Saturday 24 November 2012

Niat dan Matlamat

Bismillah. Menjelang sambutan tahun baru Hijriah mahupun Masihiah saban tahun, maka akan kedengaran sesuatu azam atau matlamat baru diungkapkan oleh rata-rata orang kita, baik Muslim atau bukan Muslim.  Yang pastinya, azam atau matlamat ini mengekpresikan perubahan dan peralihan kepada sesuatu yang lebih baik dan lebih cemerlang.  Orang sekarang suka menggunakan istilah  'Transformasi' atau  tidak kurang juga yang bersifat 'Reformasi.  Bagi orang Muslim,  ada di kalangan kita yang akan berusaha meningkatkan keupayaan diri menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dengan menambahkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut.

Menurut mantan Mufti Perlis, Al Fadhil Ustaz Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah S.W.T, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.

Beliau memetik kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Niat ialah TUJUAN dan AZAM melakukan sesuatu. Tempatnya di HATI. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).

Beliau juga memetik catitan dari Dr Yusuf al-Qaradawi iaitu:

Niat ini adalah amalan HATI semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was” (http//:qaradawi.net).
Definisi yang diberikan oleh tokoh-tokoh ulama yang menjadi rujukan ini adalah seiringan dengan sabdaan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. berkaitan niat, termasuklah sebagaimana dalam kitab Hadis Al-Arba’un an-Nawawiyyah wa Syarhuha, himpunan 40 hadis yang disusun oleh  Imam an-Nawawi Rahimahullah : 


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia nia

tkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. (Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih.)


Jika diperhatikan hadis di atas, Rasulullah S.A.W. mengaitkan niat dengan amal. Sinergi niat dan amal ini perlu sentiasa bergandingan. Tidak boleh berniat sahaja tanpa amal. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Oleh itu sesiapa yang berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang salih dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. [al-Kahfi 18:110]

Terdapat dua unsur penting dalam ayat di atas yang saling mengikat antara satu sama lain. Jika salah satu daripadanya terpisah, maka gugurlah kedua-duanya:

1.      Keikhlasan niat, yakni “…berharap akan pertemuan dengan Tuhannya…” dan “…janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”

2.      Amal perbuatan, yakni “…hendaklah dia mengerjakan amal yang salih…”

Tidak boleh berniat sahaja lalu dengan sengaja meninggalkan amal. Ini sebagaimana yang berlaku kepada sebahagian orang sekarang ini di mana mereka mendakwa berniat melakukan sesuatu amal yang baik di sisi agama namun niat tersebut secara sengaja tidak diterjemahkan kepada perbuatan.

InsyaAllah, moga-moga kita mengikhlaskan niat kerana Allah S.W.T. dan berusaha untuk mengikuti dengan cara terbaik yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.  Akhir skali, sama-sama kita renungi lagu dari Sdr Muaz Dzulkifli berkenaan hadis niat ini



Moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.w.t. dan menjadi bekalan akhirat kelak. 



Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi halal
progenfadhli@gmail.com

kredit to :
1. http://drmaza.com/home/?p=704
2. http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah-3/Tajuk%201.htm
3.http://kerinduanberpanjangan.blogspot.com/2012/07/hadis-40-imam-nawawi-hadis-1.html 

Thursday 22 November 2012

Bismillah

Bismillah ..sebutannya ringan sahaja di bibir, namun besar maknanya apabila disebut oleh seseorang yang mengakui dirinya seorang Muslim.
Mengenang peristiwa junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pulang dari bumi Thaif dalam keadaan dakwah baginda tidak diterima oleh Bani Thaqif  malah dihina dengan lontaran-lontaran batu oleh kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa.  Namun kehadiran Addas sedikit mengubat kedukaan baginda.  Siapakah Addas ini? Addas merupakan hamba yang beragama Nasrani, hamba kepada Utbah dan Syaibah, anak-anak lelaki Rabiah.  Kedua-dua tuannya telah meminta beliau menghidangkan setangkai anggur kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W. semasa baginda sedang berlindung dalam sebuah kebun.  Addas diperintahkan oleh tuan-tuannya setelah melihat kepenatan Rasulullah S.A.W. menerima layanan buruk Thaqif.  Saat inilah cerita 'Bismillah' bermula. Apabila Addas menghidangkan anggur tersebut kepada Rasulullah S.A.W, maka kalimah mulia ini 'Bismillah' dilafazkan oleh baginda apabila mula memakannya.  SubhanaAllah, ucapan itu amat menarik perhatian Addas kerana belum pernah sesiapapun mengucapkan kalimah seumpama itu sebelum ini dan Alhamdulillah, pintu hidayah Addas yang diketuk telah bersahut sehingga beliau memeluk Islam setelah berdialog dengan Rasulullah S.A.W. 

Bismillah atau Basmalah adalah bacaan yang sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan umat Islam.  Kalimah ini biasanya diucapkan sebelum membaca ayat suci Al Quran mahupun saat memulai sesuatu hal seperti makan, duduk, bekerja dan lain-lain.  Apabila kita memakai pakaian, kita membaca Bismillah.  Apabila kita membaca buku dan menulis, kita baca Bismillah.  Apabila kita hendak masuk ke tandas, maka kita akan membaca Bismillah dan memohon perlindungan Allah dari syaitan sebelum memasukinya.  Kita buat apa sahaja, maka bacaan Bismillah akan disebut sebelum memulakannya.


Apa sebenarnya makna bismillah ini? Ya, semua sudah maklum maknaya 'Dengan Nama Allah".  Dengan menyebut nama Allah sebelum memulakan sesuatu perbuatan atau pekerjaan, maka insyaAllah perkara tersebut termasuk dalam ibadah.  Apabila pakaian yang dipakai dengan nama Allah, menutup aurat kerana akur perintahNya dan cinta kepadaNya, maka bermula dari niat & perbuatan memakai pakaian tersebut, insyaAllah amalan kebaikan akan sentiasa tertulis sehinggalah kita menanggalkan pakaian tersebut.  Apabila kita membaca dengan memulakan menyebut nama Allah, maka bermulalah catitan amalan kebaikan sehinggalah buku tersebut ditutup dan apabila sebelum masuk ke tandas pun dimulai dengan nama Allah, maka sepanjang kita duduk daam tandas itu, selama itulah kebaikan itu tercatat malah dikira sebagai ibadah.  Apatah lagi jika dihiasi dengan amalan-amalan sunnnah Rasulullah S.A.W. 

Subahanallah. Bismillah mengajar kita asas ibadah, neraca sama ada berat atau tidak untuk sebagai hamba Allah yang Islam, sehinggalah kita benar-benar merasi bahawa benarlah Islam tidak dapat dipisahkan dari kehidupan kita sehingga keluarlah ungkapan ' Islam ~ The Way of Life'.  Suburkanlah hati kita dengan Allah dengan namaNya sentiasa di bibir, di hati dan perbuatan kita. Terkadang tergelecoh (tergelincir) dari rel, sama ada sedar atau tidak, bersegera beristighfar kepadaNya dan mohon keampunanNya. Indahnya lagi apabila kalimah Bismillah ini digabungjalin dengan asmaNya yang agung, Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah) dan Ar-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Bismillahirrahmanirrahim ~ Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


InsyaAllah, wadah blog Abdullah Abas ini menjadi pengganti blog i-genhalal yang tegendala sejak lebih setahun lepas. Kenapa yer agaknya? insyaAllah, pada kesempatan lain ambo cuba kongsikan :-).  Melalui wadah ini, ambo harapkan dapat berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman sama ada daripada kehidupan atau profesyen ambo sebagai fasilitator / konsultant Halal & Keselamatan Makanan.  Juga dikongsikan nota-nota, kertas kerja dan bahan-bahan seminar daripada kursus-kursus Halal dan berkaitan Halal termasuklah Kebersihan dan Keselamatan Makanan (GMP, HACCP & lain-lain).  Moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah s.W.T dan menjadi bekalan saham akhirat kelak.

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli profesional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : https://www.facebook.com/inspirasihalal?ref=hl
Flickr : http://www.flickr.com/photos/inspirasihalal/
Youtube : inspirasi halal