Tuesday 25 February 2014

IMP : Suatu Tambah Nilai dalam Sistem Kualiti Makanan

Bismillah 


Satu piawaian Amalan Pengilangan Islam atau Islamic Manufacturing Practices (IMP) yang menekankan pengeluaran produk makanan dan barang gunaan yang mencapai status Halalan Toyyiba telah diperkenalkan sejak tahun 2005, selaras dengan perkembangan positif Perbankan Islam dan Takaful Islam dalam Negara. Bagi merealisasikan hasrat melihat IMP dapat dijalankan secara praktikal, maka sebuah kilang bertaraf Amalan Pengilangan yang Baik atau Good Manufacturing Practices (GMP) telah dibangunkan dan menjadi model pengilangan IMP.  IMP bukan lagi melihat kebersihan dari sudut lahiriah dan fizikal, malah dari sudut kesucian dan kerohanian [2]

Pada hari ini,  pengilangan GMP semakin mendapat tempat dan menjadi amalan kebiasaan di kalangan indsutri pengilangan.  Secara umumnya, pensijilan GMP adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu melalui Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan (BKKM) bagi GMP untuk produk makanan dan melalaui Bahagian Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) bagi produk ubat-ubatan, makanan tambahan (supplement) dan kosmetik. 

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh BKKM, GMP diwujudkan bagi membantu industri untuk mencapai piawai pengeluaran makanan yang lebih tinggi bagi memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak pengguna. Satu garis panduan telah disediakan sebagai panduan terhadap elemen-elemen utama GMP kepada industri makanan daripada penerimaan bahan mentah hingga ke pengedaran produk. Pelaksanaan garis panduan yang betujuan mewujudkan keseragaman dalam GMP bagi industri makanan.  Garispanduan ini terpakai kepada semua jenis industri makanan di Malaysia termasuk bidang pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan, penstoran dan pengedaran [4] .

Bagi pensijilan GMP melalui BPFK, pelaksanaannya adalah sebagai pra-syarat memenuhi salah satu keperluan  Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, untuk melayakkan permohonan lesen pengilang serta pendaftaran produk / pemberitahuan kosmetik. GMP adalah piawai yang perlu dipatuhi oleh pengeluar produk farmaseutikal / tradisional berdaftar dan kosmetik untuk memastikan bahawa produk yang dihasilkan adalah selamat, berkesan dan berkualiti.  Sijil GMP dikeluarkan bagi tujuan pengeksportan produk berdaftar yang dikeluarkan dalam negara. Ia mengesahkan bahawa pengeluar tempatan mematuhi keperluan GMP. Sijil ini diperlukan oleh agensi-agensi kawal selia di luar negara untuk pendaftaran produk di negara-negara mereka [5] .

IMP menambah nilai GMP dengan pengisian unsur kesucian dan kerohanian di mana penekanan diberikan kepada pemprosesan produk oleh orang-orang Islam yang beramal dengan amalan Islam.  Dengan kata lain, IMP juga adalah suatu piawaian bertaraf  Halalan Toyyiba, iaitu Halal lagi baik yang mempunyai prinsip-prinsip kesucian rohani, jasmani, keselamatan, kualiti dan keberkesanan terhadap pemikiran, perasaan, jiwa dan akhlak manusia.  Proses pengilangan yang bukan sahaja suci dari aspek fizikal yakni tiada bahan haram atau pencemaran dengan bahan haram malah juga suci dari sudut rohaninya iaitu pemprosesan produk dijalankan oleh orang-orang Islam yang beramal dengan amalan Islam semasa menjalankan kerja [2] .

Penguasaha IMP yang melibatkan dalam pembuatan produk makanan yang Halalan Toyyiba mestilah mengetahui persoalan hokum pembuatan produk dan mempunyai ilmu berhubung dengan persoalan keagamaan.  Selain itu, mereka juga perlu bertanggungjawab membekalkan produk  yang benar-benar memenuhi keperluan syarak dan menyedari bahawa penghasilan produk akan menjadi darah daging dan akan dituntut di akhirat kelak.  Malah, sumber kewangan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan tidak bersumberkan riba dan yang terpenting ialah menyematkan niat untuk menyediakan produk yang Halal lagi baik kepada pengguna Muslim semata-mata kerana Allah S.W.T [2] .


Bagi memenuhi situasi kilang dan bahan mentah bertaraf IMP, maka susunan dalam kilang mestilah mengikut syariat di mana tiada muzik sebarangan didendangkan tetapi bacaan Al Quran diperdengarkan.  Selain itu, kuliah kefahaman Halal, IMP mahupun sistem keselamatan makanan seperti GMP diadakan dari semasa ke semasa.  Malah, kuliah kefahaman agma juga diadakan di kalangan pihak pengurusan dan pekerja 3 kali setiap minggu.  Sumber bahan mentah yang digunakan mestilah Halal dan mendapat pengesahan dari pihak berkuasa dan unit Audit Syariah Dalaman.  Peralatan dan bahan mentah mestilah dibersihkan mengikut piawaian syariah seperti penggunaan air mutlak yang bersih dan suci lagi menyucikan [2] .

Elemen pekerja juga ditekankan dalam pengilangan IMP di mana pemilihan pekerja mestilah yang Islam dan beriman kepada Allah dan RasulNya.  Mereka mestilah mengetahui dengan sungguh-sungguh hokum bersuci (thaharah) berhubung dirinya dan kesucian bahan perlatan dan bahan mentah.  Aspek pengetahuan terhadap air mutlak dan air mustakmal, kemampuan membaca al Quran juga ditekankan bagi memenuhi pengilangan IMP ini.  Pekerja mestilah menjadikan amalan membaca Basmalah apabila memulai sesuatu pekerjaan dan amalan doa-doa khusus serta sentiasa dalam keadaan berwudhu’.  Percampuran antara lelaki dan perempuan juga dipraktikkan di mana ruang kerja antara meraka diasingkan [2] .

Kemampuan membaca al Aquran ditekankan kerana banyak doa dan bacaan yang perlu dibaca semasa proses pengilangan.  Selain itu, elemen wudhu ditekankan supaya cahaya keberkatan (Nur) wudhu’ sentiasa ada pada operator.  Nur dari bacaan al Quran, basmalah dan wudhu’ diharapkan melimpah masuk ke dalam produk yang akhirnya menghasilkan jiwa yang murni dan bertaqwa di kalangan pengguna.  Natijahnya, manusia mengalami perubahan pemikiran, perasaan, jiwa dan budi pekerti yang akan menjadi hamba Allah yang lebih taat kepada perintah Allah dan RasulNya [2] .



Pengilangan IMP memandang penting persoalan Halal dan haram makanan dan barang gunaan harian kerana menjadi salah satu elemen terpenting orang Islam berkualiti dalam pembinaan tamadun manusia.  Daging yang tumbuh dari sumber yang haram menyebabkan manusia mudah terjebak dalam lingkaran maksiat dan menjadikan hati terhijab untuk mendapat cahaya hidayah Allah.  Pada saat hati telah dipenuhi dengan titik-titik hitam dan maksiat sehingga tiada ruang lagi untuk titik kebaikan, maka pada pada saat itu neraka  menjadi tempat yang lebih baik untuk mereka [2] .

Antara kelebihan pemilihan makanan yang Halalan Toyyiba termasuklah menjalinkan ukhuwan dan kasih sayang di kalangan umat Islam atas dasar Iman kepada Allah sekaligus menghilangakn perasaan dan sifat dengki (hasad) dan sifat-sifat tercela di kalangan orang Islam.  Secara langsung, akhlak yang terpuji dapat dibina di kalangan orang Islam dan melahirkan umat yang kuat pegangan akidah dan agama. Ini kerana, pengilangan IMP menyedari hanya darah daging yang suci dari makanan yang syubhat dan haram adalah layak untuk masuk ke syurga Allah [2] .



Gerakan IMP ini diterajui oleh syarikat Sidratul Corporation Sendirian Berhad (Sidratul) yang merupakan sebuah syarikat milikan 100% Muslim.  Ia mula beroperasi pada awal tahun 2006 sebagai manifestasi menyokong dan membantu membangunkan Industri Halal yang kian pesat berkembang terutamanya di Malaysia.  Teras perniagaan Sidratul adalah dalam industri pengilangan produk-produk makanan, minuman dan kosmetik Halal selain daripada memberi perkhidmatan perundingan kepada usahawan-usahawan Isam yang ingin menceburkan diri didalam industri makanan Halalan Thoyyiba.[1] .

Selain menyediakan produk yang berkualiti kepada pelanggan-pelanggan, melalui gabungan makanan-makanan sunnah dan herba-herba yang diproses dengan berpandukan syarak melalui Amalan Pengilangan Secara Islam atau dikenali sebagai Islamic Manufacturing Practice (IMP), syarikat ini percaya bahawa makanan yang Halal lagi baik merupakan asas kepada pembentukan jiwa seorang Islam yang beriman dan insyallah akan mencapai Ihsan [1] .  Pembuatan produk secara Halalan Toyyiba merupakan kombinasi nilai-nilai fizikal dan spiritual berasaskan mengenai hokum Syarak [1] . 

Secara ringkasnya, Sidratul Corporation disokong oleh tiga syarikat yang lain iaitu Sidratul Enterprise sebagai entiti yang menjalankan pengilangan, Sidratul Edar sebagai entiti  yang menjalankan promosi dan pemasaran dan Sidratul Trading sebagai entiti yang menguruskan pengangkutan dan pengedaran [1] .

Kilang makanan milik syarikat Sidratul Corporation beralamat di No.12, Jalan Industri 1, Taman IKS MIEL, 33010 Kuala Kangsar Perak pada 7 Mei 2013 dan mengeluarkan produk makanan berasaskan rumpai laut seperti spagemee rumpai laut, makanan berasaskan madu seperti madu akasia, madu sawda, madu pala, madu guarana, madu mahkota dewa dan madu bunga cengkih, makanan berasaskan barli seperti bar barli madu Raf-Raf, coklat barli Aswad, biskut barli Raf-Raf dan barli Aswad dan makanan prebiotik seperti susu kambing prebiotik akasia dan rumpai laut coklat prebiotik akasia.  Selain itu, minuman juga dikeluarkan dari kilang ini termasuklah susu seperti susu penuh krim Halib’s, susu penuh krim Halib’s Gold, susu kambing Caliph Goata dan kopi Goata, cordial ros dan rumpai laut, minuman berasaskan koko seperti Hot Choc dan Honeko, dan juga minuman saffron seperti Saffron Sparkling dan kordial Saffron oren madu [3] .  Produk yang dikeluarkan adalah sama ada milik syarikat ini sendiri atau kontrak pengilangan (contract manufacturing) dari syarikat lain. 





Salam 2014 yang penuh optimis dan kejayaan :-)
[Hamad (Libya), Fadhli (Malaysia), Ust.Tajuddin (Malaysia), Saif (Oman)]



Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Trainer Pengendali Makanan KKM
Ahli Professional MIFT
Facebook : Fadhli RahmanAbas


Rujukan :
1.      Laman Sesawang Sidratul Corporation Sendirian Berhad (http://www.sidratul.com/)
2.    Ahmad Tajuddin Arshad. 2010. Halalan Toyyiba: Buku Panduan IMP. Penyelaras Falsafah & Sains Islam Universiti Sains Malaysia. Pulau Pinang
3.      Product Catalogue. Sidratul Corporation
4.  Portal Rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. (http://fsq.moh.gov.my/v3/component/k2/item/266-garis-panduan-amalan-pengilangan-yang-baik-gmp/266-garis-panduan-amalan-pengilangan-yang-baik-gmp)
5.  Portal Rasmi Bahagian Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia. (http://portal.bpfk.gov.my/index.cfm?&menuid=146&parentid=113)

Saturday 22 February 2014

Integrasi Sistem Kualiti Makanan : Suatu Keperluan Masa Kini

Bismillah 


Pengenalan

Pasaran Halal global terus berkembang dan dianggarkan bernilai lebih daripada 2.3 trilion Dolar Amerika setahun sehingga tahun 2011 di mana lebih 60% daripada nilai pasaran yang dianggarkan berjumlah 680 bilion Dolar Amerika adalah produk makanan Halal.  Menyorot perkembangan mutakhir ini, semakin jelas bahawa minat dan permintaan terhadap pengeluaran dan pembekalan produk-produk dan perkhidmatan yang diiktiraf sebagai “Halal ” semakin menunjukkan peningkatan yang luar biasa, dan menjadi komponen yang wajib dalam memenuhi keperluan dan citarasa pengguna-pengguna bukan sahaja di kalangan orang-orang Islam malah orang-orang bukan Islam dalam pasaran sejagat.

Bagi umat Islam, tidak dapat dinafikan bahwa permintaan ini adalah berasaskan kepada memenuhi tuntutan agama Islam itu sendiri iaitu untuk memastikan bahawa setiap produk dan perkhidmatan yang digunakan oleh mereka sama ada pakaian, perubatan, makanan atau apa sahaja barang gunaan adalah suci dalam ertikata dibenarkan oleh Islam, dan dengan itu, tidak boleh tercemar oleh apa jua yang dianggap tidak Halal  atau haram dari segi kandungan dan ramuan, pengendalian peralatan, dan kaedah memproses atau dari segi pengolahan.


Halal Malaysia

Malaysia sebagai negara Islam yang sedang pesat membangun adalah merupakan lokasi yang strategik dan tepat bagi pengeluaran produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan Halal untuk pasaran domestik, serantau dan antarabangsa. Sehingga kini, Malaysia telah berjaya membuktikan keupayaannya memenuhi syarat, dan kriteria, untuk muncul sebagai Hab atau Pusat Produk Halal  Global yang disegani.

Faktor-faktor seperti struktur perundangan dan peraturan yang berkesan dengan JAKIM sebagai badan utama, Logo atau Tanda “Halal ” JAKIM telah didaftarkan di bawah Trade Mark, Penyeragaman pensijilan “HALAL ” melalui Malaysian Halal  Standard MS 1500 : 2004, sokongan penyediaan infrastruktur fizikal dan pentadbiran yang beterusan, asas perkilangan sektor makanan, perubatan, dan barangan pengguna yang kukuh, rantaian kerjasama dengan negara-negara asing untuk memudahkan import komponen, bahan-bahan mentah dan ramuan-ramuan, dasar-dasar yang liberal bagi pelabur-pelabur asing dan tempatan melabur secara besar-besaran dan dasar-dasar khusus untuk membangunkan industri Halal amat membantu menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau dan global untuk pengeluar Halal  yang diterima oleh dunia. Malah, tidak dapat dinafikan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berintegriti, dalam mempelopori pengeluaran produk-produk Halal, merupakan penjenamaan “premium” atau kelebihan kepada pengeluaran produk-produk tersebut di Malaysia. Pendeknya, pasaran antarabangsa menilai tinggi dan menerima pengiktirafan Halal  oleh JAKIM terhadap produk-produk dan perkhidmatan.

Pengeluaran Sijil Halal sebanyak 9,338 telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat dan produk-produk sejak Januari 2001 sehingga Oktober 2004. Pada tahun 2010 pula, sebanyak 4,787 Sijil Halal  telah dikeluarkan kepada pekilang, premis dan rumah sembelih oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri. Jumlah ini meningkat pada kadar 25% setiap tahun. Sebilangan besar daripada syarikat-syarikat ini merupakan pengusaha dalam industri Makanan dan Minuman di mana 82% daripada mereka adalah pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS).

Pelaburan dalam sektor pemprosesan makanan terus menunjukkan peningkatan dan dalam tahun 2003 pelaburan sebanyak RM1.1 ribu juta telah diluluskan dan bagi jangka masa antara Januari hingga Oktober 2004, sebanyak 59 projek memproses makanan telah diluluskan, dengan pelaburan berjumlah RM 896.5 juta. Malah, Malaysia juga telah berjaya mengeksport sejumlah RM 2,843.4 juta produk makanan ke luar negara dimana 53% jumlah eksport adalah ke negara ASEAN dan Timur Tengah yang mempunyai majoriti penduduk Islam dan pengguna terbesar produk makanan Halal  dunia. Keupayaan ini mampu dipertingkatkan lagi kerana jumlah pasaran antarabangsa makanan Halal bernilai AS 80.7 billion (RM 298.6 billion) dan nilai ini dijangkakan terus meningkat setiap tahun. Sehingga 2011, pasaran Halal global terus berkembang dan dianggarkan bernilai lebih daripada 2.3 trilion Dolar Amerika setahun di mana lebih 60% daripada nilai pasaran yang dianggarkan berjumlah 680 bilion Dolar Amerika adalah produk makanan Halal.

Dengan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal ) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal ) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) dan Peraturan –Peraturan  Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, maka usaha yang lebih bersepadu perlu digembeleng dalam menghadapi suasana terkini yang penuh mencabar.  Dengan senarai kesalahan yang boleh dikompaun yang termaktub dalam akta dan peraturan tersebut dan menjanjikan denda dan hukuman penjara, penguasaha yang terlibat dalam industri makanan ini perlulah ditingkatkan kompetensi mereka.  Komitmen untuk menghadapi cabaran ini dan melakukan perubahan semestinya memerlukan elemen-elemen seperti kewangan yang kukuh, persediaan ilmu yang mapan dan perubahan sikap.



Perundangan dan Cabaran

Tirai tahun 2011 dilabuhkan dengan kedatangan tahun 2012 yang menyediakan seribu satu cabaran lagi buat pengendali dan pengusaha makanan terutama pengusaha mikro dengan berkuatkuasanya Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal ) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal ) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011). Berdasarkan pekeliling Pensijilan Halal  Malaysia Bil.1/2011 yang dikeluarkan, memaklumkan bahawa berkuat kuasa 1 Januari 2012, sijil dan logo Halal  yang dikeluarkan atau dipohon sama ada secara self declaration atau yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat swasta tidak lagi dibenarkan. Mulai tarikh tersebut, perbuatan tersebut adalah merupakan suatu kesalahan yang boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta yang baru ini.

Berdasarkan APD 2011 ini, semua makanan dan barang-barang tidak boleh lagi diakui sebagai Halal  atau seumpamanya untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika telah diperakukan sebagai Halal  oleh pihak berkuasa yang berwibawa iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan ditandakan dengan logo Halal  Malaysia.  Penguatkuasaan ini termasuk halangan penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran atau apa-apa perkara atau objek yang berhubung dengan agama Islam sama ada di premis di mana makanan itu dijual atau di bekas di mana makanan itu dibekalkan melainkan diperakukan sebagai Halal  oleh pihak berkuasa yang berkenaan. 

Jika disabitkan kesalahan, pertubuhan perbadanan seperti  Syarikat Sdn Bhd boleh didenda sehingga tidak melebihi lima juta ringgit dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi 10 juta ringgit manakala suatu pertubuhan perbadanan seperti Milikan Tunggal (Enterprise) boleh didenda tidak melebihi satu juta ringgit; atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Malah, tanpa dapat dinafikan, penguatkuasaan APD 2011 ini menambahkan lagi beban para  pengendali dan pengusaha makanan mikro yang telah sedia diperkenalkan dengan penguatkuasaan Peraturan –Peraturan  Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum itu.  Dengan 32 kesalahan yang boleh dikompaun yang termaktub dalam peraturan tersebut dan menjanjikan denda dan hukuman penjara, sememangnya kesalahan-kesalahan tersebut tidak boleh lagi dipandang enteng oleh mereka yang terlibat dalam industri makanan ini, dan tidak hanya terhad kepada industri sederhana dan besar. PPKM 2009 merupakan undang - undang yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 28 Februari 2009 dan telah dikuatkuasakan sejak 1 Mac 2010 di mana penguatkuasaan sepenuhnya akan dilaksanakan menjelang  Januari 2014.

Tujuan PPKM 2009 diwujudkan adalah untuk melindungi pengguna daripada penyakit bawaan makanan serta menjamin keselamatan makanan yang dipasarkan untuk pengguna. Semua mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan penjualan produk makanan kini tertakluk dibawah PPKM 2009 ini merangkumi sekecil penjual makanan hingga kepada pengilang, pengusaha restoran, kedai makan serta pasaraya. Antara penguatkuasaan peraturan tersebut termasuklah  mereka yang terlibat menyediakan, mengawet, membungkus, menyimpan, menghantar, mengedar atau menjual makanan hendaklah memastikan premis mereka didaftarkan untuk mengelakkan disabitkan kesalahan di mana boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Selain itu, tidak dapat dinafikan, kerajaan telah menyediakan pembangunan infrastruktur termasuklah melalui pembangunan Taman-taman Halal  seperti Taman Halal  Pulau Indah di Selangor dan pelbagai kemudahan sampingan seperti galakan cukai untuk industri Halal  setakat ini dan telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM 6 bilion. Walaubagaimanapun, hanya 20% adalah daripada pelaburan langsung tempatan iaitu peratusan yang kecil dibandingkan dengan pelaburan asing disebabkan kekakangan dan halangan terutama dari aspek bantuan kewangan untuk mereka berpindah dari lokasi sedia ada.

Isu dayasaing dan strategi terbaik dalam memberi keyakinan terhadap produk dan perkhidmatan yang diberikan adalah Halal lagi berkualiti sememangnya telah menjadi topik yang sekian lama dibincangkan di pelbagai peringkat termasuklah mewujudkan dan melaksanakan satu sistem piawai yang bersepadu dan diiktiraf dunia merangkumi ISO, GHP, GMP,HACCP dan sistem Jaminan Halal , bagi memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mampu mendapat pasaran yang lebih luas.

Walau bagaimanapun, penentuan Halal  dan haram melalui logo tanda Halal  masih belum dapat meningkatkan dayasaing domestik mahupun global, sekiranya pengguna Islam masih belum dapat dijamin seratus peratus akan kesucian setiap proses yang terlibat dari awal hinggalah kepada pengiktirafan logo Halal  dan suci diberikan. Sehingga tahun 2000, terdapat 203 kilang, 2 hotel, 22 rumah sembelihan dan 27 restoran yang mempamerkan tanda logo Halal  JAKIM. Jumlah ini tidak termasuk pengusaha-pengusaha yang membuat penipuan dan penyalahgunaan tanda logo dan mempamerkannya di premis-premis perniagaan dan produk mereka. Meskipun terdapat kesedaran kepentingan kepatuhan kepada ISO, GHP, GMP,HACCP dan sistem Halal  ini di kalangan segelintir dari pengendali dan pengusaha, namun beberapa kekangan dan halangan menyebabkan usaha mereka untuk berubah kepada yang lebih baik terbantut.

Antara penipuan dan penyalahgunaan tanda logo Halal  termasuklah mempamerkan logo meskipun status pengesahan Halal  masih belum diterima dari pihak JAKIM.  Selain itu, terdapat  juga pengusaha yang bertindak membelakangkan undang-undang dengan menggunakan satu sijil Halal  untuk beberapa cawangannya di mana sepatutnya satu sijil Halal  hanya untuk satu premis perniagaan sahaja dan bukan termasuk cawangan-cawangan yang dimiliki di lokasi lain.  Dalam kes yang berlainan pula, hasil pemeriksaan di sebuah kilang bihun di Pulau Pinang mendapati pengeluar meletakkan setiap bungkusan bihun yang dibungkus dalam satu paket yang mengandungi logo Halal  keluaran syarikat yang berpusat di Bangkok, Thailand meskipun pemprosesannya di buat di dalam negara. Lebih mengejutkan lagi, dalam pemeriksaan juga,  terdapat produk yang turut ditanda logo Halal  Malaysia yang kononnya dikeluarkan JAKIM namun mereka gagal menunjukkan surat kebenaran daripada JAKIM apabila diminta sedemikian.


Amalan Pengilangan yang Baik (Good Manufacturing Practices-GMP)

Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) ialah langkah- langkah universal yang diperkenalkan untuk mengawal operasi sesebuah premis makanan bagi membolehkan penghasilan makanan yang selamat. GMP telah diwujudkan bagi membantu industri untuk mencapai piawai pengeluaran makanan yang lebih tinggi bagi memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak perundangan negara. Dengan pengiktirafan GMP, sesebuah syarikat berupaya menjamin mutu kualiti barangan keluaran sentiasa konsisten pada tahap yang tinggi.

GMP menekankan agar segala proses yang dilakukan di kilang adalah bersistematik dan mempunyai prosedur operasi yang didokumenkan. Antara prosedur yang ada kebiasaannya dilaksanakan dalam sesebuah syarikat atau kilang termasuklah Prosedur Kawalan Bahan Mentah, Kawalan Serangga, Pengurusan Sisa Buangan, Penyelenggaraan, Kebersihan dan lain-lain lagi.  Dengan adanya prosedur ini, ianya memudahcara segala aktiviti syarikat untuk berjalan dengan lebih lancar dan dapat meminimakan sebarang masalah yang berisiko untuk timbul ketika aktiviti perkilangan dilakukan. Semua aktiviti syarikat dan infrastruktur yang ada mestilah berasaskan kepada Standard Malaysia (Amalan Pengilangan Baik).

Pengusaha makanan yang memandang remeh dari segi pelan kilang dan bahan binaannya akan merugikan mereka di kemudian hari kerana perlu membuat pengubahsuaian kilang jika tidak menepati keperluan GMP yang boleh menyebabkan proses mendapatkan status GMP terbantut.  Pengetahuan dan pemahaman berkaitan GMP seelok-eloknya di ketahui oleh pengusaha yang ingin menaikkan taraf kilang mereka daripada kilang biasa berstatus GMP.  Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) juga telah memperkenalkan skim pensijilan GMP yang mana ianya terbuka untuk semua jenis pengusaha premis makanan sama ada pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran makanan.

Antara keperluan untuk mencapai GMP ialah premis makanan perlulah mempunyai rekabentuk dan dibina supaya dapat mengawal risiko pencemaran. Premis perlu direkabentuk sesuai dengan tujuan penggunaannya iaitu dengan mempunyai susun atur yang membenarkan aliran proses yang baik, amalan kebersihan dan keselamatan yang baik termasuk pelindungan pencegahan serangan makhluk perosak dan pencemaran silang di antara waktu operasi dan semasa operasi.  Aliran proses daripada penerimaan bahan mentah sehingga produk akhir perlulah mampu mengurangkan ‘criss-crossing’ dan ‘back tracking’ yang boleh menyebabkan pencemaran.  Premis juga perlu direkabentuk bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dan membantu penyeliaan kepada kebersihan makanan.

Kebersihan yang tidak memuaskan boleh menyebabkan kehilangan kualiti dan keselamatan makanan yang kemudiannya boleh menyebabkan kerugian seperti kos penarikan balik produk (product recall lost), kos yang dipertanggungjawabkan (liability cost) dan kehilangan perniagaan (lost of business).  Asas infrastruktur dan sistem pengurusan yang mantap diperlukan oleh sesebuah syarikat untuk terus bersaing dalam pasaran dengan mencapai standard yang dikehendaki.  GMP juga menyediakan panduan amalan kebersihan asas untuk industri yang bermula daripada bahan mentah sehinggalah pengeluaran produk siap. Ia juga merangkumi aspek kepentingan dokumentasi, rekod dan latihan berkaitan.

Sebagai contoh dalam aspek Kawalan Operasi, bahan mentah yang digunakan hendaklah mempunyai kualiti yang boleh diterima. Kehendak-kehendak Perundangan Makanan mestilah dipatuhi termasuk bahan mentah, ramuan dan aditif makanan yang digunakan.  Dalam sistem kawalan proses, perkara-perkara utama yang perlu dititikberatkan termasuklah mengawal masa dan suhu secara efektif bagi memastikan makanan yang diproses adalah selamat dimakan, mengkalibrasi semua peralatan pengukur termasuk jam, jangkasuhu dan penimbang berdasarkan kepada keperluan, mengelakkan berlakunya pencemaran silang, memakai pakaian perlindungan yang bersih termasuklah kasut hendaklah disediakan untuk kakitangan apabila memasuki kawasan pemprosesan dan mengawal bahaya fizikal, kimia dan biologi semasa pemprosesan hendaklah diamalkan.

Program-program pembersihan dan penyahjangkitan perlu memastikan semua bahagian bangunan dibersihkan dengan betul, termasuklah peralatan pembersihan.  Melalui program ini, kawalan berterusan dengan berkesan adalah perlu untuk memastikan kesesuaian dan keberkesanannya serta hendaklah didokumenkan.  Program-program pembersihan secara bertulis hendaklah memperincikan kawasan, butiran peralatan dan perkakas yang akan dibersihkan, senarai tanggungjawab untuk sesuatu tugas, kaedah dan kekerapan pembersihan dan pengaturan pengawasan.  Pengendali-pengendali makanan juga hendaklah menjaga kebersihan diri pada tahap yang tinggi dan dimana sesuai, memakai jaket pelindung yang bersih, pelindung kepala, sarung tangan dan kasut serta beberapa keperluan lain lagi.


Sistem Analisa Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (Hazard Analysis and Critical Control Point-HACCP)

HAZARD Analysis and Critical Control Point (HACCP) atau Analisa Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal diperkenalkan di Malaysia pada 1990-an. Konsep itu digunakan di Amerika Syarikat (AS) pada 1960-an apabila kawalan keselamatan makanan berasaskan sains diperkenalkan untuk sekumpulan angkasawan ketika itu. Pensijilan HACCP masa kini amat penting untuk membolehkan syarikat makanan tempatan tidak ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.  Penggunaan sistem HACCP juga membantu aktiviti pemeriksaan oleh pihak berkuasa, sekali gus dapat mempromosikan perdagangan antarabangsa dengan meningkatkan keyakinan dalam keselamatan makanan.

HACCP ialah satu sistem keselamatan makanan bersistematik dan berasaskan sains dan ia digunakan untuk mengenal pasti bahaya khusus dalam proses membuat makanan.  HACCP adalah langkah kawalan keselamatan makanan iaitu memastikan makanan yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat selamat dimakan dan untuk membangunkan sistem kawalan khusus terhadap pemprosesan produk makanan, selain turut menitikberatkan langkah pencegahan.  Jika dibandingkan dengan sistem kawalan kualiti produk makanan yang biasa, pemeriksaan dilakukan ke atas produk akhir iaitu produk siap yang akan memasuki pasaran pada bila-bila masa. Walau bagamanapun, dengan aplikasi sistem HACCP, kawalan dan pencegahan ke atas produk akan dilakukan mulai pada peringkat awal pemprosesan seperti di ladang.



Secara umunya, setiap kilang mesti melepasi tujuh prinsip sebelum layak diiktiraf  bertaraf HACCP.  Prinsip-prinsip itu ialah menganalisa bahaya pada tiap-tiap peringkat pemprosesan produk makanan. Bahaya boleh berpunca daripada mikrobiologi, kimia atau fizikal.  Prinsip kedua ialah menentukan Titik Kawalan Kritikal (CCPs), prinsip ketiga iaitu membangunkan Had-Had Kritikal manakala pada prinsip keempat, kilang berkenaan perlu membangunkan Sistem Untuk Mengawasi Kawalan CCPs.  Seterusnya, prinsip kelima pula melibatkan proses membangunkan Tindakan Pembetulan iaitu langkah pembetulan dilakukan apabila langkah pengawasan menunjukkan sesuatu CCPs tidak dapat dikawal.  Prinsip keenam ialah membangunkan Tatacara Verifikasi untuk menentukan sistem HACCP sedang berjalan dengan berkesan iaitu mengkaji semula sama ada pelan yang telah dijalankan itu sempurna.  Pada prinsip ketujuh pula, kilang yang sedang diaudit itu perlu membangunkan dokumentasi mengenai semua tatacara dan rekod-rekod yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip di atas dan penggunaannya.


 Sistem Jaminan Halal

Sistem Jaminan Halal merupakan lanjutan kepada amalan pensijilan Halal yang telah sedia ada dilaksanakan di dalam Negara.  Sememangnya, tidak dapat dinafikan, sistem pensijilan dan pemantauan Halal yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak sekian lama telah diiktiraf oleh dunia pada masa kini.  Penglibatan JAKIM dalam memberi pengesahan status Halal  kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam di negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan Halal  kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak.

Bermula pada tahun 1994 pengesahan Halal  diberi dalam bentuk sijil pengesahan beserta logo Halal  dan pada 1 September 2002, kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan Halal  dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam.  Bermula tahun 2005, bahagian ini dikenali dengan nama baru iaitu Bahagian Hab Halal.  Pada 8 Julai 2009, Jemaah Menteri telah memutuskan pengurusan pensijilan Halal  Malaysia dalam dan luar negara dikembalikan kepada JAKIM setelah diambil alih oleh Halal  Industry Development Corporation pada 2 April 2008.

Namun, dalam memastikan pelaksanaan Halal  adalah secara konsisten selama 365 hari dalam setahun, maka Sistem Jaminan Halal ini diperkenalkan untuk menambah nilai integriti sistem yang sedia ada.  Dengan pelaksanaan sistem ini, secara langsung kehalalan proses dan produk lebih terjamin, dapat mencegah kes-kes ketidakakuran berkaitan Halal, membentuk kesedaran kepentingan kelestarian amalan Halal, meningkatkan kesetiaan dan keyakinan pelanggan terhadap produk yang dikeluarkan dan melindungi syarikat daripada kerugian disebabkan ketidakakuran berkaitan Halal.

Skop pelaksanaan sistem ini merangkumi penyelidikan dan pembangunan produk, perolehan, pembelian dan penerimaan dan penyimpanan bahan mentah, ramuan dan bahan pembungkus, pemprosan dan pengendalian produk, penyimpanan produk akhir sehinggalah kepeda pengankutan produk dan sampai kepada pelanggan. Menurut MS 1500 Makanan Halal - Pengeluaran, Penyediaan,Pengendalian Dan Penyimpanan-Garis Panduan Umum (Semakan Kedua)  versi tahun 2009, pihak pengurusan bagi sesebuah syarikat hendaklah mewujudkan sebuah jawatankuasa atau pegawai eksekutif Halal yang terdiri daripada orang Islam yang bertanggungjawab memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem kawalan halal dalaman.


Penutup

Dunia masa kini bukan sahaja melihat komponen ‘Halal’ sebagai memenuhi tuntutan agama semata-mata, malah merangkumi pematuhan standard-standard kualiti yang menjadi prasyarat ‘Halal dan Toyyiba’ seperti Amalan Kebersihan yang Baik (GHP), Amalan Pengilangan yang Baik (GMP) dan Sistem Analisa Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) mahupun Sistem Jaminan Keselamatan Makanan.  Pendekatan dan langkah yang universal ini diperkenalkan untuk melengkapkan lagi kawalan operasi sesebuah premis makanan bagi membolehkan penghasilan makanan yang lebih berkualiti, selamat, berkhasiat dan Halal.

Firma atau organisasi Islam melihat matlamat yang lebih luas lagi iaitu mencapai al-Falah iaitu kejayaan dunia dan akhirat yang berdasarkan falsafah Al-Quran. Untuk mencapai al-Falah, segala aktiviti ekonomi perlu mengandungi dasar-dasar akhlak dan moral termasuklah meletakkan kebajikan masyarakat sebagai salah satu isu penting dalam penentuan sebarang keputusan.

Oleh itu matlamat perniagaan yang sebenarnya adalah untuk mencapai kejayaan di dunia dan lebih utama di akhirat. Maka tugas untuk memastikan pengeluaran produk Halal  bukan sahaja bertujuan untuk mencapai kepentingan ekonomi tetapi ia lebih kepada kepentingan fardu kifayah. Sheikh Yusof Qardhawi telah menegaskan bahawa akhlak utama dalam sektor pengeluaran adalah membataskan diri kepada apa yang diHalalkan oleh Allah dan tidak melanggar apa yang diharamkannya.

Salam 2014 yang penuh optimis dan kejayaan :-)

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Trainer Pengendali Makanan KKM
Ahli Professional MIFT
Facebook : inspirasi Halal

Sumber dan rujukan :

1.     Garispanduan Amalan Kebersihan Yang Baik [Good Hygiene Practice (GHP)]  untuk industri makanan skala kecil dan sederhana (IKS) ke arah perlaksanaan HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point), Kementerian Kesihatan Malaysia
2.   Garis panduan prosedur permohonan sijil Good Manufacturing Practice (GMP), Kementerian Kesihatan Malaysia
3.      Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Kementerian Kesihatan Malaysia
4.      Pekeliling Pensijilan Halal Malaysia Bil. 1/2011, Penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 Dan Perintah Perintah Perihal Dagangan Berkaitan Halal, JAKIM
5.        Akta Perihal Dagangan 2011, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
6.        MS 1500 : 2009 Garis panduan umum mengenai pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan halal, Jabatan Standard Malaysia
7.      MS 1480 : 2008 Food safety according to hazard analysis and critical control point (HACCP) system, Jabatan Standard Malaysia
8.        MS 1514 : 2001 General principles of food hygiene, Jabatan Standard Malaysia
9.        Laman web Kerajaan Negeri Selangor - http://www.selangor.gov.my/main.php
10.      Laman web Hab Halal JAKIM - http://www.Halal jakim.gov.my/
11.     Laman web JAKIM - http://www.islam.gov.my/en/premis-makan-diserbu-guna-logo-Halal-tanpa-pengesahan-jakim
12.      Laman web Bahagian Kualiti & Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia
13.      Laman web SME Corp, MITI - http://www.smecorp.gov.my/v4/node/924
14.      Laman web MITI –
15.      Laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar - http://www.dvs.gov.my/web/guest/gvhp
16.      Laman web Portal Usahawan Selangor - http://usahawan.selangor.gov.my/kami.php
17.      Laman web Selangor Kini - http://www.selangorkini.com.my/my/berita/35356
18.      Laman web Pusat Pembangunan Perniagaan Pertanian dan Makanan, MOA –
19.      Laman web Portal Jabatan Pertanian Negeri Perak –
20.      Laman web UKM –
21.      Laman web UTM – http://eprints.utm.my/5815/1/75002.pdf dan
22. Laman web Portal Rasmi Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - http://www.kpwkm.gov.my/documents/10156/a2cffed4-e35d-4675-ab9b-6ee5fb201625
23.      Laman web Utusan Malaysia –
24.      Laman web Harian Metro –
25.      Portal bersama Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) - http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/isu-makanan/625-standard-dan-keselamatan-makanan