Saturday 2 November 2013

H.I.J.R.A.H.


Kuasa H.I.J.R.A.H.


Bismillah 



Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu melainkan mereka yang merubahnya sendiri" 
[Ar Ra'ad : 11]





Rasa ingin berHIJRAH atau berubah pasti datang, sama ada terlintas sekejap atau memang sudah menjadi satu tekad yang besar buat seseorang yang bergelar insan.


Rasa Hijrah (berubah) ini mungkin tercetus disebabkan keadaan sekeliling atau persekitaran kehidupan yang 'menyentap' kita untuk rasa berubah baik dari aspek pemikiran, perangai, ibadat, tahap kehidupan, rutin kehidupan, gaya hidup, permakanan atau apa sahaja perkara yang menyebabkan keinginan tersebut semakin meluap-luap.

Namun, perubahan yang direalisasikan dengan kerelaan dan keinginan diri sendiri, bukan dipaksa atau disuruh oleh sesiapa adalah lebih baik . Jika kita berkeinginan untuk kita berhijrah tetapi masih mengamalkan sesuatu atau rutin yang sama, pasti kita tidak akan mengecapi nikmat sesuatu perubahan itu.



Bisnes kita berkembang mengikut perkembangan mindset, skil dan juga kemampuan kita. Jika mahu bisnes berkembang pesat, kena cepatkan perkembangan minda. Musti tambah ILMU lebih banyak.


Jika mahu bisnes berkembang pesat, kena mahirkan diri dengan skil yang perlu. Skil perlu diasah melalui LATIHAN. Jika mahu bisnes berkembang pesat, perlu ada KEMAMPUAN juga. Kemampuan dalam bisnes adalah skil, alat kerja, kewangan dan network.

Untuk bisnes kita naik ke tahap yang lebih tinggi, untung lebih banyak, maka kita sebagai pemilik bisnes juga perlu sediakan diri untuk tahap tersebut. 

Tukar minda perkerja kepada minda Usahawan. Usah Tangguh-tangguh, usah Tunggu-tunggu, Jika Ada Keinginan Untuk Berubah, Berusahalah Ke Arahnya sekarang, Jom Berubah





Syukur Alhamdulillah, terima kasih Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia ( KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA) atas pengiktirafan sebagai tenaga pengajar pengendali makanan ini. Moga ianya menjadi momentum ke arah penghijrahan yang lebih baik terutama dalam usaha mendidik dan membimbing penyediaan makanan yang bersih dan selamat.


Salam Hijrah


Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal


Sunday 20 October 2013

Keracunan Makanan : Jadilah Pengendali Makanan yang Amanah

“Awalnya saya hanya anggap sakit perut biasa dan cirit-birit biasa sahaja, tetapi dikejutkan dengan berita kematian anak jiran saya yang dikatakan meninggal selepas mengalami sakit perut." ~ http://www.sinarharian.com.my

Bismillah.

Seminggu dua sebelum menjelangnya Hari Raya Eidul Adha 1434, kita dipaparkan dengan meluas melalui media-media massa berkenaan kejadian keracunan makanan yang berlaku di kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Kedah Darul Aman.  Laporan mengatakan kejadian ini berpunca daripada hidangan ayam masak merah yang dihidangkan telah dicemari bakteria Salmonella, sehingga menyebabkan empat kematian dan ratusan lagi keracunan makanan .  Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat, bakteria itu ditemui di dalam spesimen hasil bedah siasat ke atas mangsa dan sampel yang diperoleh dari tempat kejadian. setakat ini.  Hasil siasatan awal mendapati ayam yang diguna untuk majlis perkahwinan itu tidak disimpan dengan baik dan dibiar pada suhu bilik selama semalaman, sebelum dimasak pada hari kenduri.

  

Bahaya Biologi Keselamatan Makanan
Beberapa jenis mikroorganisma penyebab keracunan makanan (secara tradisionalnya) yang boleh menjadi patogen (penyebab penyakit) iaitu Staphylococcus aureus, Salmonella, Escherichia coli, Campylobacter, Clostridium, Bacillus cereus  dan Listeria monocytogenes dan menyebabkan kematian kira-kira empat juta hingga lima juta kanak-kanak bawah umur 5 tahun di seluruh dunia sebagaimana dianggarkan oleh World Health Organization (WHO) setiap tahun (Jamal 1999).  Mikroorganisma seperti bakteria akan menambahbiak berkali-kali ganda dalam satu masa apabila berada pada medium dan persekitaran yang sesuai.  Staphylococcus aureus dan Clostridium botulinum yang menghasilkan toksin secara terus ke dalam makanan menunjukkan  simptom keracunan yang lebih cepat berbanding bakteria lain   (Jamal 1999).  


Terdapat tiga kumpulan mikroorganisma yang dikelaskan berdasarkan kadar suhu yang diperlukan untuk pertumbuhan iaitu kumpulan mikroorganisma termofilik (suhu tinggi) yang membiak pada julat suhu 45 darjah Celsius (°C) sehingga 70°C  dengan kadar optimum pada 55°C, kumpulan mikroorganisma mesofilik (suhu ambien) yang membiak pada julat suhu 10°C  sehingga 45°C  dengan kadar suhu optimum 35°C  dan kumpulan yang ketiga ialah mikroorganisma psikrofilik (suhu rendah) yang mampu membiak pada suhu antara -5°C  sehingga  20°C  dengan kadar optimum 15°C  (Ray 2001). 

Kebiasaannya Salmonella ditemui dalam daging ayam dan itik yang kurang masak, telur, ikan dan susu yang tidak dipasteur.  Salmonella yang ditemui pada 1885 ini mempunyai lebih kurang 1 200 spesis yang hidup secara semula jadi dalam persekitaran terutamanya dalam najis binatang dan boleh menyebabkan demam kepialu oleh spesis Salmonella typhi (Jamal 1999).  Ianya mampu tumbuh dan berganda antara suhu 6.5°C hingga 46°C.


Keracunan Makanan
Walaupun soal keselamatan makanan telah lama wujud sejak bermulanya manusia, hanya kejayaan yang terhad sahaja diperolehi dalam mendiagnosis dan menghalang keracunan makanan yang dapat dicapai.  Ini disebabkan kebanyakan mangsa dapat sembuh dengan cepat  dan biasanya mempercayai mereka hanya mengambil sesuatu yang tidak sesuai dengan perut dan merasakan mereka tidak perlu berjumpa dengan doktor untuk nasihat. Insiden keracunan makanan yang direkodkan boleh dikesan semula seawal abad ke  9 lagi.  Sekitar tahun 886 hingga 911, Pemerintah Leo IV dari Byzantium telah membuat dekri iaitu perintah yang melarang memakan  sosej berdarah (blood sausage) memandangkan ianya boleh mendatangkan kesan kepada kesihatan. 

Makanan dikatakan tercemar jika ia mengandungi sesuatu benda atau bahan yang tidak seharusnya berada di dalamnya.  Keracunan makanan berlaku akibat memakan makanan atau meminum minuman yang dicemari mikroorganisma seperti bakteria dan virus, organisma-organisma lain, serta bahan kimia kimia, tumbuhan atau ikan yang beracun.  Bakteria boleh menyebabkan keracunan makanan melalui infeksi (penambahbiakan bakteria yang banyak) atau intoksikasi (racun yang dihasilkan bakteria) di dalam makanan atau minuman atau di dalam usus mangsa.

Bagi mangsa keracunan makanan, mereka akan mengalami tanda-tanda atau gejala secara tiba-tiba iaitu loya atau pening, muntah, cirit-birit, sakit di bahagian abdomen (perut), demam dan dehidrasi.  Kesan bahaya keracunan makanan yang ketara ialah ‘kehilangan air’ dalam badan. Jika mencapai tahap serius ia boleh membawa maut terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi seperti ibu-ibu yang mengandung, kanak-kanak, orang-orang tua dan sesiapa yang berdaya tahan rendah.  Gejala ini berbeza bergantung daya ketahanan dan tindak balas seseorang, jenis patogen serta kadar toksin yang masuk ke dalam badan.  Ia boleh bermula dalam tempoh satu atau beberapa jam. Namun, ada juga yang mengambil masa sehari sebelum badan bertindak balas.  Keracunan makanan juga boleh berlaku dalam tempoh 48 jam setelah memakan makanan yang tercemar.  Jangkitan yang teruk akan mengakibatkan demam yang kuat dan mangsa mungkin memerlukan rawatan di hospital.  Berdasarkan jadual kadar kejadian keracunan makanan bagi tiap-tiap 100,000 penduduk Malaysia pada tahun 2002,  kadar kes yang berlaku di negeri Kelantan adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 1112 kes manakala kes yang terendah berlaku di negeri Perlis iaitu sebanyak 20 kes sehingga 2002. 

Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Maklumat Makanan Asia (AFIC), Georgina Cairns, seseorang itu akan muntah atau mengalami cirit-birit akibat keracunan makanan. Malangnya ada yang menyangka sakit perut adalah perkara normal, terutama apabila makan di majlis keramaian.  Bagi beliau, perkara seumpama ini tidak seharusnya berlaku kerana ia secara jelas menunjukkan makanan yang dihidangkan adalah tidak selamat  (Norlaila 2005).  Malah, terdapat segelintir masyarakat yang  mempercayai bahawa cirit-birit adalah baik untuk membersihkan sistem usus manusia, meskipun ia adalah tidak benar sama sekali.  Kadangkala ada juga segelintir masyarakat yang menganggap gejala ini sebagai senak perut atau angin, walaupun mereka sebenarnya telah mengalami keracunan makanan.

Di Malaysia, insiden keracunan makanan pastinya tidak asing lagi.  Cuaca panas dan lembap di Malaysia dengan mudah merangsang penggandaan dan penambahbiakan  mikroorganisma. Mikroorganisma ini boleh menyebabkan keracunan makanan, kolera, taiphoid dan wabak penyakit lain yang boleh merebak melalui makan makanan yang disediakan oleh individu yang dijangkiti bakteria dan kuman.  

Statistik Penyakit Bawaan Makanan dan kes Keracunan Makanan mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia bertambah setiap tahun. Pada tahun 1997, terdapat 7968 kes keracunan makanan, 267 kes Hepatitis A, 391 kes taun dan 538 kes tifiod di negara ini. Dengan faktor-faktor cuaca dan kekurangan bekalan air, risiko keracunan makanan akan meningkat jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil.  Faktor kekurangan inspektor kesihatan menyebabkan kurangnya penguatkuasaan pengendalian makanan yang bersih dan selamat di negara ini dan seterusnya turut menyumbangkan risiko keracunan makanan.  Malaysia masih kekurangan tenaga kerja untuk penguatkuasaan kesihatan termasuk dalam aspek pengendalian makanan dan inspektor kesihatan hanya daripada inspektor daripada jabatan awam.  Keadaan ini menambahkan peratusan untuk berlakunya keracunan makanan di kalangan masyarakat terutamanya apabila mengambil makanan di luar rumah kerana kurang pemantauan.

Dasar Keselamatan Makanan Negara
Kerajaan Malaysia memperkenalkan Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan yang bermatlamatkan untuk menyediakan halatuju dan memberi penekanan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam pembentukkan dan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan makanan, berteraskan usahasama untuk melindungi kesihatan pengguna.  Keselamatan makanan perlu diwujudkan di sepanjang rantaian makanan bermula di peringkat ladang
sehinggalah ke meja makan (farm to table) jika kesihatan pengguna hendak dilindungi secara keseluruhan.  Antara peringkat rantaian makanan yang perlu diberi penekanan ialah semasa peringkat perkhidmatan penyajian makanan yang melibatkan pengendalian, penyediaan dan penyimpanan makanan di premis-premis makanan seperti restoran, kantin, gerai dan perkhidmatan-perkhidmatan penyajian yang memerlukan kawalan khas berkaitan kebersihan, keselamatan, makhluk perosak dan pengawalan sanitasi, memandangkan kebanyakan penyakit bawaan makanan dan keracunan makanan berpunca daripada pengendalian dan penyediaan makanan yang tidak bersih (Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan 2005).

Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsan diwujudkan untuk  menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam isu keselamatan makanan dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Pengurusan Keselamatan Makanan. Pelan tindakan ini adalah merujuk kepada Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan. Pelan tindakan ini menerangkan dengan lebih jelas tentang peranan setiap pihak berkepentingan dan tindakan yang perlu dijalankan. Ia membolehkan Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan dilaksanakan secara lebih teratur dan bersepadu (Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan 2005).

Pelan tindakan ini telah dihasilkan dengan usahasama pelbagai agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan yang terlibat dengan keselamatan makanan seperti Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Lembaga Minyak Kelapa Sawit Malaysia, Badan-badan Bukan Kerajaan, Industri Makanan (Persatuan Perniagaan) seperti Malaysian Food Manufacturing, Group (MAFMAG), Malaysia Food Canners Association (MFCA), Persatuan Makanan Melayu Malaysia dan Malaysian Frozen Foods Processors Association (MFFPA), Industri Kecil dan Sederhana dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan 2005).

Antara 28 objektif yang digariskan melalui pelan ini ialah memastikan penyimpanan makanan yang sesuai dan jejak produk semasa pengedaran makanan dari ladang sehinggalah ke meja makan (farm to table).  Selain itu, objektif untuk memberi pendidikan kepada pekerja dalam bidang makanan termasuk caterer dan jualan langsung turut digariskan dengan memberi pendidikan kepada pekerja dalam bidang perkhidmatan makanan berkenaan kebersihan dan keselamatan makanan.  

Pengawalan suhu yang baik adalah asas operasi perniagaan makanan yang selamat.  Tanpa pengawalan suhu yang baik, ianya akan membantu pertumbuhan bakteria patogenik (berbahaya) atau penghasilan toksin (racun).  Pengawalan suhu adalah satu proses mengukur suhu sesuatu objek  dan seterusnya laluan tenaga haba sama ada ke dalam atau ke luar objek tersebut diaturkan dan disesuaikan untuk mencapai suhu yang diingini sama ada lebih panas atau lebih sejuk (Victoria Buckroyd 2005).  Kebanyakan patogen membiak dalam suhu antara 5°C  hingga 60°C  yang dipanggil suhu zon bahaya (Kementerian Kesihatan Malaysia).  Keadaan lebih buruk jika makanan disediakan lama sebelum waktu makan, dibiarkan pada suhu yang mudah bakteria membiak atau makanan yang tidak dimasak sepenuhnya.  Makanan yang disimpan pada suhu bilik adalah medium terbaik untuk pertumbuhan bakteria.   Seelok-eloknya, makanan yang terbiar lama melebihi dua jam pada suhu bilik haruslah dielakkan.



Menurut Kod Amali Makanan Penjaja yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bawah seksyen 7 menjelaskan berkenaan penyediaan makanan iaitu pada 7.3.12,     makanan sedia dimakan untuk penghidangan berterusan harus disimpan pada suhu penyimpanan berikut:
 i) untuk makanan yang dihidang panas — 63°C  atau lebih
ii) untuk makanan yang dihidang sejuk — 4°C  atau kurang

iii) untuk makanan yang dihidang sejukbeku — -10°C  atau kurang

Penutup 

Kes di Kedah hanyalah sebahagian kes yang dikongsikan dalam penulisan ini dan bagi mereka yang peduli, kit dapat saksikan dua-tiga bulan belakangan ini, semakin banyak didedahkan isu-isu berkenaan keracunan makanan dan kebersihan makanan yang rata-rata gagal dipenuhi oleh penyedia dan pengendali makanan.


Untuk perkongsian bersama, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di mana ianya akan dikuatkuasa sepenuhnya pada awal tahun 2014 nanti.  Pada perkiraan ambo yang lemah ini, isu-isu yang didedahkan ini semacam memberi suatu petanda kenapa para pengendali makanan untuk mula bersedia dan meningkatkan kelengkapan dan infrastruktur premis masing-masing dan bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk mengelakkan atau sekurang0kurangnya meminikan kejadian keracunan ini dengan mengambil langkah proaktif meningkatkan kesedaran pengendalian makanan yang terbaik dan mengamalkan kebersihan di premis-premis makanan masing-masing. 

Jom sama-sama realisasikan kebersihan dalam penyediaan makanan. insyaAllah, makanan yang disediakan dalam keadaan bersih dan selamat dengan penuh keikhlasan, pasti ada ganjaran di sisiNya.

Moga bermanfaat untuk semua.


Aslim Taslam

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal

Saturday 5 October 2013

Aplikasi Kelapa Sawit dalam Makanan Siri 3

"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".

Bismillah.

Pengenalan
Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas segala nikmatNya, lebih-lebih dengan kurniaan nimat Iman dan Islam.  Moga kita diberikan kekuatan untuk terus istiqamah pada jalanNya.  Malam tadi baru sahaja diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa tarikh 1 Zulhijah 1434 adalah pada hari ini (6 Oktober 2013) dan secara tak langsung, mengesahkan jatuhnya 10 Zulhijah iaitu hari raya Eidul Adha atau popular di Malaysia sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban pada  15 Oktober nanti.  Bagi peminat bola sepak pasukan The Red Warrior, Kelantan negeri tanah tumpah darahku, perlawanan suku akhir Piala Malaysia malam tadi menjadi kenangan indah apabila apabila berjaya menundukkan pasukan Johor DT (JDT) dengan kemenangan 6-1, sekalipun telah ketinggalan 2-4 pada perlawanan pusingan pertama yang lepas. Tahniah Kelantan dan teruskan kecemerlangan sehingga pusingan akhir nanti.

InsyaAllah, ambo gunakan sedikit masa yang dikurniakan Allah iniu ntuk menyambung coretan berkenaan Kelapa Sawit yang menjadi antara sumber utama pendapatan negara untuk dikongsikan dengan teman-teman.  Tambahan pula, mendengar pekongsian yang sangat menginspirasikan oleh Yang Berbahagia. Prof. Datin Dr. Azizan binti. Baharuddin iaitu Timbalan Ketua Pengarah IKIM  melalui slot Sains dan Islam, IKIM.fm yang disiarkan ke udara setiap hari Jumaat, jika tidak silap bermula jam 12.00 tengah hari.  Walaupun hanya mendengar siaran ulangan melalui laman web http://ikimfm.my/, namun perbincangan pada 26 Julai tersebut masih terasa segar, tambahan lagi keadaan jerebu yang melanda negara pada masa tersebut. Ianya membincangkan antara kaitan pohon kelapa sawit, jerebu dan surah Yasin.

Perbincangan
Pembangunan formulasi marjerin atau sapuan trans-bebas (trans-free) dengan nilai iodin tertentu (IV) merupakan salah satu penyelidikan minyak sawit dalam aplikasi makanan yang menarik di Malaysia. Peningkatan gaya hidup masa kini yang mementingkan kesihatan dalam pengambilan makanan menjadi suatu tekanan kepada pengeluar marjerin untuk menggunakan teknik yang berbeza untuk mendapatkan produk yang trans-bebas.  Marjerin adalah produk makanan dalam bentuk pepejal (plastic) atau cecair, yang dihasilkan daripada bahagian (fraction) stearin dan emulsi air dalam minyak (water-in-oil emulsions), di mana titisan air dipisahkan oleh kristal lemak. [8]. Fasa akueus terdiri daripada air, garam dan bahan pengawet. Fasa lemak, yang menyumbang kepada tingkah laku polimorfik marjerin, adalah campuran minyak dan lemak. Lesitin, monoasil dan diasil gliserol suling adalah pengemulsi yang biasa ditambah bersama-sama dengan bahan perisa, agen pewarna dan antioksidan [9]. Menurut Bahagian Identtiti Piawaian (Standard of Identity) Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, marjerin mestilah tidak mengandungi kurang daripada 80% lemak dan produk yang tidak memenuhi standard tersebut dipanggil sebagai 'sapuan minyak sayuran' (vegetable oil spread) [11].

Marjerin, sebagai produk mirip-mentega dikategorikan mengikut permintaan oleh pengguna yang berbeza, berdasarkan kekerasan (hardness) dan titik lebur (melting points) [9].  Ciri keplastikan yang keras dan sederhana sesuai digunakan untuk marjerin produk reroti manakala ciri keplastikan sederhana dan lembut sesuai untuk marjerin meja (table margarine).  Marjerin meja boleh diklasifikasikan kepada kategori yang berbeza iaitu marjerin tab dan bata. Marjerin tab mempunyai ciri kepejalan yang rendah pada suhu yang rendah, sekali gus membolehkan ia disapu terus dari selepas dikeluarkan dari peti sejuk.  Minyak terhidrogenasi adalah minyak yang paling biasa digunakan dalam formulasi untuk memenuhi profil titik lebur marjerin.

Teknik-teknik pengerasan (hardening) seperti penghidrogenan, interesterifikasi dan fraksinasi / pemeringkatan yang menggunakan lemak dan minyak yang boleh dimakan digunakan untuk menghasilkan marjerin yang mempunyai kandungan pepejal yang tinggi, kerintangan kepada tindakan haba dan pengoksidaan oleh atmosfera yang lebih baik dan peningkatan ciri keplastikan produk [10]. Proses pemeringkatan memisahkan minyak kepada komponen yang berbeza seperti asid stearik yang mempunai takat lebur yang lebih tinggi dan asid oleik dengan takat lebur yang lebih rendah.  Bahagian kristal (dengan takat lebur yang lebih tinggi) boleh dipisahkan daripada bahagian cecair apabila proses penghabluran dapat dicapai [11].

Pada asasnya, interesterifikasi adalah penyingkiran asid lemak dari gliserol pada setiap trigliserida dan berlaku penyusunan semula atau penggabungan semula.  Oleh itu, banyak konfigurasi yang dihasilkan,  dan  kebanyakannya adalah berbeza dari molekul asal [11]. Asid lemak digantikan secara rawak di trigliserida sebagai hasil daripada pertukaran dalaman molekul sendiri dan antara molekul kumpulan asil trigliserida semasa tindak balas berlaku.  Interesterifikasi minyak sayur-sayuran juga mempunyai kesan penting ke atas perlakuan lebur lemak, seperti keplastikan dan konsisten. Apabila campuran minyak sayur-sayuran digunakan sebagai bahan permulaan, asid lemak tepu (SFA) terutamanya di 1,3- trigliserida beralih kepada kedudukan 2-, dan tindak balas mencapai keseimbangan (equilibrium) apabila setiap asid lemak hadir secara sama rata dalam semua kedudkan . Pelbagai fasa lemak boleh diperolehi oleh melalui perawakan (randomisation) minyak cair dengan lemak tinggi ketepuannya seperti kelapa stearin atau minyak kacang soya terhidrogenasi sepenuhnya [10].

Penghidrogenan adalah tambahan atom hidrogen kepada ikatan tidak tepu dalam lemak tidak tepu di mana takat lebur lemak yang ditingkatkan, mengurangkan ketidaktepuan relatif lemak serta menggalakkan pengisomeran geometri dan kedudukan [10]. Proses ini menepukan ikatan ganda dua dan membuatkan minyak lebih stabil dalam bentuk separa pepejal dan lebih tahan kepada ketengikan oksidatif.  Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting dalam proses ini adalah keupayaan untuk menukar minyak kepada lemak dengan ciri-ciri yang konsisten yang boleh disesuaikan dengan ciri-ciri fungsi produk.  Biasanya, tidak semua molekul asid lemak dalam sampel akan bertindak balas dengan hidrogen. Salah satu kesan sampingan daripada proses ini adalah perubahan peratusan asid lemak cis tak tepu dan menghasilkan produk asid elaidik lemak dengan ikatan ganda dua-trans-tak tepu (TFA) [11]. Kewujudan TFA ini menjejaskan sifat-sifat fizikal dan kimia produk akhir kerana ianya mempunyai takat lebur yang lebih tinggi dan kestabilan yang lebih besar daripada asid lemak cis.

Suatu hakikat bahawa pengambilan TFA meningkatkan risiko beberapa penyakit terutamanya penyakit jantung [10]. TFA dilaporkan menjadi ejen peningkatan (elevating agent) kolesterol, meningkatkan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL), yang dikenali sebagai kolesterol tidak baik dan mengurangkan lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL), kolestrol yang baik dalam manusia. Kajian epidemiologi mendapati terdapat hubungan yang kuat dan boleh dipercayai antara pengambilan TFA dengan risiko penyakit jantung koronari (CHD) [12]. Terdapat peningkatan kesedaran di kalangan pengguna hari ini mengenai kesan-kesan buruk memakan makanan yang mengandungi TFA. Terdapat juga cadangan bahawa kesan negatif penggunaan TFA melampaui risiko kardiovaskular dan meningkatkan risiko masalah kesihatan kronik yang lain seperti kanser, kencing manis, obesiti dan kemandulan [13]. Memandangkan marjerin adalah dikenalpasti salah satu sumber TFA dalam makanan, maka permintaan untuk marjerin dengan kadar tepu dan TFA yang rendah semakin meningkat [9].

Walau bagaimanapun, pembentukan trans-lemak boleh dikurangkan dengan mengurangkan suhu awal penghidrogenan, contohnya dari 140 ◦ C kepada 110 ◦ C, dan meningkatkan tekanan autoklaf daripada konvensional 0.3 o.5 MPa kepada 2.5 MPa.  Perkembangan terkini dalam reka bentuk pengaduk autoklaf (autoclave agitator) yang membawa kepada kawasan antara muka (interfacial) yang lebih besar di antara gas dan cecair, dan turut menyumbang kepada penurunan tahap trans-lemak dalam lemak yang dihasilkan. Kedua-dua pihak pengeluar makanan dan pengeluar pemangkin (catalyst producers) telah membuat berusaha dan bekerja keras dalam beberapa dekad belakangan ini untuk mengurangkan pembentukan trans-lemak dalam penghidrogenan, meneroka kedua-dua keadaan proses dan jenis pemangkin bagi tujuan ini.  Gabungan penghidrogenan dan interesterifikasi dengan minyak lembut (soft oil) yang digunakan mempunyai kandungan lemak diperlukan konsisten dan bebas kandungan lemak-trans. Selain itu, kajian mengenai pemangkin alternatif juga telah dijalankan [14].

Marjerin adalah produk makanan visco-elastik separa pepejal yang mengandungi kedua-dua lemak cecair dan pepejal.  Cecair itu diperangkap di antara rangkaian Kristal yang terbentuk. Minyak sawit pada suhu 20◦C mempunyai 22-25% Kandungan Pepejal Lemak (SFC). Memandangkan ianya adalah separa pepejal secara semula jadi pada suhu ambien disebabkan oleh keseimbangan komposisi asid lemak tepu dan tak tepu, peranan penting minyak kelapa sawit dan pecahan sawit (palm fractions) dalam marjerin adalah untuk kekonsistenan, tekstur dan struktur kepada produk tanpa perlu kepada penghidrogenan, sekaligus bermungkinan mampu menghasilkan produk bebas trans [13]. Lima asas operasi pemprosesan marjerin ialah pengemulsian, penyejukan (supercooling), pemplastikan (plastication), berehat (resting) dan pembungkusan.

Penutup
Kajian-kajian Sains dan disentuh secara langsung dengan ayat Al Quran semakin menambahkan lagi pembuktian bahawa sememangnya Al Quran adalah mukjizat untuk umat akhir zaman, tambahan pula kita disogokkan penemuan demi penemuan melalui Sains. Suatu yang pasti, Al-Quran bukanlah kitab Sains semata-mata namun ianya adalah petunjuk dan panduan umat yang sesuai umat ini sepanjang zaman.

Moga-moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.W.T. dan menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Pengajar Pengendali Makanan berdaftar 
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal

(pemilihan tajuk ini adalah pembentangan buat pertama kali  penulis kepada Allahyarham Profesor Madya Nazaruddin Ramli, pensyarah di Jabatan Sains Makanan UKM yang telah kembali ke rahmatullah pada 19 jun 2013 kerana serangan jantung.  Secara peribadi, beliau adalah ahli akademik yang sangat komited dalam tugasan dan merupakan pakar dalam bidang lemak, minyak dan coklat. Bersama-sama kita sedekahkah al-Fatihah buat beliau.  Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin)

Sumber :
4. Yusof Basiron & Chan Kook Weng, 2004, The Oil Palm And Its Sustainability, Journal of Oil Palm Research, Vol. 16 No. 1, June 2004, p.1-10
5. Mohd Basri Wahid, Chan Kook Weng & Rubaah Masri, 2007, Palm Oil : Nature’s Gift to Malaysia and Malaysia’s Gift to the World, Conference on Plantation Coomodities on ‘Visionary Agriculture : Malaysian Commodity Crops in 100 Years’, organized by the Ministry of Plantation Industries and Commodities, Malaysia, 3-4 July 2007, Kuala Lumpur Malaysia, PWTC
6. M.H.A. Jahurul, I.S.M. Zaidul, N.A.N. Norulaini, F. Sahena, S. Jinap, J. Azmir, K.M. Sharif,A.K. Mohd Omar, 2012, Cocoa butter fats and possibilities of substitution in food products concerning cocoa varieties, alternative sources, extraction methods, composition, andcharacteristics, Journal of Food Engineering
7. Nurhan Turgut Dunford, 2012, Food and Industrial Bioproducts and Bioprocessing, United Kingdom, Wiley-Blackwei
8. Mat Sahri Miskandar MSc, Yaakob Che Man PhD, Mohd Suria Affandi Yusoff PhD and Russly Abd. Rahman PhD, 2005,  Quality of margarine: fats selection and processing parameters, Asia Pac J Clin Nutr 2005;14 (4):387-395
9. Miskandar Mat Sahri & Noor Lida Habi Mat Dian, 2011, Formulation of Trans-Free and Low Saturated Margerine, Journal of Palm Oil Research Vol.23 April 2011 p.958-967
10. Anar Musavi, Aziz Tekin & Hakan Erinc, Formulation of Trans-Free Margarines using Hydrogenation and Interesterified Palm Olein, Journal of Palm Oil Research Vol.23 December 2011 p. 1153-1158
  1. Murano P. S. 2003. Understanding Food Science and Technology. United States. Wadsworth/Thomson Learning.
  2. Sivaruby Kanagaratnam, Miskandar Mat Sahri, Nor Aini idris, thiagarajan Tangavelu & Mohd Jaafar Ahmad, Palm-based Trans-Free Roll in Maragarine
  3. Mohd Basri Wahid, Choo Yuen May & Chan Kook Weng, 2011, Further Advances on Oil Palm Research (2000-2010) Volume II, Kuala Lumpur, Malaysia Palm Oil Board
  4. Wolf Hamm, 2010, Global Oils & Fats Business Magazine, Vol. 7, Issue 3, 2010, P54-58
  5. Miskandar, M.T., Rafidah, A.H. & Teng, K.M. 2012. BeCare (Red Olein Drink). MPOB Information Series ISSN 1511-7871 June 2012 MPOB TT No.525 (612)
  6. Zaida, Z., Shuid, A.A., Wan, R.A.I., Nor, A.I. & Azman, I. 2008. Palm-Based Trans-Free Liquid Santan, MPOB In Formation Series ISSN 1511-7871 June 2008 MPOB TT No.390 (415)
  7. Sivaruby,K., Isa, M., Miskandar,M.S., Nor, A.I. & and Mohamad, F.M.H.. 2008. Palm-Based Trans-Free Brick Spread For Shallow Frying. MPOB Information Series • ISSN 1511-7871 June 2008 MPOB TT No. 389 9 (414)
  8. Wan, R.A.I., Nor, A.I., Abdul, R.I. & Azman, I. 2008. Palm-Based Trans-Free Reconstituted Filled Milk. Information Series • ISSN 1511-7871 • JUNE 2008 MPOB TT No. 388 (413)
  9. Miskandar,M.S., Nor, A.I. & Zaliha, O.2008.Trans-Free Soft Spread (Tf Soft Spread). Information Series  ISSN 1511-7871 June 2008 MPOB TT No. 387 (412)

Saturday 3 August 2013

Kembara Perantau : Kenangan 2010

Bismillah.


Bermula sejak pagi tadi, malah mungkin sejak malam tadi lagi , berbondong-bondonglah masyarakat Muslim mulai bergerak ke kampung halaman di negeri masing-masing terutama masyarakat dari kota-kota utama ke Kelantan, tanah air negeri tercintaku.  Walaupun ada yang berkira-kira untuk pulang sedikit lewat atas perkiraan untuk elakkan kesesakan lalu lintas, namun kemeriahannaya tetap dapat dirasai dengan kesesakan lalu lintas itu tetap berlaku sehinggalah pagi raya ! Mungkin kita berkira-kira untuk pulang hari Isnin atau Selasa kerana dijangkakan hari atau esok pasti golongan pendidik mulai pulang kerana cuti sekolah yang telah bermula, namun jika ditanya kepada golongan yang berkhidmat di swasta terutama di kilang-kilang, kesukaran mendapatkan cuti menyebabkan jawapannya sama sahaja dengan kita, iaitu pulang hari Isnin atau Selasa, malah mungkin juga pada malam Raya. 

Apa yang pasti, setiap kali menjelang musim perayaan terutama Eidiil Fitri, warga perantau Kelantan tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman tercinta.  Lebuh raya baru dari Kuala Lipis ke Merapoh dah dibuka ke? InsyaAllah, ambo sendiri akan pulang pada awal minggu hadapan dengan adik-adik dan adik ipar dengan kereta kali ini walaupun sebelum ini ambo hanya memilih pengangkutan awam bas (Sani Express) untuk pulang ke kampung pada tahun 2010 dan 2011 sebelum memutuskan untuk balik menetap di kampung lebih kurang setahun pada tahun 2012.  Oh ya, mengambil kesempatan suasana balik kampung yang kian menyengat, dengan lagu-lagu raya makin dimainkan di corong-corong radio dan pasaraya, maka ambo ingin kongsikan semula catitan pengalaman ambo balik ke kampung pada tahun 2010.  Ianya telah diterbitkan dalam 3 siri pada 17 September 2010, melalui http://i-genhalal.blogspot.com/.

KEMBARA RAYA EIDIL FITRI 2010

PENDAHULUAN
Agak lama juga ambo tidak pulang ke kampung dengan bas waktu siang hari. Teringat waktu nak beli tiket balik kampung kat Hentian Kajang tempoh hari, semua kaunter telah kehabisan tiket dari 3hb sehinggalah malam raya (InsyaAllah, hari raya Eid Fitr tahun ini jatuh pada 10 September) sejak awal Ogos lagi. Kaunter Sani Express yang masih menjadi pilihan kerana dibuka lewat sedikit, jadi kena beratur agak panjang juga. Semasa beratur, salah seorang pekerja Sani asyik kata tiket dah habis dari 6 hingga 9hb, jadi tarikh yang lain sahaja boleh dibeli. Ambo terus beratur sehinggalah samapai giliran ambo membeli tiket. Ambo membeli tiket balik ke Bangi terlebih dahulu, satu tiket untuk kembali selepas cuti Hari Kebangsaan dan satu lagi tiket untuk kembali setelah berhari raya. Alhamdulillah, dengan izin Allah, setelah selesai membeli dua tiket tersebut, kerani kaunter mengatakan tiket untuk Hari Raya ke Kelantan masih dibuka untuk 7, 8 dan 9hb. Ambo terus membeli tiket untuk pulang pada 8hb, jam 8.30 pagi.

Perjalanan pada pagi ini memerlukan persediaan fizikal dan mental. Perjalanan yang panjang mestilah telah dijangka lebih awal dan dengan berbekalkan beberapa buku, tafsir al Quran, majalah dan sinar Harian, diharapkan agar sedikit sebanyak memberi keseronokan pulang beraya ke kampung (Oh ya, tahun ini ambo pulang ke kampung dengan bas berbanding memandu sendiri dua tahun sebelum ini).

HENTIAN PUTRA DAN TOL GOMBAK
Memang terasa benar suasana Hari Raya bila bas mula menjengah ke Hentian Putra dengan kehadiran dan kesesakan orang ramai yang memenuhi stesyen bas ke destinasi Pantai Timur ini. Masing-masing sedang menunggu bas masing-masing, mungkin ada juga yang masih mencari tiket untuk pulang ke kampung pada saat-saat akhir.



Kelihatan beberapa kenderaan rasmi kerajaan negeri Selangor memenuhi Plaza Tol Gombak. Dari jauh, kelihatan Menteri Besar Selangor sedang berada di pentas utama. Mungkin memberi ucapan dan amanat kepada pegawai-pegawainya sempena Hari Raya. Walaubagaimanapun, setelah diakses melalui internet, maklumat lanjut berkenaan majlis tersebut boleh dirujuk di sini (atau di sini).


TRAFIK MENJELANG HARI RAYA

Meskipun trafik agak lancar selepas keluar dari tol Gombak sehinggalah selepas susur keluar ke Bentong. Seperti dijangka, trafik mulai perlahan, kelajuan dianggarkan 20 ke 30 km/j sahaja. Bayangkan jam 12.30 tengah hari baru tiba di Raub (biasanya perjalanan dari Bangi ke Raub Cuma mengambil masa antara 2 ke 2 ½ jam sahaja).

MINUMAN, AIR DAN RASIONALISASI
Menghargai masa yang dikurniakan, ambo mengambil kesempatan menyelak dan membaca helaian-helaian naskhah Sinar Harian Edisi Selangor. “Jauhi minuman berkarbonat : CAP” menghiasi salah satu ruangan akhbar tersebut. CAP, sebagaimana yang dikenali adalah persatuan pengguna yang komited dan konsisten memperjuangkan hak-hak pengguna termasuk dalam mendidik masyarakat dan pengguna dalam pemilihan makanan yang halal, baik dan selamat Menurut SM Mohamed Idris, presiden CAP, kebanyakan minuman ringan tidak mempunyai sebarang khasiat melainkan karbonat, pewarna, asid, perisa dan air manis yang membahayakan kesihatan. Minuman tin yang mengandungi kira-kira tiga hingga 20 sudu the gula menjadi sumber utama kalori pada badan manusia sehingga menyebabkan risiko penyakit seperti diabetes, jantung, kanser, kencing manis, kerosakan gigi dan penyakit kronik lain. Jumlah minuman ringan yang diambil juga menunjukkan peningkatan setiap hari kira-kira 1,000 minuman tin diminum setiap minit. Minuman ringan mengandungi gula fruktos dan tidak seperti gula biasa yang boleh dipecahkan oleh organ dalam tubuh. Fruktosa ini akan terus bergerak ke hati dan berkumpul sebagai lemak dan paras fruktusa yang tinggi akan menghalang pertumbuhan tulang. Memahami hari raya yang semakin menjelang, menu minuman alternatif dicadangkan dihidangkan air jus buah-buahan atau air susu kacang soya yang mengandungi zat besi, kalsium, magnesium, vitamin A dan C yang berguna untuk tubuh badan.


Juga dipaparkan gangguan bekalan air di Selangor yang melibatkan empat wilayah termasuk Hulu Langat. Ambo sedari gangguan ini setelah bertemu dengan seorang sahabat (yang juga jiran satu blok dengan ambo) di salah satu pasaraya di Bangi semalam yang mengatakan tiada air di rumah. Alhamdulillah, dengan sedikit air yang masih berbaki dalam tangki, dapatlah ambo mandi pada pagi ini. Gangguan yang tidak berjadual ini dilaporkan ekoran penutupan operasi loji Rawatan Air Sungai Sungai Semenyih akibat pencemaran sisa buangan atau lechate. Menurut CEO SYABAS, pihaknya mengenalpasti pencemaran berpunca dari benteng pusat pelupusan sampah telah pecah dan menyababkan lechate mengalir masuk ke sungai Kembong dan ke muka sauk loji. Tahap ammonia begitu tinggi iaitu 6.41 mg/liter (melebihi paras Kementerian Kesihatan = 4.5 mg/ liter).

Antara laporan lain ialah cadangan bekas MB Selangor (kini dah jadi pembangkang di Selangor) yang mempersoalkan rasional penubuhan Makmal Rasionalisasi Subsidi yang bagi beliau tidak menguntungkan rakyat dan parti beliau. Malah beliau mencadangkan ditubuhkan Makmal Menurunkan Kos Sara Hidup Rakyat atau Mengurangkan Bebanan Hidup Rakyat selaras dengan slogan “rakyat diuatamakan”. Jelas benar, beliau amat bimbang bukan sahaja Selangor akan terus ditadbir oleh Pakatan Rakyat, malah laluan PR ke Putrajaya juga mungkin lebih mudah dan mengambil alih tampuk pentadbiran Negara selagi kerajaan sedia ada Be End terus mengamalkan dasar “rakyat kena dulu”.

MEMILIH YANG HALAL SUATU KEFARDHUAN
DARAH! Itulah perkataan yang di’highlight’kan untuk Al-Islam Edisi Oktober 2010. Isunya adalah berkenaan plasma darah yang dicampurkan ke dalam bebola ikan sama ada kita sedar atau tidak sedar selama ini. Alhamdulillah, kesedaran umat yang semakin tinggi berkenaan isu halal-haram terutama makanan memberi natijah satu-persatu isu ini dapat dibongkarkan. Seawal sebelum Ramadhan, pihak JAKIM menarik perhatian masyarakat di Malaysia terutamanya berkenaan mengambil kira halal haram makanan yang akan diambil untuk berbuka puasa. Bagi memastikan makanan yang ditawarkan adalah halal terutama di hotel-hotel dan restoran yang menawarkan ‘Bufet Ramadhan’ , pihak JAKIM telah memantau secara serius dan bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan halal yang lain sepanjang bulan Ramadhan ini. Menurut Ketua Pengarah JAKIM, sebanyak 24 hotel di lembah Kelang yang menawarkan ‘Bufet Ramadhan’ namun didapati menggunakan bahan yang diragui status halalnya (sila klik di sini untuk maklumat lanjut)

Berkenaan isu pencampuran bahan yang tidak halal ke dalam makanan, plasma darah (tidak berwarna) yang telah diasingkan daripada darah melalui kaedah pengemparan dan dikeringkan kepada bentuk serbuk digunakan untuk meningkatkan kualiti surimi (isi daging ikan) yang digunakan untuk menghasilkan bebola ikan. Plasma darah digunakan kerana mengandungi sumber protein yang tinggi sehingga 80% dan bahan tambah tersebut berupaya memperbaiki kepejalan dan kekenyalan (keupayaan mengental = gelling ability) sesuatu produk selain berfungsi sebagai enzim penghalang hidrolisis molekul protein serta mengawal kualiti produk ketika sejuk beku. Memandangkan ianya sukar mengenalpasti produk yang dicemari atau diacampur plasma, maka ianya boleh dikenalpasti melalui kajian makmal termasuk menggunakan teknik Enzymelinked Immunosorbent Assay (ELISA). Kebiasaannya, keyakinan tepat keputusan ujian boleh mencapai 90 sehingga 99 peratus dan lebih mudah untuk makanan yang tidak diproses atau bahan mentah. Cara terbaik untuk mengesan kehadiran bahan tambah dalam surimi ialah ujian ke atas blok bahan mentah surimi yang diimport sebelum diagihkan kepada pegusaha industri berasakan surimi. (sumber lain di sini)

Yang jelas, apa jua alasan menghalalkan penggunaan darah adalah tidak diterima kerana ianya najis dan tidak halal di sisi syarak (al-Baqarah:173, al Maidah:3, an Nahl:115, al An’am:145). Rasulullah S.A.W. telah mengingatkan kepada kita bahawa apabila berlaku percampuran antara Halal dan haram, maka dilebihkan haram ke atas Halal. Juga ada perbincangan berkenaan ‘Istihalat’ (perubahan, pertukaran), yang mana tiada konsep di dalam sains yang sinonim atau memberi pengertian yang tepat berkenaannya. Daripada aspek perundagan makanan Negara, meskipun aspek-aspek keselamatan makanan telah diberi perhatian namun hakikatnya, masih belum ada peraturan yang benar-benar menjamin kehalalan produk disuap oleh kita hari ini. Peraturan makanan hanya melihat dari aspek berapa peratus bahan tambah dibenarkan untuk diletakkan di dalam makanan dengan tujuan mengelakkan kemudharatan kesihatan kepada pengguna. Pun begitu, kajian-kajian dan perkembangan teknologi dari semasa ke semasa memungkinkan trauma ini boleh diminimumkan. Kejayaan menghasilkan produk pengesan DNA babi dalam produk makanan atau bukan makanan yang dinamakan ‘HaFYS’ oleh sekumpulan penyelidik UPM boleh dibanggakan dan sedikit sebanyak mengubat permasalahan halal-haram yang mengelilingi umat Islam mutakhir ini.

KIAMAT, AKHIR ZAMAN DAN AZAN
Sebagai umat Islam, kita wajib meyakini bahawa hari kiamat untuk dunia ini pasti datang. Sebagaimana yang boleh kita lihat, peperangan demi peperangan, bencana demi bencana, gejala sosial dan krisis moral yang meruncing (contoh seks bebas, anak luar nikah, buang bayi di Malaysia yang semakin meningkat) serta petanda-petanda kiamat yang melanda dunia hari ini , telah bersediakan untuk hari tersebut atau setidak-tidaknya bersedia menghadapi hari kiamat diri sendiri (hari kematian?) Amat benarlah pesanan Rasulullah S.A.W,. bahawa sebijak-bijak manusia ialah yang sentiasa mengingati maut dan besedia untuknya. Apa tidaknya, hidup di dunia hanya untuk maksimum 60 ke 70 tahun (kata orang, umur sabsidi), tapi hidup selepas mati setelah dibangkitkan adalah selama-lamanya tanpa noktah. Sejauh manakah kita meyakini peringatan –peringatan dari Allah dan RasulNya, sebagaimana dikatakan persiapan kaum Yahudi menghadapi kebangkitan umat Islam di akhir zaman?

“ Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi maka pada waktu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok lalu mereka bersuara dengan katanya, “ Wahai Muslim, wahai hamba Allah, di belakang ku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya, kecuali pokok gharqad (yang tidak bersuara) kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi” (Riwayat Bukhari, Muslim dan al Tirmizi)

Tahukah kita, berapa banyakkan pokok Yahudi ini telah ditanam di negara haram Israel untuk menghadapi hari yang diperingatkan oleh Rasululluah S.A.W. lebih dari 1400 tahun yang lalu?

Propaganda musuh melalui ejennya, Hollywood telah menjaja filem 2012 kononnya berlaku kemusnahan besar terhadap dunia dan masih ada yang terselamat dengan menaiki bahtera penyelamat (jauh nun di China). Pada pandangan ambo yang serba lemah ini, filem ini tidak lain tidak bukan untuk menimbulkan penafian kepada kita terhadap suatu agenda besar yang dirancang oleh musuh yang disasarkan pada tahun 2012 nanti. Di sebalik kita menafikan berlakunya kiamat pada tahun 2012 nanti, dikatakan musuh bersedia untuk memulakan perang dunia ketiga dengan penghapusan etnik dan manusia secara besar-besaran, lebih hebat dari perang dunia pertama dan kedua. Bukankah di akhir cerita tersebut menunjukkan masih ada minoriti manusia (kebanyakkannya golongan elit, berkedudukan dan berharta) yang tinggal di atas bahtera tersebut dan menghala ke Afrika? Renung-renungkan..salah satu tanda kiamat adalah kehadiran dajal dan yakjuj makjuj.

Juga yang menarik perhatian berkenaan hikmah azan dari sudut gelombang otak. Azan yang dilaungkan bukan sekadar menyeru solat malah bertindak menstabilkan gelombang dunia yang tinggi. Apabila dilaungkan, azan mengeluarkan gelombang theta yang bergelombang rendah. Dalam kajian ini, terdapat empat jenis gelombang yang dihasilkan iaitu alfa (pokok dan haiwan yang sentiasa bertasbih kepada Allah), beta (manusia), theta (azan, memuji Allah) dan delta (tidur). Dianggarkan hampir 90% populasi dunia kini berada dalam gelombang beta (stress, buntu dan segala perkara negatif). Ini kerana semakin banyak pokok ditebang, haiwan dibunuh dan hutan diterangkan untuk pemodenan dan pembangunan, maka tahap gelombang alfa semakin berkurangan. Ada benarnya andai menatap dada-dada akhbar dan media elektronik dengan pendedahan kes-kes pembunuhan, amuk, membunuh diri dan krisis moral yang semakin berleluasa.

Azan tanda sayang dari Allah? Mengapa amat-amat dianjurkan solat pada awal waktu? Kerana Allah terlalu sayangkan hambaNya maka diberi peluang kepada setiap orang untuk menikmati gelombang theta ini. Solat pada gelombang theta menyebabkan tiga perkara; pembebasan hormone melatonin (pengawal trafik benda dalam badan, tekanan, mengoksidakan radikal bebas), edrofin (morfin semulajadi manusia, penenang) dan serotonin (agen ceria) selain untuk mencapai salah satu cara kekhusyukan dalam solat. Wallahu a’lam.

TEMPAT NAIK, NABI NUH A.S., JIN, ORANG YANG BERKEMUL DAN BERSELIMUT
Jam menunjukkan hampir pukul 4.00 petang. Bas baru sahaja tiba di Felda Chegar Perah. Trafik kali ini agak lancer dengan kelajuan 80- 90 km/j. Kali ni bas tidak berhenti di tempat hentian biasa dan berhenti agak ke depan di stesyen minyak Caltex Merapoh. Isi minyak agaknya. Ambo ambil kesempatan ini untuk ke ‘kamar kecil’ (restroom) untuk sedikit hajat bersama penumpang-penumpang yang lain. Ada juga yang mengambil sedkit makanan dan mimunan sebagai bekalan persiapan untuk berbuka. Alhamdulillah, ambo telah bersedia lebih awal dengan beberapa biji kurma dan sebotol air mineral 500ml.

Alhamdulillah, ambo juga mengambil kesempatan tadi untuk mengambil wudhu. Sekurang-kurangnya dapat meneruskan bacaan al Quran dalam bulan ‘pesta’ ibadah ini. Dengan al Quran terjemahan yang dibawa bersama, dengan izin Allah, ambo berjaya menghabiskan baki surah 70 dan menyempurnakan surah 71 hingga 74.

Al Ma’arij ~ terdiri 44 ayat (Makkiyyah), kata jamak dari mi’raj, maksud dari segi bahasa ialah tempat naik, lain-lain tafsiran ialah langit, nikmat kurniaan dan darjat atau tingkatan yang diberikan Allah S.W.T. kepada ahli syurga. Antara isi kandungannya ialah berkenaan perintah bersabar kepada Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi ejekan dan keingkaran orang-orang kafir, kejadian pada hari kiamat, azab Allah tidak boleh dihindarkan dengan tebusan, sifat manusia yang mendorong ke api neraka, amal perbuatan yang membawa manusia ke martabat tinggi dan peringatan Allah akan menggantikan kaum yang derhaka dengan kaum yang lebih baik

Nuh ~ terdiri 28 ayat (Makkiyyah), merujuk kepada perjuangan dakwah dan doa Nabi Nuh A.S. Antara isi kandungannya ialah berkenaan ajakan Nabi Nuh A.S kepada kaumnya untuk beriman kepada Allah S.W.T. serta bertaubat kepadaNya, perintah memerhatikan kejadian alam semesta dan kejadian manusia, seksaan Allah di dunia dan akhirat bagi kaum yang kafir dan doa Nabi Nuh A.S.

Jin ~ terdiri 28 ayat (Makkiyyah), merujuk kepada kisah Jin yang mendengar pembacaan al Quran dan mengikut ajaran al Quran tersebut. Antara isi kandungannya ialah berkenaan pengetahuan tentang jin diperolehi oleh Rasulullah s.A.W. adalah dengan jalan wahyu, penyataan iman segolongan jin kepada Allah, terdapat jin yang beriman dan kafir, janji Allah untuk melimpahkan rezekiNya bagi manusia dan jin yang mengikuti jalan yang lurus, janji perlindungan Allah terhadap Rasulullah S.A.W. dan wahyu yang dibawanya.

Al Muzzammil ~ terdiri 20 ayat (Makkiyyah), bermakna orang yang berselimut, merujuk kepada seruan Nabi Muhammad S.A.W (dalam konteks semasa, kepada umat Nabi Muhammad S.A.W). Antara isi kandungannya ialah berkenaan petunjuk-petunjuk yang harus dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menguatkan rohani dalam persiapan menerima wahyu iatu dengan bangun malam bertahajud, membaca al Quran dengan tartil, bertasbih dan bertahmid, perintah bersabar dengan celaan orang-orang yang mendustakan Rasul, perintah kepada umat Islam untuk bertahajud, berjihad di jalan Allah, membac al Quran, mendirikan solat, menunaikan zakat, membelanjakan harta di jalan Allah dan memohon ampunan Allah S.W.T.

Al Muddasir ~ terdiri 56 ayat (Makkiyyah), bermakna orang yang berkemul (berselimut), juga merujuk kepada seruan Nabi Muhammad S.A.W (dalam konteks semasa, kepada umat Nabi Muhammad S.A.W). Antara isi kandungannya ialah berkenaan perintah untuk mulai berdakwah mengagungkan Allah, membersikan pakaian, menjauhi maksiat, memberika sesuatu dengan ikhlas dan bersabar menjalan kan perintah dan menjauhi larangan Allah, azab dari Allah untuk penentang Rasulullah S.A.W. dan pendusta al Quran dan setiap manusia terikat dengan apa yang diusahakan mereka.

Tidak jauh dari tempat Rehat dan Rawat Gua Musang, bas berhenti di sebuah surau untuk memberi laluan kepada penumpangnya menyempurnakan solat. Ambo mengambil kesempatan ini untuk solat jamak Takhir berjemaah bersama beberapa penumpang yang lain.

MUTIARA KATA SEORANG PEMIMPIN UMAT
Berikut dikongsikan beberapa mutiara kata dari Ketua Kerajaan negeri tumpah darahku yang amat disayangi oleh rakyatnya yang mana ambo petik daripada buku terbaru hasil karya Setiausaha Akhabr beliau, yang sama nama dengan ambo melalui “100 Mutiara Kata Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang 2010” yang baru dilancarkan awal Ramadhan tahun ini dan berjaya ambo khatamkan dalam perjalanan ini, yang pada pandangan ambo relevan dengan suasana balik raya ini :

“Jika memandu kereta perlukan lesen, menggunakan senjata api perlukan lesen, maka hidup di dunia juga perlukan lesen. Lesen itu ialah Islam. Hidup di dunia dengan menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen..” (tazkirah ringkas di Pejabat MB, 25 Mei 2010)

“Bila kita berugama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus melakukan dosa. Tanpa adanya yakin seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka..” (Sidang media selepas Mesyuarat Exco pada 30 Jun 2010)

“Seorang pemandu kereta belum tentu membawa kita ke destinasi yang betul. Walaupun dia tahu cara memandu, hidupkan enjin, masuk gear dan sebagainya, tetapi jika tidak tahu jalan yang betul, akan tetap tersesat. Demikian juga seorang pembaca al Quran, tajwidnya betul, suaranya baik, makhrajnya tepat jika tidak diamalkan, ia tidak akan menunjuk jalan yang betul iaitu ke syurga..”(Kuliah di Medan Ilmu, Kota Bharu pada 18 Jun 2010)

“Bila tiba cuti sekolah, anak-anak berduyun-duyun balik kampung, Alhamdulillah. TApi sedarkah kita, bila tiba kita di akhirat kelak, tidak ada lagi balik kampung. Orang Kelantan tidak boleh balik Kelantan, orang Terengganu tidak boleh balik Terengganu. Semuanya kekal di akhirat sahaja tanpa dapat balik semula. Beringat-ingatlah sebelum tiba masanya kita tidak dibenarkan lagi balik ke kampung lagi..” (Khutbah Jumaat di Masjid Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu pada 4 Jun 2010)



BERHATI-HATI DI JALAN RAYA, KEGEMBIRAAN ORANG BERPUASA, MELAYU
Tayar bas terus bergolek, melepasi Lakloh dan jam menunjukkan hampir pukul 7.00 petang. Nampak gaya, memang sah ambo akan berbuka dalam bas. Baru sahaja tadi melepasi satu lagi lokasi kemalangan. Ambo kira tidak kurang tiga kemalangan sepanjang perjalanan ambo dari Bentong hinggalah menghampiri Kuala Krai, seperti mana tahun-tahun sebelum ini. Walaupun operasi demi operasi dan kempen keselematan jalan raya dilancarkan untuk mengurangkan kemalangan dijalankan saban tahun, statistik kemalangan masih berlaku dan ada sahaja laporan hari demi hari. Pada pandangan ambo, sikap terburu-buru, tidak sabar dan tidak bertolak ansur adalah antara punca kemalangan ini, manakan tidak andai sanggup memotong di “double line” sehingga kadang-kadang orang yang memotong “double line” ini pun masih dipotong. Maklumat lanjut untuk ops sikap boleh dirujuk di sini. Pandu cermat, jiwa selamat. Berhati-hati di jalan raya. Ingatlah yang tersayang.

Tepat jam 7.17 petang, telah masuk waktu Maghrib bagi zon 1 negeri Kelantan sebelum sempat tiba di simpang tiga Guchil, Kuala Krai. Ambo berbuka dengan bekal beberapa biji kurma dan air mineral yang dibawa. Bas berhenti agak depan sedikit di sebuah restoran di Batu Jong, namun makanannya telah habis, mungkin ramai yang singgah di restoran ini untuk berbuka tadi. Sambil menunggu pemandu bas menikmati juadah berbuka mereka, ambo albil kesempatan menyelak dan membaca buku “Kepimpinan Masa Depan : Berakhirkah dilemma Melayu” terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd cetakan pertama 1987 yang dikarang oleh Ahmad Atory Hussain (di Jabatan Sains Politik UKM pada tahun itu). Tidak banyak perbincangan ilmiah yang dikupas dan bincangkan melalui karya ini, melainkan kebanyakannya lebih bersifat perkauman Melayu dan juga ketaksuban kepada pemimpin tertentu. Jika tidak silap pada perkiraan ambo, buku ini dikarang sebelum parti UMNO diharamkan dan lahirnya parti kaum Melayu yang baru iaitu UMNO Baru dengan Tun Dr Mahathir Muhammad sebagai Presidennya yang pertama (Namun begitu roh semangat UMNO yang haram itu masih diteruskan oleh parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh).

Antara persoalan yang dibincangkan termasuklah dilemma politik Melayu, kedatangan orang Cina dan india sebagai bala, arah tuju dan cabaran orang Melayu, masalah Melayu Pulau Pinang, kerugian dan kelemahan orang Melayu, asas nasionalisme Melayu, kebimbangan kaum bukan Melayu dan aliran pendapat masa kini mereka, pendekatan membendung perkauman, corak kepimpinan masa depan dan siapa pemimpin masa depan. Juga yang menarik perhatian ambo berkenaan isu perbalahan UMNO-PAS yang turut didendangkan dan masih dilagukan sehingga ke hari ini. Berkenaan isu ini, pakat renung-renungkanlah petikan berikut sama ada buku ini hasil kerja seorang sarjana, pengunjung kedai kopi atau pelajar sekolah rendah :

Pemahaman kebiasaan graduan BTN & benarkah 100% Melayu itu Islam? ~ “..Dalam kafir-mengkafir menajdi-jadi hingga hendak berdebat (tapi tidak jadi), Sabah telah dikuasai oleh orang-orang bukan Islam. Lepas itu nampak reda sedikit. Orang PAS mengatakan UMNO berfahaman asabiah dan kebangsaan, atau nasionalisme yang diamalkan oleh UMNO adalah tidak Islam. Pada saya, orang PAS sendiri tidak faham dengan konsep asabiah dan nasionalisme Melayu. Sebenarnya, dalam konteks orang Melayu, Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Tidak ada dalam dunia ini yang penduduknya seratus peratus (100%) Islam melainkan orang Melayu sahaja…”

Masih tidak sedar Malaysia adalah negara berbagai Bangsa, tidak mustahilkah bangsa lain yang beragama Islam lebih ramai dari Melayu suatu hari nanti ? ~ “..Kita bolah juga sebut Dasar Ekonomi Baru itu untuk membantu orang Islam – bermakna juga orang Melayu. Siapa lagi orang Islam di Negara ini kalau tidak orang Melayu?(Orang dari bangsa lain tidak banyak!)..”

Adakah Mahasiswa dididik untuk dikongkong pemikiran dan idea mereka sehingga jadi pak turut? ~ “..Pening juga kita memikirkan, kenapa hal ini berlaku, padahal universiti-universiti di Negara ini adalah ditubuhkan oleh kerajaan. Sepatutnya mahasiswanya mestilah prokerajaan…”

Suatu sangkaan yang buruk dan tuduhan yang belum dibuktikan, hidayah untuk menerima Islam adalah ketentuan Allah ~ “..Pada pandangan bukan Islam, saya kira, mereka tetap mengatakan dasar-dasar Islam (yang kita kata adil) itu sebagai tidak adil! Bolehkah PAS memberi jaminan bahawa sekalipun ia menjalankan segala-galanya berunsur Islam tulen kalau ia memerintah nanti, orang bukan Islam akan menagkui bahawa dasar-dasar Islam itu adil?.... Sebagai seorang Islam, saya sangat ragu-ragu kepada orang bukan Islam. Sekalipun dilihat dari lahiriah mereka mengakui keadilan dan kebaikan orang kita (Islam) tetapi di hati kecil meraka, siapa yang tahu? “

Banyak lagi point-point yang diketengahkan dalam buku ini yang masih boleh dipersoalkan, namun cukuplah sekadar itu untuk coretan ini bagi renungan kita bersama. Adakah UMNO Baru yang diperjuangkan hari ini masih meneruskan legasi UMNO yang dahulu atau menanti masa untuk dikuburkan dan ditalkinkan atas kesedaran generasi hari ini yang inginkan Malaysia yang lebih baik, berkebajikan dan adil untuk semua selaras dengan tuntutan syarak.

Petikan terakhir sebagai renungan :
“Semasa saya menulis warkah ini, orang-orang Melayu dan UMNO amnya sedang sibuk memilih pemimpin-pemimpin mereka di semua peringkat parti;……Apa yang lebih menarik lagi, ada sebuah cawangan yang membuat usul tidak percaya pada Presiden Parti (Perdana Menteri). Rasa saya, usul tidak percaya dari sebuah cawangan yang meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan itu merupakan satu peristiwa yang belum pernah terjadi sejak dulu hingga sekarang….UMNO sudah mula mengutamakan prinsip-prinsip ganjaran (reward – atau rasuah?) kepada mereka yang berkedudukan. Perjuangan-perjuangan UMNO yang dulu begitu hangat seperti Bahasa Kebangsaan, hak-hak istimewa Melayu dan kemiskinan orang melayu seolah-olah sudah tidak ada lagi….Di dalam UMNO sekarang, berlaku politik puak (faction). Puak yang kaya akan mengatasi puak yang kurang kaya…..Untuk naik ke atas dan mengekalkan kedudukan, semuanya dijalankan melalui isu-isu perkauman atas nama menjaga kepentingan dan melindungi hak-hak Melayu, tetapi hasilnya tidak memberi apa-apa makna..”

Mungkin PERKASA ada sedikit jawapan untuk di atas. Namun, Islam adalah tetap pilihan ambo baik untuk PRU yang mendatang ini ataupun seluruh hidup ambo.

PENUTUP
Alhamdulillah, hampir jam 10.00 malam, ambo tiba di Nilam Puri dan berhenti solat di Masjid Mukim Kedai Mulong. Setelah selesai solat Ta’khir dan solat sunat Terawih (Alhamdulillah, sempat 6 rakaat), kelihatan kelibat adik-adik iparku telah sampai dan menunggu di luar masjid. Syukur Ya Allah, Engkau sampaikan daku di negeri yang bertuah dan barakah ini dengan selamat dan moga-moga kepulanganku menjadi asbab kegembiraan dan bertambah iman mereka bagi insan-insan yang aku sayangi dan cintai.

“Ya Allah, Ta tuhanku, tempatkanlah aku di sebaik-baik tempat yang penuh barakah. Dan Engkau sebaik-baik pemberi tempat”

SELAMAT HARI RAYA EIDIL FITRI. MAAF ZAHIR BATIN. 
MINAL AIDIL WAL FAIIZIN. 
TAQABBALLAHU MINNA MINKUM AMALAN SOLIHAN, 
TAQABBAL YA KAREEM.

Moga-moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.W.T. dan menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.  Doakan agar kami dapat selamat sampai di kampung tercinta dan doa kami untuk ada juga sama, merayakan kemenanangan setelah bergraduasi sebagai orang 'baru' yang lebih bertaqwa kepada Sang Maha Pencipta, Allah S.W.T.  Jangan lupa, kita masih berbaki 4 hari lagi Ramadhan.

Salam pencinta Lailatul Qadr

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal