian
sejarah perkembangan teknologi makanan membuktikan peri penting peranan
disiplin ilmu ini kepada manusia. Boleh
dikatakan, pengkajian saintifik terhadap makanan merupakan suatu percubaan
berterusan yang amat bermakna memandangkan makanan adalah keperluan terpenting
manusia.
Dalam sejarah, aplikasi teknologi berasaskan
sains makanan seperti teknik pengawetan dianggap sebagai suatu ‘SENI’ yang
diperturunkan dari satu generasi awal kepada generasi yang seterusnya
sehinggalah ke akhir abad ke-18. Mulai
abad tersebut, perkembangan lebih banyak bergantung kepada cerapan, cuba dan
ralat, cubaan ulangan dan amalan teknik baru.
Tidak keterlaluan jika dikatakan
pada masa tersebut, penemuan aplikasi teknologi makanan ini lebih berbentuk
‘kebetulan’. Walau bagaimanapun, teknik
dan kaedah yang dipilih sedikit sebanyak mengalami kemajuan sebagaimana yang
dibuktikan oleh Spallazi (1765) dan Appert (1809).
Penemuan teknik pemprosesan terma terhadap
makanan yang dibekalkan kepada tentera dan teknik pengetinan telah membawa
pengiktirafan anugerah oleh kerajaan Perancis kepada Appert. Teknik yang digunakan beliau masih bersifat
cuba dan ralat kerana kekurangan maklumat sains, dan kegigihan beliau
membuktikan ketepatan cerapan dan kesimpulan keputusan yang diperolehi yang
merupakan salah satu pendekatan sains
telah menjayakan usahanya. Sejarah
seterusnya menyaksikan kaedah pemprosesan terma boleh mencegah kerosakan yang
disebabkan oleh bakteria melalui penemuan yang saling menyokong antara Pesteur
(1850) dan Prest - Underwood (1895) yang merancakkan lagi penemuan teknologi
berasaskan sains makanan.
Hari ini, industri makanan wujud sebagai
salah satu industri terpenting dan terbesar di beberapa buah Negara termasuklah
di Negara kita, Malaysia. Pada 2010,
eksport barang makanan Malaysia berjumlah RM18.2 bilion, manakala import
berjumlah RM30.3 bilion. Malaysia mengeksport barang makanan ke lebih 200
negara dan produk-produk utama yang diekpsort adalah koko (RM3.8 bilion),
produk-produk perikanan (RM2.6 bilion), majerin dan lelemak (RM1 bilion) dan
makanan haiwan (RM1.1 bilion). Import barang makanan utama pada 2010
adalah bijiran dan persediaan bijiran, sayur-sayuran dan buah-buahan, koko,
makanan haiwan dan produk-produk tenusu. Bahan-bahan mentah seperti
bijiran dan produk-produk tenusu akan terus diimport untuk pemprosesan lanjut
bagi penggunaan manusia serta pengeluaran makanan haiwan.
Kegiatan industri ini meliputi dari aktiviti
ekonomi huluan (upstream) sehinggalah kepada aktiviti ekonomi hiliran
(downstream) – termasuklah pertanian, penangkapan hasil laut, pemprosesan, pengangkutan, jualan borong, jualan runcit,
pembungkusan, penyimpanan dan lain-lain. Perkembangan industri makanan yang
membolehkan makanan boleh diperolehi dari mana-mana ceruk dunia sehinggakan
pesanan boleh dibuat di hujung jari sahaja dengan hanya mengambil masa beberapa
saat sahaja, memungkinkan berlakunya risiko penyelewangan dalam pembekalan
makanan. Justeru , di
sinilah letaknya antara peranan AHLI sains makanan untuk mengisi lompong yang ada dengan meningkatkan kecekapan
kualiti dalam hal-hal pengeluaran makanan dengan mengoptimakan tahap
pengeluaran dan secara langsung menyumbang terhadap kawalan peningkatan
populasi penduduk dunia dan pertambahan permintaan makanan.
Kepentingan bidang sains makanan ini menjadi
sarana untuk kawalan bekalan, pemakanan dan kebersihan makanan, yang merupakan
satu-satunya bahan yang sangat penting untuk masa depan manusia. Oleh itu, bagi seseorang yang berhasrat
menjadi ahli sains makanan, elemen-elemen seperti bidang mikrobiologi,
biokimia, prinsip kejuruteraan, matematik, kimia bukan organik dan fizik asas
mestilah diambil kira kerana faktor
berikut :
1. Sistem biokimia yang kompkes – makanan utama
adalah bersumberkan binatang dan tumbuhan yang mengalami perubahan (terutama kemerosotan)
yang berterusan pada kadar yang bergantung kepada keadaan persekitaran seperti
suhu, kelemebapan dan oksigen;
2. Kepelbagaian mikroorganisma - risiko pencemaran kepada makanan yang juga
dikongsi menjadi komponen bahan makanan mikroorganisma, sehingga menyebabkan
perubahan protein, lemak dan karbohidrat yang menghasilkan bahan sampingan yang
busuk, toksik dan tidak dikehendaki;
3. Bahan
tambah makanan – membantu menampung kerosakan atau kehilangan nutrien makanan
selain mencegah kerosakan dan membaiki tekstur makanan;
4. Pemahaman terhadap asas operasi kilang;
5. Pendedahan kepada racun perosak, baja dan
sebatian raksa yang berisiko mecemarkan makanan;
6. Kehadiran parasit, serangga dan bahan asing
Bagi perkaitan sains makanan dan pemakanan,
sudah pasti apa yang penting untuk disentuh adalah berkenaan manipulasi
kandungan nutrien dalam makanan dan kesan tindak balas badan terhadap
pengambilan makanan tersebut. Ini kerana secara ringkasnya, pemakanan adalah
tindakan, interaksi, keseimbangan kesihatan-penyakit dan proses badan
mengambil, menghadam, menyerap, mengangkut, menggunakan dan mengeluarkan sisa
makanan. InsyaAllah, perkongsian berkenaan pengenalan dan definisi pemakanan
akan ambo cuba kongsikan juga nanti.
Moga-moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.W.T. dan menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.
Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal
kredit to :
1. Makanan, Pemakanan dan Terapi Diet , 2003, Marie V. Krause, L.Kathleen Mahan ( Terjemahan : Suriah Abd. Rahman, Norimah A. Karim, Aminah Abdullah, Azizah Haji Abdul Hamid, Fatimah Arshad), Dewan Bahasa dan Pustaka
2. Understanding Food Science and Technology, 2002, Murano, Peter S., Thomson Learning
3. http://www.mida.gov.my/bm/index.php?page=makanan
4. http://www.ukm.my/ppsktm/index.php/program-sains-makanan-dan-pemakanan
5. http://lolalollipop.com/comics/2009-08-05-lola-lollipop-synthetic-food-science-healthy-eating-nutrition-food-comics-92.gif
6. http://www.nature.com/nature/journal/v491/n7422/full/nj7422-149a.html
7. http://masakicap.blogspot.com/2010/10/step-in-canning.html
6. http://www.nature.com/nature/journal/v491/n7422/full/nj7422-149a.html
7. http://masakicap.blogspot.com/2010/10/step-in-canning.html
Comments
Post a Comment