Saturday 3 August 2013

Kembara Perantau : Kenangan 2010

Bismillah.


Bermula sejak pagi tadi, malah mungkin sejak malam tadi lagi , berbondong-bondonglah masyarakat Muslim mulai bergerak ke kampung halaman di negeri masing-masing terutama masyarakat dari kota-kota utama ke Kelantan, tanah air negeri tercintaku.  Walaupun ada yang berkira-kira untuk pulang sedikit lewat atas perkiraan untuk elakkan kesesakan lalu lintas, namun kemeriahannaya tetap dapat dirasai dengan kesesakan lalu lintas itu tetap berlaku sehinggalah pagi raya ! Mungkin kita berkira-kira untuk pulang hari Isnin atau Selasa kerana dijangkakan hari atau esok pasti golongan pendidik mulai pulang kerana cuti sekolah yang telah bermula, namun jika ditanya kepada golongan yang berkhidmat di swasta terutama di kilang-kilang, kesukaran mendapatkan cuti menyebabkan jawapannya sama sahaja dengan kita, iaitu pulang hari Isnin atau Selasa, malah mungkin juga pada malam Raya. 

Apa yang pasti, setiap kali menjelang musim perayaan terutama Eidiil Fitri, warga perantau Kelantan tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman tercinta.  Lebuh raya baru dari Kuala Lipis ke Merapoh dah dibuka ke? InsyaAllah, ambo sendiri akan pulang pada awal minggu hadapan dengan adik-adik dan adik ipar dengan kereta kali ini walaupun sebelum ini ambo hanya memilih pengangkutan awam bas (Sani Express) untuk pulang ke kampung pada tahun 2010 dan 2011 sebelum memutuskan untuk balik menetap di kampung lebih kurang setahun pada tahun 2012.  Oh ya, mengambil kesempatan suasana balik kampung yang kian menyengat, dengan lagu-lagu raya makin dimainkan di corong-corong radio dan pasaraya, maka ambo ingin kongsikan semula catitan pengalaman ambo balik ke kampung pada tahun 2010.  Ianya telah diterbitkan dalam 3 siri pada 17 September 2010, melalui http://i-genhalal.blogspot.com/.

KEMBARA RAYA EIDIL FITRI 2010

PENDAHULUAN
Agak lama juga ambo tidak pulang ke kampung dengan bas waktu siang hari. Teringat waktu nak beli tiket balik kampung kat Hentian Kajang tempoh hari, semua kaunter telah kehabisan tiket dari 3hb sehinggalah malam raya (InsyaAllah, hari raya Eid Fitr tahun ini jatuh pada 10 September) sejak awal Ogos lagi. Kaunter Sani Express yang masih menjadi pilihan kerana dibuka lewat sedikit, jadi kena beratur agak panjang juga. Semasa beratur, salah seorang pekerja Sani asyik kata tiket dah habis dari 6 hingga 9hb, jadi tarikh yang lain sahaja boleh dibeli. Ambo terus beratur sehinggalah samapai giliran ambo membeli tiket. Ambo membeli tiket balik ke Bangi terlebih dahulu, satu tiket untuk kembali selepas cuti Hari Kebangsaan dan satu lagi tiket untuk kembali setelah berhari raya. Alhamdulillah, dengan izin Allah, setelah selesai membeli dua tiket tersebut, kerani kaunter mengatakan tiket untuk Hari Raya ke Kelantan masih dibuka untuk 7, 8 dan 9hb. Ambo terus membeli tiket untuk pulang pada 8hb, jam 8.30 pagi.

Perjalanan pada pagi ini memerlukan persediaan fizikal dan mental. Perjalanan yang panjang mestilah telah dijangka lebih awal dan dengan berbekalkan beberapa buku, tafsir al Quran, majalah dan sinar Harian, diharapkan agar sedikit sebanyak memberi keseronokan pulang beraya ke kampung (Oh ya, tahun ini ambo pulang ke kampung dengan bas berbanding memandu sendiri dua tahun sebelum ini).

HENTIAN PUTRA DAN TOL GOMBAK
Memang terasa benar suasana Hari Raya bila bas mula menjengah ke Hentian Putra dengan kehadiran dan kesesakan orang ramai yang memenuhi stesyen bas ke destinasi Pantai Timur ini. Masing-masing sedang menunggu bas masing-masing, mungkin ada juga yang masih mencari tiket untuk pulang ke kampung pada saat-saat akhir.



Kelihatan beberapa kenderaan rasmi kerajaan negeri Selangor memenuhi Plaza Tol Gombak. Dari jauh, kelihatan Menteri Besar Selangor sedang berada di pentas utama. Mungkin memberi ucapan dan amanat kepada pegawai-pegawainya sempena Hari Raya. Walaubagaimanapun, setelah diakses melalui internet, maklumat lanjut berkenaan majlis tersebut boleh dirujuk di sini (atau di sini).


TRAFIK MENJELANG HARI RAYA

Meskipun trafik agak lancar selepas keluar dari tol Gombak sehinggalah selepas susur keluar ke Bentong. Seperti dijangka, trafik mulai perlahan, kelajuan dianggarkan 20 ke 30 km/j sahaja. Bayangkan jam 12.30 tengah hari baru tiba di Raub (biasanya perjalanan dari Bangi ke Raub Cuma mengambil masa antara 2 ke 2 ½ jam sahaja).

MINUMAN, AIR DAN RASIONALISASI
Menghargai masa yang dikurniakan, ambo mengambil kesempatan menyelak dan membaca helaian-helaian naskhah Sinar Harian Edisi Selangor. “Jauhi minuman berkarbonat : CAP” menghiasi salah satu ruangan akhbar tersebut. CAP, sebagaimana yang dikenali adalah persatuan pengguna yang komited dan konsisten memperjuangkan hak-hak pengguna termasuk dalam mendidik masyarakat dan pengguna dalam pemilihan makanan yang halal, baik dan selamat Menurut SM Mohamed Idris, presiden CAP, kebanyakan minuman ringan tidak mempunyai sebarang khasiat melainkan karbonat, pewarna, asid, perisa dan air manis yang membahayakan kesihatan. Minuman tin yang mengandungi kira-kira tiga hingga 20 sudu the gula menjadi sumber utama kalori pada badan manusia sehingga menyebabkan risiko penyakit seperti diabetes, jantung, kanser, kencing manis, kerosakan gigi dan penyakit kronik lain. Jumlah minuman ringan yang diambil juga menunjukkan peningkatan setiap hari kira-kira 1,000 minuman tin diminum setiap minit. Minuman ringan mengandungi gula fruktos dan tidak seperti gula biasa yang boleh dipecahkan oleh organ dalam tubuh. Fruktosa ini akan terus bergerak ke hati dan berkumpul sebagai lemak dan paras fruktusa yang tinggi akan menghalang pertumbuhan tulang. Memahami hari raya yang semakin menjelang, menu minuman alternatif dicadangkan dihidangkan air jus buah-buahan atau air susu kacang soya yang mengandungi zat besi, kalsium, magnesium, vitamin A dan C yang berguna untuk tubuh badan.


Juga dipaparkan gangguan bekalan air di Selangor yang melibatkan empat wilayah termasuk Hulu Langat. Ambo sedari gangguan ini setelah bertemu dengan seorang sahabat (yang juga jiran satu blok dengan ambo) di salah satu pasaraya di Bangi semalam yang mengatakan tiada air di rumah. Alhamdulillah, dengan sedikit air yang masih berbaki dalam tangki, dapatlah ambo mandi pada pagi ini. Gangguan yang tidak berjadual ini dilaporkan ekoran penutupan operasi loji Rawatan Air Sungai Sungai Semenyih akibat pencemaran sisa buangan atau lechate. Menurut CEO SYABAS, pihaknya mengenalpasti pencemaran berpunca dari benteng pusat pelupusan sampah telah pecah dan menyababkan lechate mengalir masuk ke sungai Kembong dan ke muka sauk loji. Tahap ammonia begitu tinggi iaitu 6.41 mg/liter (melebihi paras Kementerian Kesihatan = 4.5 mg/ liter).

Antara laporan lain ialah cadangan bekas MB Selangor (kini dah jadi pembangkang di Selangor) yang mempersoalkan rasional penubuhan Makmal Rasionalisasi Subsidi yang bagi beliau tidak menguntungkan rakyat dan parti beliau. Malah beliau mencadangkan ditubuhkan Makmal Menurunkan Kos Sara Hidup Rakyat atau Mengurangkan Bebanan Hidup Rakyat selaras dengan slogan “rakyat diuatamakan”. Jelas benar, beliau amat bimbang bukan sahaja Selangor akan terus ditadbir oleh Pakatan Rakyat, malah laluan PR ke Putrajaya juga mungkin lebih mudah dan mengambil alih tampuk pentadbiran Negara selagi kerajaan sedia ada Be End terus mengamalkan dasar “rakyat kena dulu”.

MEMILIH YANG HALAL SUATU KEFARDHUAN
DARAH! Itulah perkataan yang di’highlight’kan untuk Al-Islam Edisi Oktober 2010. Isunya adalah berkenaan plasma darah yang dicampurkan ke dalam bebola ikan sama ada kita sedar atau tidak sedar selama ini. Alhamdulillah, kesedaran umat yang semakin tinggi berkenaan isu halal-haram terutama makanan memberi natijah satu-persatu isu ini dapat dibongkarkan. Seawal sebelum Ramadhan, pihak JAKIM menarik perhatian masyarakat di Malaysia terutamanya berkenaan mengambil kira halal haram makanan yang akan diambil untuk berbuka puasa. Bagi memastikan makanan yang ditawarkan adalah halal terutama di hotel-hotel dan restoran yang menawarkan ‘Bufet Ramadhan’ , pihak JAKIM telah memantau secara serius dan bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan halal yang lain sepanjang bulan Ramadhan ini. Menurut Ketua Pengarah JAKIM, sebanyak 24 hotel di lembah Kelang yang menawarkan ‘Bufet Ramadhan’ namun didapati menggunakan bahan yang diragui status halalnya (sila klik di sini untuk maklumat lanjut)

Berkenaan isu pencampuran bahan yang tidak halal ke dalam makanan, plasma darah (tidak berwarna) yang telah diasingkan daripada darah melalui kaedah pengemparan dan dikeringkan kepada bentuk serbuk digunakan untuk meningkatkan kualiti surimi (isi daging ikan) yang digunakan untuk menghasilkan bebola ikan. Plasma darah digunakan kerana mengandungi sumber protein yang tinggi sehingga 80% dan bahan tambah tersebut berupaya memperbaiki kepejalan dan kekenyalan (keupayaan mengental = gelling ability) sesuatu produk selain berfungsi sebagai enzim penghalang hidrolisis molekul protein serta mengawal kualiti produk ketika sejuk beku. Memandangkan ianya sukar mengenalpasti produk yang dicemari atau diacampur plasma, maka ianya boleh dikenalpasti melalui kajian makmal termasuk menggunakan teknik Enzymelinked Immunosorbent Assay (ELISA). Kebiasaannya, keyakinan tepat keputusan ujian boleh mencapai 90 sehingga 99 peratus dan lebih mudah untuk makanan yang tidak diproses atau bahan mentah. Cara terbaik untuk mengesan kehadiran bahan tambah dalam surimi ialah ujian ke atas blok bahan mentah surimi yang diimport sebelum diagihkan kepada pegusaha industri berasakan surimi. (sumber lain di sini)

Yang jelas, apa jua alasan menghalalkan penggunaan darah adalah tidak diterima kerana ianya najis dan tidak halal di sisi syarak (al-Baqarah:173, al Maidah:3, an Nahl:115, al An’am:145). Rasulullah S.A.W. telah mengingatkan kepada kita bahawa apabila berlaku percampuran antara Halal dan haram, maka dilebihkan haram ke atas Halal. Juga ada perbincangan berkenaan ‘Istihalat’ (perubahan, pertukaran), yang mana tiada konsep di dalam sains yang sinonim atau memberi pengertian yang tepat berkenaannya. Daripada aspek perundagan makanan Negara, meskipun aspek-aspek keselamatan makanan telah diberi perhatian namun hakikatnya, masih belum ada peraturan yang benar-benar menjamin kehalalan produk disuap oleh kita hari ini. Peraturan makanan hanya melihat dari aspek berapa peratus bahan tambah dibenarkan untuk diletakkan di dalam makanan dengan tujuan mengelakkan kemudharatan kesihatan kepada pengguna. Pun begitu, kajian-kajian dan perkembangan teknologi dari semasa ke semasa memungkinkan trauma ini boleh diminimumkan. Kejayaan menghasilkan produk pengesan DNA babi dalam produk makanan atau bukan makanan yang dinamakan ‘HaFYS’ oleh sekumpulan penyelidik UPM boleh dibanggakan dan sedikit sebanyak mengubat permasalahan halal-haram yang mengelilingi umat Islam mutakhir ini.

KIAMAT, AKHIR ZAMAN DAN AZAN
Sebagai umat Islam, kita wajib meyakini bahawa hari kiamat untuk dunia ini pasti datang. Sebagaimana yang boleh kita lihat, peperangan demi peperangan, bencana demi bencana, gejala sosial dan krisis moral yang meruncing (contoh seks bebas, anak luar nikah, buang bayi di Malaysia yang semakin meningkat) serta petanda-petanda kiamat yang melanda dunia hari ini , telah bersediakan untuk hari tersebut atau setidak-tidaknya bersedia menghadapi hari kiamat diri sendiri (hari kematian?) Amat benarlah pesanan Rasulullah S.A.W,. bahawa sebijak-bijak manusia ialah yang sentiasa mengingati maut dan besedia untuknya. Apa tidaknya, hidup di dunia hanya untuk maksimum 60 ke 70 tahun (kata orang, umur sabsidi), tapi hidup selepas mati setelah dibangkitkan adalah selama-lamanya tanpa noktah. Sejauh manakah kita meyakini peringatan –peringatan dari Allah dan RasulNya, sebagaimana dikatakan persiapan kaum Yahudi menghadapi kebangkitan umat Islam di akhir zaman?

“ Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi maka pada waktu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok lalu mereka bersuara dengan katanya, “ Wahai Muslim, wahai hamba Allah, di belakang ku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya, kecuali pokok gharqad (yang tidak bersuara) kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi” (Riwayat Bukhari, Muslim dan al Tirmizi)

Tahukah kita, berapa banyakkan pokok Yahudi ini telah ditanam di negara haram Israel untuk menghadapi hari yang diperingatkan oleh Rasululluah S.A.W. lebih dari 1400 tahun yang lalu?

Propaganda musuh melalui ejennya, Hollywood telah menjaja filem 2012 kononnya berlaku kemusnahan besar terhadap dunia dan masih ada yang terselamat dengan menaiki bahtera penyelamat (jauh nun di China). Pada pandangan ambo yang serba lemah ini, filem ini tidak lain tidak bukan untuk menimbulkan penafian kepada kita terhadap suatu agenda besar yang dirancang oleh musuh yang disasarkan pada tahun 2012 nanti. Di sebalik kita menafikan berlakunya kiamat pada tahun 2012 nanti, dikatakan musuh bersedia untuk memulakan perang dunia ketiga dengan penghapusan etnik dan manusia secara besar-besaran, lebih hebat dari perang dunia pertama dan kedua. Bukankah di akhir cerita tersebut menunjukkan masih ada minoriti manusia (kebanyakkannya golongan elit, berkedudukan dan berharta) yang tinggal di atas bahtera tersebut dan menghala ke Afrika? Renung-renungkan..salah satu tanda kiamat adalah kehadiran dajal dan yakjuj makjuj.

Juga yang menarik perhatian berkenaan hikmah azan dari sudut gelombang otak. Azan yang dilaungkan bukan sekadar menyeru solat malah bertindak menstabilkan gelombang dunia yang tinggi. Apabila dilaungkan, azan mengeluarkan gelombang theta yang bergelombang rendah. Dalam kajian ini, terdapat empat jenis gelombang yang dihasilkan iaitu alfa (pokok dan haiwan yang sentiasa bertasbih kepada Allah), beta (manusia), theta (azan, memuji Allah) dan delta (tidur). Dianggarkan hampir 90% populasi dunia kini berada dalam gelombang beta (stress, buntu dan segala perkara negatif). Ini kerana semakin banyak pokok ditebang, haiwan dibunuh dan hutan diterangkan untuk pemodenan dan pembangunan, maka tahap gelombang alfa semakin berkurangan. Ada benarnya andai menatap dada-dada akhbar dan media elektronik dengan pendedahan kes-kes pembunuhan, amuk, membunuh diri dan krisis moral yang semakin berleluasa.

Azan tanda sayang dari Allah? Mengapa amat-amat dianjurkan solat pada awal waktu? Kerana Allah terlalu sayangkan hambaNya maka diberi peluang kepada setiap orang untuk menikmati gelombang theta ini. Solat pada gelombang theta menyebabkan tiga perkara; pembebasan hormone melatonin (pengawal trafik benda dalam badan, tekanan, mengoksidakan radikal bebas), edrofin (morfin semulajadi manusia, penenang) dan serotonin (agen ceria) selain untuk mencapai salah satu cara kekhusyukan dalam solat. Wallahu a’lam.

TEMPAT NAIK, NABI NUH A.S., JIN, ORANG YANG BERKEMUL DAN BERSELIMUT
Jam menunjukkan hampir pukul 4.00 petang. Bas baru sahaja tiba di Felda Chegar Perah. Trafik kali ini agak lancer dengan kelajuan 80- 90 km/j. Kali ni bas tidak berhenti di tempat hentian biasa dan berhenti agak ke depan di stesyen minyak Caltex Merapoh. Isi minyak agaknya. Ambo ambil kesempatan ini untuk ke ‘kamar kecil’ (restroom) untuk sedikit hajat bersama penumpang-penumpang yang lain. Ada juga yang mengambil sedkit makanan dan mimunan sebagai bekalan persiapan untuk berbuka. Alhamdulillah, ambo telah bersedia lebih awal dengan beberapa biji kurma dan sebotol air mineral 500ml.

Alhamdulillah, ambo juga mengambil kesempatan tadi untuk mengambil wudhu. Sekurang-kurangnya dapat meneruskan bacaan al Quran dalam bulan ‘pesta’ ibadah ini. Dengan al Quran terjemahan yang dibawa bersama, dengan izin Allah, ambo berjaya menghabiskan baki surah 70 dan menyempurnakan surah 71 hingga 74.

Al Ma’arij ~ terdiri 44 ayat (Makkiyyah), kata jamak dari mi’raj, maksud dari segi bahasa ialah tempat naik, lain-lain tafsiran ialah langit, nikmat kurniaan dan darjat atau tingkatan yang diberikan Allah S.W.T. kepada ahli syurga. Antara isi kandungannya ialah berkenaan perintah bersabar kepada Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi ejekan dan keingkaran orang-orang kafir, kejadian pada hari kiamat, azab Allah tidak boleh dihindarkan dengan tebusan, sifat manusia yang mendorong ke api neraka, amal perbuatan yang membawa manusia ke martabat tinggi dan peringatan Allah akan menggantikan kaum yang derhaka dengan kaum yang lebih baik

Nuh ~ terdiri 28 ayat (Makkiyyah), merujuk kepada perjuangan dakwah dan doa Nabi Nuh A.S. Antara isi kandungannya ialah berkenaan ajakan Nabi Nuh A.S kepada kaumnya untuk beriman kepada Allah S.W.T. serta bertaubat kepadaNya, perintah memerhatikan kejadian alam semesta dan kejadian manusia, seksaan Allah di dunia dan akhirat bagi kaum yang kafir dan doa Nabi Nuh A.S.

Jin ~ terdiri 28 ayat (Makkiyyah), merujuk kepada kisah Jin yang mendengar pembacaan al Quran dan mengikut ajaran al Quran tersebut. Antara isi kandungannya ialah berkenaan pengetahuan tentang jin diperolehi oleh Rasulullah s.A.W. adalah dengan jalan wahyu, penyataan iman segolongan jin kepada Allah, terdapat jin yang beriman dan kafir, janji Allah untuk melimpahkan rezekiNya bagi manusia dan jin yang mengikuti jalan yang lurus, janji perlindungan Allah terhadap Rasulullah S.A.W. dan wahyu yang dibawanya.

Al Muzzammil ~ terdiri 20 ayat (Makkiyyah), bermakna orang yang berselimut, merujuk kepada seruan Nabi Muhammad S.A.W (dalam konteks semasa, kepada umat Nabi Muhammad S.A.W). Antara isi kandungannya ialah berkenaan petunjuk-petunjuk yang harus dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menguatkan rohani dalam persiapan menerima wahyu iatu dengan bangun malam bertahajud, membaca al Quran dengan tartil, bertasbih dan bertahmid, perintah bersabar dengan celaan orang-orang yang mendustakan Rasul, perintah kepada umat Islam untuk bertahajud, berjihad di jalan Allah, membac al Quran, mendirikan solat, menunaikan zakat, membelanjakan harta di jalan Allah dan memohon ampunan Allah S.W.T.

Al Muddasir ~ terdiri 56 ayat (Makkiyyah), bermakna orang yang berkemul (berselimut), juga merujuk kepada seruan Nabi Muhammad S.A.W (dalam konteks semasa, kepada umat Nabi Muhammad S.A.W). Antara isi kandungannya ialah berkenaan perintah untuk mulai berdakwah mengagungkan Allah, membersikan pakaian, menjauhi maksiat, memberika sesuatu dengan ikhlas dan bersabar menjalan kan perintah dan menjauhi larangan Allah, azab dari Allah untuk penentang Rasulullah S.A.W. dan pendusta al Quran dan setiap manusia terikat dengan apa yang diusahakan mereka.

Tidak jauh dari tempat Rehat dan Rawat Gua Musang, bas berhenti di sebuah surau untuk memberi laluan kepada penumpangnya menyempurnakan solat. Ambo mengambil kesempatan ini untuk solat jamak Takhir berjemaah bersama beberapa penumpang yang lain.

MUTIARA KATA SEORANG PEMIMPIN UMAT
Berikut dikongsikan beberapa mutiara kata dari Ketua Kerajaan negeri tumpah darahku yang amat disayangi oleh rakyatnya yang mana ambo petik daripada buku terbaru hasil karya Setiausaha Akhabr beliau, yang sama nama dengan ambo melalui “100 Mutiara Kata Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang 2010” yang baru dilancarkan awal Ramadhan tahun ini dan berjaya ambo khatamkan dalam perjalanan ini, yang pada pandangan ambo relevan dengan suasana balik raya ini :

“Jika memandu kereta perlukan lesen, menggunakan senjata api perlukan lesen, maka hidup di dunia juga perlukan lesen. Lesen itu ialah Islam. Hidup di dunia dengan menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen..” (tazkirah ringkas di Pejabat MB, 25 Mei 2010)

“Bila kita berugama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus melakukan dosa. Tanpa adanya yakin seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka..” (Sidang media selepas Mesyuarat Exco pada 30 Jun 2010)

“Seorang pemandu kereta belum tentu membawa kita ke destinasi yang betul. Walaupun dia tahu cara memandu, hidupkan enjin, masuk gear dan sebagainya, tetapi jika tidak tahu jalan yang betul, akan tetap tersesat. Demikian juga seorang pembaca al Quran, tajwidnya betul, suaranya baik, makhrajnya tepat jika tidak diamalkan, ia tidak akan menunjuk jalan yang betul iaitu ke syurga..”(Kuliah di Medan Ilmu, Kota Bharu pada 18 Jun 2010)

“Bila tiba cuti sekolah, anak-anak berduyun-duyun balik kampung, Alhamdulillah. TApi sedarkah kita, bila tiba kita di akhirat kelak, tidak ada lagi balik kampung. Orang Kelantan tidak boleh balik Kelantan, orang Terengganu tidak boleh balik Terengganu. Semuanya kekal di akhirat sahaja tanpa dapat balik semula. Beringat-ingatlah sebelum tiba masanya kita tidak dibenarkan lagi balik ke kampung lagi..” (Khutbah Jumaat di Masjid Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu pada 4 Jun 2010)



BERHATI-HATI DI JALAN RAYA, KEGEMBIRAAN ORANG BERPUASA, MELAYU
Tayar bas terus bergolek, melepasi Lakloh dan jam menunjukkan hampir pukul 7.00 petang. Nampak gaya, memang sah ambo akan berbuka dalam bas. Baru sahaja tadi melepasi satu lagi lokasi kemalangan. Ambo kira tidak kurang tiga kemalangan sepanjang perjalanan ambo dari Bentong hinggalah menghampiri Kuala Krai, seperti mana tahun-tahun sebelum ini. Walaupun operasi demi operasi dan kempen keselematan jalan raya dilancarkan untuk mengurangkan kemalangan dijalankan saban tahun, statistik kemalangan masih berlaku dan ada sahaja laporan hari demi hari. Pada pandangan ambo, sikap terburu-buru, tidak sabar dan tidak bertolak ansur adalah antara punca kemalangan ini, manakan tidak andai sanggup memotong di “double line” sehingga kadang-kadang orang yang memotong “double line” ini pun masih dipotong. Maklumat lanjut untuk ops sikap boleh dirujuk di sini. Pandu cermat, jiwa selamat. Berhati-hati di jalan raya. Ingatlah yang tersayang.

Tepat jam 7.17 petang, telah masuk waktu Maghrib bagi zon 1 negeri Kelantan sebelum sempat tiba di simpang tiga Guchil, Kuala Krai. Ambo berbuka dengan bekal beberapa biji kurma dan air mineral yang dibawa. Bas berhenti agak depan sedikit di sebuah restoran di Batu Jong, namun makanannya telah habis, mungkin ramai yang singgah di restoran ini untuk berbuka tadi. Sambil menunggu pemandu bas menikmati juadah berbuka mereka, ambo albil kesempatan menyelak dan membaca buku “Kepimpinan Masa Depan : Berakhirkah dilemma Melayu” terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd cetakan pertama 1987 yang dikarang oleh Ahmad Atory Hussain (di Jabatan Sains Politik UKM pada tahun itu). Tidak banyak perbincangan ilmiah yang dikupas dan bincangkan melalui karya ini, melainkan kebanyakannya lebih bersifat perkauman Melayu dan juga ketaksuban kepada pemimpin tertentu. Jika tidak silap pada perkiraan ambo, buku ini dikarang sebelum parti UMNO diharamkan dan lahirnya parti kaum Melayu yang baru iaitu UMNO Baru dengan Tun Dr Mahathir Muhammad sebagai Presidennya yang pertama (Namun begitu roh semangat UMNO yang haram itu masih diteruskan oleh parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh).

Antara persoalan yang dibincangkan termasuklah dilemma politik Melayu, kedatangan orang Cina dan india sebagai bala, arah tuju dan cabaran orang Melayu, masalah Melayu Pulau Pinang, kerugian dan kelemahan orang Melayu, asas nasionalisme Melayu, kebimbangan kaum bukan Melayu dan aliran pendapat masa kini mereka, pendekatan membendung perkauman, corak kepimpinan masa depan dan siapa pemimpin masa depan. Juga yang menarik perhatian ambo berkenaan isu perbalahan UMNO-PAS yang turut didendangkan dan masih dilagukan sehingga ke hari ini. Berkenaan isu ini, pakat renung-renungkanlah petikan berikut sama ada buku ini hasil kerja seorang sarjana, pengunjung kedai kopi atau pelajar sekolah rendah :

Pemahaman kebiasaan graduan BTN & benarkah 100% Melayu itu Islam? ~ “..Dalam kafir-mengkafir menajdi-jadi hingga hendak berdebat (tapi tidak jadi), Sabah telah dikuasai oleh orang-orang bukan Islam. Lepas itu nampak reda sedikit. Orang PAS mengatakan UMNO berfahaman asabiah dan kebangsaan, atau nasionalisme yang diamalkan oleh UMNO adalah tidak Islam. Pada saya, orang PAS sendiri tidak faham dengan konsep asabiah dan nasionalisme Melayu. Sebenarnya, dalam konteks orang Melayu, Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Tidak ada dalam dunia ini yang penduduknya seratus peratus (100%) Islam melainkan orang Melayu sahaja…”

Masih tidak sedar Malaysia adalah negara berbagai Bangsa, tidak mustahilkah bangsa lain yang beragama Islam lebih ramai dari Melayu suatu hari nanti ? ~ “..Kita bolah juga sebut Dasar Ekonomi Baru itu untuk membantu orang Islam – bermakna juga orang Melayu. Siapa lagi orang Islam di Negara ini kalau tidak orang Melayu?(Orang dari bangsa lain tidak banyak!)..”

Adakah Mahasiswa dididik untuk dikongkong pemikiran dan idea mereka sehingga jadi pak turut? ~ “..Pening juga kita memikirkan, kenapa hal ini berlaku, padahal universiti-universiti di Negara ini adalah ditubuhkan oleh kerajaan. Sepatutnya mahasiswanya mestilah prokerajaan…”

Suatu sangkaan yang buruk dan tuduhan yang belum dibuktikan, hidayah untuk menerima Islam adalah ketentuan Allah ~ “..Pada pandangan bukan Islam, saya kira, mereka tetap mengatakan dasar-dasar Islam (yang kita kata adil) itu sebagai tidak adil! Bolehkah PAS memberi jaminan bahawa sekalipun ia menjalankan segala-galanya berunsur Islam tulen kalau ia memerintah nanti, orang bukan Islam akan menagkui bahawa dasar-dasar Islam itu adil?.... Sebagai seorang Islam, saya sangat ragu-ragu kepada orang bukan Islam. Sekalipun dilihat dari lahiriah mereka mengakui keadilan dan kebaikan orang kita (Islam) tetapi di hati kecil meraka, siapa yang tahu? “

Banyak lagi point-point yang diketengahkan dalam buku ini yang masih boleh dipersoalkan, namun cukuplah sekadar itu untuk coretan ini bagi renungan kita bersama. Adakah UMNO Baru yang diperjuangkan hari ini masih meneruskan legasi UMNO yang dahulu atau menanti masa untuk dikuburkan dan ditalkinkan atas kesedaran generasi hari ini yang inginkan Malaysia yang lebih baik, berkebajikan dan adil untuk semua selaras dengan tuntutan syarak.

Petikan terakhir sebagai renungan :
“Semasa saya menulis warkah ini, orang-orang Melayu dan UMNO amnya sedang sibuk memilih pemimpin-pemimpin mereka di semua peringkat parti;……Apa yang lebih menarik lagi, ada sebuah cawangan yang membuat usul tidak percaya pada Presiden Parti (Perdana Menteri). Rasa saya, usul tidak percaya dari sebuah cawangan yang meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan itu merupakan satu peristiwa yang belum pernah terjadi sejak dulu hingga sekarang….UMNO sudah mula mengutamakan prinsip-prinsip ganjaran (reward – atau rasuah?) kepada mereka yang berkedudukan. Perjuangan-perjuangan UMNO yang dulu begitu hangat seperti Bahasa Kebangsaan, hak-hak istimewa Melayu dan kemiskinan orang melayu seolah-olah sudah tidak ada lagi….Di dalam UMNO sekarang, berlaku politik puak (faction). Puak yang kaya akan mengatasi puak yang kurang kaya…..Untuk naik ke atas dan mengekalkan kedudukan, semuanya dijalankan melalui isu-isu perkauman atas nama menjaga kepentingan dan melindungi hak-hak Melayu, tetapi hasilnya tidak memberi apa-apa makna..”

Mungkin PERKASA ada sedikit jawapan untuk di atas. Namun, Islam adalah tetap pilihan ambo baik untuk PRU yang mendatang ini ataupun seluruh hidup ambo.

PENUTUP
Alhamdulillah, hampir jam 10.00 malam, ambo tiba di Nilam Puri dan berhenti solat di Masjid Mukim Kedai Mulong. Setelah selesai solat Ta’khir dan solat sunat Terawih (Alhamdulillah, sempat 6 rakaat), kelihatan kelibat adik-adik iparku telah sampai dan menunggu di luar masjid. Syukur Ya Allah, Engkau sampaikan daku di negeri yang bertuah dan barakah ini dengan selamat dan moga-moga kepulanganku menjadi asbab kegembiraan dan bertambah iman mereka bagi insan-insan yang aku sayangi dan cintai.

“Ya Allah, Ta tuhanku, tempatkanlah aku di sebaik-baik tempat yang penuh barakah. Dan Engkau sebaik-baik pemberi tempat”

SELAMAT HARI RAYA EIDIL FITRI. MAAF ZAHIR BATIN. 
MINAL AIDIL WAL FAIIZIN. 
TAQABBALLAHU MINNA MINKUM AMALAN SOLIHAN, 
TAQABBAL YA KAREEM.

Moga-moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.W.T. dan menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.  Doakan agar kami dapat selamat sampai di kampung tercinta dan doa kami untuk ada juga sama, merayakan kemenanangan setelah bergraduasi sebagai orang 'baru' yang lebih bertaqwa kepada Sang Maha Pencipta, Allah S.W.T.  Jangan lupa, kita masih berbaki 4 hari lagi Ramadhan.

Salam pencinta Lailatul Qadr

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal

Friday 2 August 2013

Gam Arab adalah Manna ? Siri 1

"Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Manna" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri." ( Al-Baqarah : 57)

Bismillah. 

Salam 24 Ramadhan.  Sana-sini telah berkumandang lagu-lagu raya.  Raya pun raya juga, tapi janganlah sampai terlepas 'lubuk emas' yang telah Allah S.W.T. sediakan dalam bulan Ramadhan ini terutama dalam sepuluh malam terakhir. Bonus yang terhebat sudah pastilah malam 'Lailatul Qadr'. Tidak usahlah berkira-kira bilakah malamnya, hidupkan sahaja malam-malam akhir ini dengan taqarub kepadaNya.  Hiasilah dengan solat-solat sunat, zikir, bacaan dan tadabbur al Quran dan bermuhasabah diri, bukannya menghidupkan pelita untuk tujuh likur! Bak kata pesan ustaz yang bagi tazkirah di surau Al Amin Seksyen 8 Bangi tempoh hari, Ramadhan mahupun Lailatul Qadr hanyalah alat untuk mencapai matlamat mardhatillah dan status hamba yang lebih bertaqwa kepada Allah Taala sepanjang bulan. 

InsyaAllah, kali ini, ambo akan kongsikan sedikit berkenaan Gam Arab. Apa itu Gam Arab? Belakangan ini, kerap kita didedahkan dalam radio bahawa produk kesihatan sama ada yang dikatakan berasaskan pemakanan sunnah ataupun tidak didatangkan dengan bahan yang dikatakan bertindak sebagai prebiotik, memberi kesan kekenyangan dan kondisioner dalam makanan tersebut.  Bahan itu biasanya dikaitkan dengan Manna iaitu makanan dari langit kepada Bani Israel semasa zaman kepimpinan Nabi Musa A.S. bersama Salwa. Jenis makanan apa pula Manna ini? 


Gam Arab (GA) adalah eksudat (bendalir yang keluar daripada kulit kayu pokok tertentu apabila ditoreh atau ‘dicederakan’) bergetah kering yang diperoleh daripada batang dan ranting pokok Akasia Senegal atau Akasia Seyal.  Penggunaan awal GA dibongkar dan ditemui oleh orang-orang Mesir untuk pengawetan mumia dan juga untuk penulisan inskripsi hiroglif. Pokok spesies Akasia tumbuh secara semulajadi di kawasan sub-Sahara Afrika yang separa gersang.  Bentuk GA adalah bercabang dan berantai, polisakarida yang kompleks, sama ada neutral atau sedikit berasid, didapati dalam keadaan campuran garam kalsium, magnesium dan kalium asid polisakarida (asid Arab).

Struktur GA adalah agak kompleks dengan rangkaian utama polisakarida ini dibina daripada (1 → 3) dan (1 → 6) rantaian unit β-D-galaktopiranosil bersama-sama dengan (1 → 6) rantaian unit asid uronik β-D-glukopiranosil.  Cabangan sampingan boleh mengandungi α-L-Rhamnopiranosa, asid β-D-lukuronik, β-D-galaktopiranosa dan unit α-L-arabinofuranosil dengan (1 → 3), (1 → 4), dan (1 → 6) rantaian glikosidik. Para penyelidik bersetuju bahawa GA mempunyai tiga bahagian utama (Williams et al 1990) iaitu :

1. Bahagian utama ialah polisakarida yang sangat bercabang (MW = 3 × 105)  yang terdiri daripada tulang belakang β-(1   3) Galaktosa, yang dihubungkan dengan cabangan Arabinosa dan Rhamnosa, yang menyingkirkan asid glukuronik (ditemui dalam alam semula jadi sebagaimana garam magnesium, kalium, dan kalsium).

2. Bahagian kecil (~ 10%) dengan berat molekul yang lebih tinggi (~ 1 × 106 g / mol) iaitu kompleks protein-arabinogalaktan (Glikoprotein GAGP-GA) di mana rantaian arabinogalaktan diikatkan secara kovalen dengan rantaian protein melalui kumpulan asid amino serina dan hidroksiprolina.  Arabinogalaktan yang terikat dalam kompleks ini mengandungi ~ 13% asid glukoronik.

3. Pecahan yang terkecil (~ 1%) mempunyai kandungan protein yang paling tinggi (~ 50% berat) adalah Glikoprotein (GP) yang mempunyai komposisi asid amino yang berbeza.  Komposisi utama dicabangkan kepada polisakarida bahagian utama (MW = 3 × 105).



Sebagai mana diterangkan sebelum ini, GA diperolehi daripada dua jenis pokok Akasia yang berbeza, iaitu Senagel dan Seyal. Kedua-dua jenis akasia ini mempunyai komposisi kimia dan ciri-ciri fizikal yang berbeza.  Meskipun kedua-dua jenis gam ini mempunyai residu gula yang hampir sama tetapi jenis Senegal mempunyai kandungan arabinosa dan kandungan 4-O-metil asid glukuronik yang lebih rendah berbanding jenis Seyal.  Sementara itu, jenis Senegal mempunyai kandungan rhamnosa dan kandungan asid glukuronik yang lebih tinggi berbanding Seyal.  Terdapat perbezaan purata jisim molekul antara kedua-dua jenis akasia ini di mana jenis Seyal adalah lebih tinggi daripada jenis Senegal walaupun kedua-duanya mempunyai ciri-ciri pengagihan jisim molekul yang hampir sama.  Data analisis bagi jenis Senegal dan Seyal diberikan dalam Jadual 1

Williams dan rakan sekerja (1990) mendapati bahawa pecahan yang kaya dengan protein mempunyai kandungan asid glukuronik yang lebih rendah.  Pecahan GA menunjukkan bahawa hanya komponen AGP dan GP komponen mempunyai struktur sekunder (Renard et al. 2006). Pecahan AGP diasingkan melalui kromatografi penapisan gel dan protein dipisahkan melalui penyaglikosilasi (deglycosylation) dengan asid hidrofluorik (HF) (Qi et al. 1991).  Pecahan AGP-protein mengandungi kira-kira 400 asid amino (~ 33% adalah hidroksiprolina).  Mahendran et al. 2008 mendakwa bahawa pecahan AGP adalah terdiri daripada susunan blok karbohidrat yang diikat pada rantaian polipeptida oleh ikatan kovalen pada serina dan hidroksiprolina. Komposisi asid amino dalam jenis Senegal dan Seyal adalah sama dengan unsur utamanya ialah serina dan hidroksiprolin (Jadual 2).

Pada masa kini, GA sedang digunakan dan diaplikasikan secara meluas sebagai penstabil, pemekat, pengemulsi dan pengkapsulan (encapsulation) dalam industri makanan, dan sedikit sebanyak dalam industry tekstil, seramik, litografi, kosmetik dan farmaseutikal (Verbeken et al. 2003). Dalam industri makanan, GA digunakan terutamanya dalam konfeksioneri, reroti, tenusu, minuman, dan sebagai ejen pengkapsulan. GA melakukan dua fungsi penting iaitu untuk melambatkan atau menghalang penghabluran gula, dan untuk pengemulsian lemak untuk memastikan penyebarannya adalah sama rata di seluruh produk.

GA adalah sama sekali berbeza daripada gam yang lain dimana ianya mempunyai kelarutan dalam air yang lebih tinggi dan kelikatan yang agak rendah.  GA boleh larut dalam air sejuk dalam kepekatan yang melebihi 5% manakala kebanyakan gam tidak boleh larut dalam air sejuk. Malah, GA mampu juga larut dalam air dengan kepekatan 50% w / v, dengan membentuk satu sebatian cecair dengan sifat-sifat berasid (pH ~ 4.5).  GA menjadi sebatian likat pada kepekatan yang tinggi kerana struktur molekulnya yang sangat bercabang mendorong kepada  kepadatan jumlah kecil hidrodinamik

GA adalah bahan heterogen yang mempunyai kedua-dua ciri hidrofilik dan hidrofobik. Maklumbalas fizikokimia GA adalah bergantung kepada keseimbangan interaksi hidrofilik dan hidrofobik ini.  Polimer yang mempunyai struktur molekul yang sangat bercabang dan berat molekul yang rendah ini bertanggungjawab memberikan sifat-sifatnya.  Ciri unik GA uang lain termasuklah perkaitan atau ikatan kovalennya dengan moieti (Suatu kumpulan atau radikal pada suatu sebatian) protein.  Moieti protein ini dianggarkan kaya dengan hidroksiprolina (Hyp), serina (Ser), dan prolina (Pro) yang merupakan teras dengan subunit polisakarida diikat melalui rantaian Ara-Hyp (model berbunga wattle). Moieti protein GA berperanan untuk sifat-sifat aktiviti permukaan, pembuihan (foaming) dan pengemulsian polimer ini (Phillips & Williams, 2000).

Dengan kata lain, bolehlah dijangkakan bahawa rantaian polipeptida hidrofobik menjerap dan menyusunatur molekul ke permukaan manakala blok karbohidrat menghalang flokulasi (Pengumpulan atau penggumpalan zarah kecil untuk membentuk zarah yang lebih besar) dan penggabungan melalui penolakan (repulsion) elektrostatik dan sterik.  GA berfungsi dengan mengurangkan ketegangan antara permukaan (interfacial tension) minyak-air, sekali gus memudahkan gangguan titisan emulsi semasa penyeragaman (homogenization).  Peptida yang hidrofobik menjerap kuat ke permukaan titisan minyak, manakala rantaian polisakarida yang hidrofilik memanjang keluar ke dalam sebatian, menghalang flokulasi ) dan penggabungan titisan melalui daya tolakan elektrostatik dan sterik.


Kompleks AGP adalah komponen utama yang berperanan memberi keupayaan kepada GA untuk menstabilkan emulsi, dengan menggabungkan komponen AGP protein yang ampifilik dengan permukaan titisan minyak, manakala pecahan karbohidrat yang hidrofilik yang disusn hala ke arah fasa cecair, menghalang pengumpulan (aggregation) titisan dengan penolakan elektrostatik. Polisakarida dimaklumi cenderung untuk bercampur dalam larutan cecair akueus.

bersambung ..

Moga-moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.W.T. dan menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal

(penulisan bersama Sdr Hamad Mohamad Salah Omar, pelajar Sarjana UKM dan pemuda hebat dari bumi Libya dalam memenuhi tugasan Kimia Makanan Lanjutan 2013)

Sumber :
1.         Bernard F. Gibbs, Selim Kermasha, Inteaz Alli and Catherine N. Mulligan. 1999. Encapsulation in the food industry: a review. International Journal of Food Sciences and Nutrition (1999) 50, 213±224
2.         Kashappa Goud H. Desai and Hyun Jin Park. 2005. Recent Developments in Microencapsulation of Food Ingredients. Drying Technology, 23: 1361–1394
3.         Shatabhisa Sarkar, Sumit Gupta, Prasad S. Variyar, Arun Sharma, Rekha S. Singhal. 2013. Hydrophobic derivatives of guar gum hydrolyzate and gum Arabic as matrices for microencapsulation of mint oil. Carbohydrate Polymers 95 (2013) 177– 182
4.         Adem Gharsallaoui, Gae¨lle Roudaut, Odile Chambin, Andre´e Voilley, Re´mi Saurel. 2007. Applications of spray-drying in microencapsulation of food ingredients: An overview. Food Research International 40 (2007) 1107–1121
5.         Jyothi Sri.S, A.Seethadevi, K.Suria Prabha, P.Muthuprasanna and ,P.Pavitra. 2012. Microencapsulation: A Review. International Journal of Pharma and Bio Sciences. Vol 3/Issue 1/Jan – Mar 2012
6.         Demet Guzey, D. Julian McClements 2006. Formation, stability and properties of multilayer emulsions for application in the food industry. Advances in Colloid and Interface Science 128–130 (2006) 227–248
7.         Savitha Krishnan, Rajesh Bhosale, Rekha S. Singhal. 2005. Microencapsulation of cardamom oleoresin: Evaluation of blends of gum Arabic, maltodextrin and a modified starch as wall materials. Carbohydrate Polymers 61 (2005) 95–102
8.         Vanna Sanna, Imtiaz A. Siddiqui, Mario SechiHasan Mukhta. 2013. Nanoformulation of natural products for prevention and therapy of prostate cancer. Cancer Letters 334 (2013) 142–151
9.         Christine Wandrey, Artur Bartkowiak, and Stephen E. Harding. 2010. Chapter 3 Materials for Encapsulation., Encapsulation Technologies for Active Food Ingredients and Food Processing.  Springer Science+Business Media
10.      Yael Dror, Yachin Cohen, Rachel Yerushalmi-Rozen. 2006. Structure of Gum Arabic in Aqueous Solution. Journal of Polymer Science: Part B: Polymer Physics, Vol. 44, 3265–3271
11.      Miri Klein, Abraham Aserin, Paul Ben Ishai, Nissim Garti. 2010. Interactions between whey protein isolate and gum Arabic. Colloids and Surfaces B: Biointerfaces 79 (2010) 377–383
12.      Shao-Ping Nie, Cathy Wang, Steve W. Cui, Qi Wang, Ming-Yong Xie, Glyn O. Phillips. 2013. A further amendment to the classical core structure of gum arabic (Acacia senegal). Food Hydrocolloids 31 (2013) 42-48
13.      A. M. Showalter. 2001. Arabinogalactan-proteins: structure, expression and function. CMLS, Cell. Mol. Life Sci. 58 (2001) 1399–1417
14.      Ana C.A. Roque, A. Bicho, Iris L. Batalha, Ana S. Cardoso, Abid Hussain. 2009. Biocompatible and bioactive gum Arabic coated iron oxide magnetic nanoparticles. Journal of Biotechnology 144 (2009) 313–320
15.      A. M. Showalter Williams, P. A., Phillips, G. O. & Stephen, A. M. 1990. Spectroscopic and molecular comparisons of three fractions from Acacia senegal gum. Food Hydrocolloids 4(4):305-311.
16.      Williams, P.A., Phillips, G.O., 2000. Gum Arabic. In: Phillips, Williams, P.A. (Eds.), Handbook of Hydrocolloids. Boca Raton: CRC Press.
17.      Osman, M.E.; Williams, P. A.; Menzies, A. R. & Phillips, G. O. 1993. Characterization of Commercial Samples of Gum Arabic. Journal of Agricultural and Food Chemistry 41(1):71-77
18.      Verbekan,D., Dierckx, S. & Dewettinck, K.2003. Exudate gums: occurrence, production, and applications. Applied Microbiology and Biotechnology 63:10–21
19.      Mahendran, T., Williams, P. A., Phillips, G. O., Al-Assaf, S. & Baldwin, T. C. 2008. New Insights into the Structural Characteristics of the Arabinogalactan-Protein (AGP) Fraction of Gum Arabic. Journal of Agricultural and Food Chemistry 56(19): 9269-9276.
20.      Ross, A. H., Eastwood, M. A.,  Brydon, W.G., Anderson, J.R. & Anderson, D. M. 1983. A study of the effects of dietary gum arabic in humans. American Journal of Clinical Nutrition 37(3):368–375.