Definsi dan Asas Makanan
"Maka seharusnya manusia
memperhatikan MAKANANnya"
(Abasa,80 : 24)
Bismillah. Pernahkah anda membaca atau terbaca artikel
berkenaan “Mengapa Yahudi Bijak”? Jika dahulunya artikel ini berlegar-legar di dalam
inbox email kita, maka dengan penggunaan Facebook yang semakin meluas, maka
‘serangan’ artikel ini berpindah pula kepada inbox atau wall facebook
kita. Artikel tersebut kononnya adalah
hasil tesis PhD seorang yang ‘dinamakan’ Dr. Stephen Carr Leon yang antara
lainnya menyentuh bahawa faktor pemilihan MAKANAN adalah salah
satu elemen penting dalam memastikan penguasaan cendikiawan berbangsa Yahudi
dalam hampir kesemua bidang termasuklah kejuruteraan, muzik, saintis dan bidang
perniagaan. Antara kesimpulan yang
diberikan berdasarkan ‘kajian’ beliau ialah saranan untuk mengubah cara
pemakanan serta memilih makanan yang elok dan berkhasiat yang baik untuk otak.
Namun, identiti Dr. Stephen Carr Leon masih diragui dan misteri kerana langsung
tidak dijumpai siapa sebenarnya orang tersebut apabila dicari dalam enjin
carian seperti google dan yang banyak hanyalah email/website/forum yang nama ‘Dr
Leon’ tersebut digunakan.
Malah, tidak
kurang juga yang mengaitkan kebijaksanaan bangsa Yahudi itu dengan faktor
genetik atas alasan sebahagian nabi-nabi adalah dari bangsa tersebut dan cuba
merasionalkan mereka adalah insan atau bangsa terpilih. Menurut sebahagian yang dikatakan ‘kajian’
genetik, bangsa Yahudi ini telah diberikan kesempatan merasai makanan dari
langit iaitu ‘Manna’ dan ‘Salwa’ dan mereka hanya akan berkahwin sesama sendiri
sahaja untuk memelihara ‘keistimewaan’ mereka ini.
Pada pandangan
ambo, pada hakikatnya Allah S.W.T. mencipta manusia dengan kelebihan
masing-masing dan merupakan sebaik-baik penciptaan oleh Allah S.W.T. Baik mereka yang dinamakan bangsa Yahudi,
bangsa Arab atau bangsa Melayu sekalipun, manusia diciptakan sama sahaja dari
aspek kebijaksanaan atau keintelektualan mereka. Asasnya, mereka nampak berjaya kerana telah membina
suatu ‘imej’ keintelektualan kerana usaha yang kuat dan berterusan.
Kehebatan
bangsa Yahudi bukan secara semulajadi iaitu lahir dengan tahap intelektual yang
tinggi secara tiba-tiba atau anugerah namun mereka menjadi cerdik kerana sistem
pendidikan dan pembudayaan. Kecerdasan
pemikiran orang Yahudi bukanlah terhasil dari evolusi kecerdasan pemikiran dan
keintelektualan tetapi dibentuk oleh hasil-hasil pemikiran mereka yang mereka
terima dari bangsa-bangsa lain yang telah berjaya. Ya, ianya adalah suatu SISTEM termasuklah perancangan pengambilan makanan yang
betul sejak bayi dalam kandungan ibu lagi yang tidak dipandang enteng.
Hakikatnya
lagi, kebanyakan amalan yang dibicarakan dalam artikel tersebut adalah antara
perkara yang telah Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W. telah amalkan. Alangkah betapa ruginya
kita yang nyata keIslamannya, tapi
tidak mengambil sunnah Rasullah S.A.W. sebagai pedoman hidup. Marilah kita
sama-sama memusatkan niat kita untuk mengikuti
sunnah kekasih kita, nabi Muhammad S.A.W. kerana Allah S.W.T semata-mata. Moga-moga amalan kita diterima Allah S.W.T.
sebagai amal ibadah dan saham kebaikan di akhirat kelak. InsyaAllah, sebelum membicarakan lanjut berkenaan sistem
pemilihan makanan Halal lagi Toyyib yang ditekankan dalam Islam, ambo akan
kongsikan dan ingin sama-sama mengajak teman-teman mengenali denifisi dan
prinsip MAKANAN itu terlebih dahulu.
Apakah definisi
makanan? Apakah elemen–elemen atau
ciri-ciri yang perlu ada untuk menamakan sesuatu ‘barang’ atau ‘benda’ itu
sebagai ‘MAKANAN’? Menyentuh beberapa contoh rancangan masakan yang dipaparkan
dalam media elektronik termasuklah Menu Alam, Masak dengan Chef amar, Halal
Oasis mahupun channel khas untuk rancangan masakan seperti AFC, menjadi salah
satu indicator bahawa manusia dan makanan tidak boleh dipisahkan serta mereka sentiasa
inginkan sesuatu yang baru dan kepelbagaian dalam persembahan makanan yang diambil
Di dalam al-Quran,
salah satu surah dinamakan berkait langsung dengan makanan iaitu surah yang
kelima (ke-5) iaitu surah Al-Maidah
yang bermaksud ‘Hidangan’. Antara lain,
firman Allah S.W.T. pada ayat 114 yang bermaksud “Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah
kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya
bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang
datang kemudian, dan sebagai satu TANDA (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan
kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau
jualah sebaik-baik Pemberi rezeki".
Banyak kali perkataan makanan atau al-Ta‘am disebut dalam
al-Qur’an dan hadith. Al-Ta‘am dalam bahasa Arab ialah kata plural bagi
ta‘ama yang bermaksud “segala yang dimakan[10] .
Jika dilihat dari
aspek teori humanistik yang biasanya dibincangkan iaitu berdasarkan Teori
Hirarki Keperluan Maslow, ianya memberi penekanan bahawa setiap manusia
dilahirkan dengan keperluan-keperluan tertentu yang akan membolehkan seseorang
itu terus membesar, berkembang dan mencapai tahap kesempurnaan. Maslow menerangkan keperluan manusia secara hieraki atau tingkat seperti piramid
kerana mempunyai peringkat yang tersusun [1] . Terdapat 5 tingkat keperluan dalam
hidup manusia dan salah satu tingkat keperluan yang paling asas (bawah)
yang juga dinamakan keperluan fisiologi
adalah MAKANAN. Keperluan Fisiologi ialah keperluan manusia
paling asas adalah untuk hidup. Dengan kata lain, keperluan fisiologi ialah
apa-apa sahaja yang diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang. Bagi memenuhi tingkat yang lebih tinggi, manusia perlu
‘mendaki’ tingkat demi tingkat seterusnya dari kesempurnaan fisiologi ke
kesempurnaan keselamatan, kesempurnaan sosial, kesempurnaan harga diri dan kemuncak
tingkat ialah Kesempurnaan Pencapaian Hasrat
Diri. Seseorang individu akan terus bermotivasi melepasi sesuatu
tingkat yang lebih tinggi didorong oleh
sesuatu matlamat. Matlamat ini dianggap sebagai keperluan yang perlu
dipenuhi oleh semua manusia tanpa mengambil kira budaya, persekitaran dan
perbezaan tahap generasi.
Walau
bagaimanapun, di sana terdapat persoalan jika kita merujuk kepada persoalan
dasar teori ini iaitu adakah kesempurnaan harga diri ini ‘perlu menunggu’
kesempurnaan fisiologi, keselamatan dan sosial terlebih dahulu? Sedangkan
manusia dari kelompok mana sekalipun akan meletakkan harga diri sebagai unsur
yang utama. Jangan hanya kerana demi memenuhi keperluan fisiologi, keselamatan
dan sosial, manusia sanggup menggadaikan harga diri demi memenuhi keperluan
yang kononnya secara berstruktur.
Dalam
sejarah perjuangan Islam, Bilal Bin
Rabah R.A. tidak menghiraukan keselamatannya demi harga diri sebagai seorang Muslim
dan harga Islam itu sendiri. Begitu juga ketika Umat Islam di Mekah yang
mengalami proses pemboikotan ekonomi selama 3 tahun. Dalam satu riwayat menyatakan
bahawa sepanjang tempoh itu, hanya daun-daun dan pucuk kayu sebagai makanan
umat Islam. Namun adakah mereka tergugat
dengan pendirian mereka? Sebagai manusia khususnya yang beragama Islam,
sebenarnya terdapat satu lagi keperluan yang melekat dengan setiap tingkat
keperluan lain iaitu keperluan KESEMPURNAAN SPIRITUAL. Keperluan ini yang menjadikan
proses manusia untuk memenuhi keperluan mereka adalah berlandaskan proses yang
lebih baik dan bersistem [4] .
Pada asasnya, MAKANAN ialah apa sahaja yang boleh dimakan.
Oleh sebab itu, sesuatu bahan atau benda itu boleh dikategorikan sebagai
makanan apabila ianya dapat dimamah serta ditelan, dikunyah atau dihisap.,
secara umumnya melalui mulut. Antara contoh makanan termasuklah nasi, roti dan
lain lain. Malah, makanan juga diertikan sebagai
rezeki. Apabila dikatakan makanan berzat, maka ia
memberi erti bahawa sesuatu makanan itu mempunyai
ZAT atau NUTRIEN seperti vitamin, protein, dan lain-lain. (Kamus Dewan Edisi
Empat).
Melihat dari sudut pandang pengkajian
biologi, sudah pasti perbincangan interpretasi makanan adalah berkenaan sumber
tenaga dan NUTRIEN penting bagi kehidupan manusia. Makanan didefinisikan sebagai bahan yang
boleh dimakan dan digunakan oleh badan
untuk melaksanakan FUNGSInya. Makanan mengandungi zat makanan dan apabila
dimakan, ia digunakan oleh badan untuk :
1.
Mengeluarkan
tenaga bagi mengekalkan suhu badan
dan memberi kesan terhadap pergerakan dalam dan luar;
2.
Membina
dan menjaga kesempurnaan tisu badan
dan untuk pembiakan;
3.
Membekalkan
bahan-bahan bagi melaksanakan pelbagai proses
dalam badan
Biasanya makanan yang dimakan berasal
dari SUMBER tumbuhan dan haiwan dan
terbina daripada oksigen, nitrogen dan karbon dioksida daripada udara dan air
serta garam mineral dari tanah. Ada kemungkinan bahawa makanan boleh
menjalankan satu atau lebih fungsi, tetapi tiada satu makanan pun yang boleh
memberi semua zat makanan yang diperlukan oleh badan mengikut imbangannya. Makanan boleh diuji untuk menentukan
kandungan dan fungsinya pada badan dan telah didapati bahawa makanan terdiri
daripada paduan antara satu atau lebih zat makanan iaitu kategori bahan makanan
protein, karbohidrat, lemak, vitamin, garam mineral, air dan makanan pelawas [5]
.
Bentuk makanan meliputi semua bahan pepejal atau cecair yang masuk ke
dalam saluran pencernaan dan digunakan untuk menjaga dan membina tisu tubuh, mengawal
atur proses-proses tubuh dan membekalkan tenaga untuk manusia terus hidup. Makanan mengandungi berbagai-bagai sebatian
organik dan bukan organik. Jadi, setiap
makanan adalah sebatian kimia atau campuran beberapa sebatian kimia. Sebatian-sebatian dan unsur-unsur makanan ini
makanan ini terdiri daripada protein, lipid (lemak), karbohidrat, mineral,
vitamin dan air, dan boleh dikumpulkan sebatian dan unsur organik dan bukan
orgnanik.
Sebatian organik termasuklah protein,
lipid, karbohdrat dan vitamin, manakala unsur bukan organik ialah air dan
mineral seperti Kalsium, Fosforus, Natrium, Kalium, Klorin, Sulfur, Ferum,
Iodin, Kuprum, Magnesium, Mangan, Kobalt, Zink dan lain-lain lagi. Juzuk-juzuk makanan ini dikenali sebagai NUTRIEN. Untuk mendapat kesemua nutrien yang
diperlukan untuk fungsi yang normal, tubuh mesti bergantung kepada pemilihan
makanan yang bijak. Sekiranya makanan
tidak dipilih dengan teliti, akan terjadi kekurangan satu nutrien perlu atau
lebih. Nutrien perlu ialah nutrien yang mesti dibekalkan kepada tubuh
melalui makanan dan tidak boleh disintesis oleh tubuh [6] .
Makanan merupakan bahan-bahan yang boleh
dicerna, biasanya terdiri dari karbohidrat, lemak, air dan/atau protein,
yang boleh dimakan atau diminum oleh
manusia dan haiwan untuk mendapat NUTRIEN dan/atau nikmat. Kajian mengenai
makanan pula dipanggil sains makanan [7]. Makanan
terdiri dalam pelbagai BENTUK, TEKSTUR,
RUPA, RASA, WARNA DAN BAU yang berlainan. Makanan juga ialah gabungan
pelbagai RASA iaitu pahit, masin,
manis, pedas dan masam. Tekstur makanan bermaksud kelembutan, kelicinan,
kekerasan, kegaringan dan kekasaran suatu makanan. Makanan merupakan keperluan asas atau primer setiap
manusia. FUNGSInya ialah memenuhi keperluan fizikal, fisiologi, psikologi dan
sosial. Kuantiti dan kualiti makanan mempengaruhi tahap kesihatan individu.
Makanan yang mempengaruhi keperluan makanan adalah faktor geografi, agama,
budaya dan sosial. Pemilihan makanan dipengaruhi oleh faktor (Faktor pemilihan
makanan) - umur, jantina,aktiviti seharian, pekerjaan, saiz badan, iklim dan
tahap kesihatan [8] .
Dari aspek perundangan di Malaysia berdasarkan tafsiran Akta Makanan 1983, “makanan” meliputi setiap barang yang
dikilang, dijual atau diberi gambaran untuk digunakan sebagai makanan atau
minuman untuk kegunaan manusia atau
yang masuk pada atau digunakan dalam campuran, penyediaan, pengawetan apa-apa
makanan atau minuman dan meliputi gula-gula, benda-benda kunyahan dan apa-apa
ramuan bagi makanan, minuman, gula-gula atau benda kunyahan itu [9] .
Makanan mempunyai pengaruh yang sangat besar
terhadap tubuh badan, jiwa, emosi dan akal.
Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan
terbaik ialah makanan yang Halal lagi bersih (Halal & Thoyyib), seimbang,
berzat dan berjadual. Makanan seimbang
ialah set makanan yang mengandungi kesemua bahan makanan yang diperlukan oleh
otak dan tubuh supaya dapat berfungsi dengan sempurna [11] . Justeru, apabila sesuatu bahan atau
benda itu dapat dimamah serta ditelan, dikunyah atau dihisap, secara umumnya
melalui mulut dan memenuhi ciiri-ciri makanan dari aspek sumbernya, zat dan nutriennya,
keberkesanan fungsi kepada badan serta tekstur, rupa, rasa, warna, bau dan bentuknya, maka
insyaAllah dinamakanlah ianya MAKANAN .
Oleh itu, teruskan perjuangan mencari makanan
yang Halal melalui sumber yang Halal juga di samping sentiasa berSYUKUR kepada
Allah SWT atas limpahan rezeki yang melimpah ruah itu [12] . Peribadi diri yang tinggi dan akhlak yang mulia adalah
cerminan daripada hati seseorang yang bersih dan terpelihara. Sebagai umat
Islam yang benar-benar menghayati ajaran agama sepatut dan sewajarnya kita
berusaha untuk mencari yang halal kerana sabda Rasulullah S.A.W.: “ mencari
yang Halal itu fardhu atas setiap Muslim” [13] .
Salam Maulidur Rasul
Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal
kredit to :
5. Pemakanan, Phuah Uoi Ean, 2006, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
6. Makanan, Pemakanan dan Terapi Diet,
Marie V.Krouse, L.Kathleen Mchan (Penterjemah: Suriah Abd. Rahman et.al), 2003,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur)
9. Akta Makanan 1983, Kementerian
Kesihatan Malaysia
10. Sekuriti
Makanan Dari Perspektif Syariah∗ Asmak Ab
Rahman, Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 2 (2009) 299-326
13. http://ustazhusni.blogspot.com/2012/03/makanan-halal-bentuk-peribadi-mulia.html
Comments
Post a Comment