Sunday 23 June 2013

Sistem Pengurusan Jaminan Halal Siri 1



Apakah itu Sistem Jaminan Halal?



Bismillah. Tahukah kita bahawa mulai 1 Julai 2013 ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewajibkan semua permohonan baru pensijilan halal Malaysia dalam kategori Multinasional untuk melaksanakan Sistem Jaminan Halal (Halal Assurance Management System) sebelum membuat permohonan pengesahan Halal? Manakala, bagi permohonan sediaada dalam kategori berkenaan, diberi tempoh sehingga 31 Disember 2013 untuk mewujudkan dan melaksanakan sistem tersebut. Alhamdulillah, perkembangan yang positif dari pihak berkuasa untuk meningkatkan integriti produk Halal dan tidak mustahil sistem ini akan diaplikasikan kepada seluruh pengusaha makanan lebih-lebih pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang sebahagian besar produk makanan Halal dalam negara.

Secara ringkasnya, Sistem Jaminan Halal (SJH) membantu memastikan status keHalalan bahan mentah, proses dan produk yang mendapat pengiktirafan sijil Halal adalah dijaga dan dipantau sepanjang masa secara berterusan. Ianya perlu diurus dengan Perancangan Pengurusan Jaminan Halal (PJH) yang merangkumi Objektif SJH, Struktur pengurusan SJH, Garis panduan Halal (seperti pengertian Halal-Haram, dasar al Quran, Hadith, Fatwa, Manual Prosedur JAKIM, MS 1500, Panduan halal-haram bahan mentah dan proses pengeluaran produk), Prosedur piawaian operasi (SOP) Halal (merangkumi SOP untuk bahan mentah, R & D, permohonan Halal), Rujukan teknikal SJH, Sistem pentadbiran dan Sistem dokumentasi (mencakupi pembekal, pembelian, penggunaan bahan mentah, proses, stor,serta penilaian, pemantaun dan tindakan pembaikan).


Pada kali, ambo ingin berkongsi pengalaman ambo mengikuti Bengkel Industri Halal – Pengurusan Jaminan Halal yang disertai pada 12 Julai 2011 bersamaan 10 Syaaban 1432H, lebih kuranf 2 tahun lepas.  Penyertaan ambo dalam bengkel ini melihatkan perkembangan positif usaha Pihak Berkuasa yang semakin menampakkan ke arah pelaksanaan Sistem Pengurusan Jaminan Halal yang semakin tinggi.  Berbanding tahun 2009. di mana kita melihat sedikit 'pergolakan' kuasa pensijilan Halal masa tersebut sedikit sebanyak mengelirukan pihak industri dan pihak LPPOM MUI amat memainkan peranan pada masa tersebut dengan memperkenalkan Sistem Jaminan Halal (boleh rujuk dalam entri ambo sebelum ini bertajuk Siiru Fil Ardh Fan Zhuru : Indonesia Siri 1)

Bengkel ini adalah anjuran bersama Halal Industry Training & Consultancy (HITC), Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) JAKIM – Persatuan Kebajikan Kakitangan JAKIM, dipengerusi oleh Timbalan Ketua Pengarah JAKIM dan Olive Global Sdn Bhd – syarikat yang dilantik untuk menguruskan program/majlis (event management), mempuyai konsultan yang dilantik di kalangan kakitangan JAKIM, DVS, SIRIM dan IPT tempatan.  Pegawai pembimbing bagi sesi tersebut ialah Ustaz Lokman bin Ab Rahman, pegawai JAKIM yang dimaklumi antara pejuang Sistem Jaminan Halal di Malaysia dan telah menulis beberapa buah buku berkaitan Halal termasuklah "Isu Halal Tiada penghujung"

Sesi 1 : Definisi dan Perspektif Halal
Selepas pendaftaran pada jam 9.00 pagi, bengkel dimulakan dan aspek-aspek yang dibincangkan termasuklah :
1. Keperluan Halal dari sudut syariah (Maqasid Syar’iyyah) dan perniagaan, mendapatkan kepercayaan pengguna (terutama dalam cross-over market)
2. Sumber perundangan Halal : Al Quran, Hadis, Ijma dan Qias
3. Rujukan dan garis panduan Halal di Malaysia – MS 1500 , MS 2200, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, Fatwa dan undang-undang berkaitan (termasuk Akta Perihal Dagangan)
4. Wujudkan ‘buffer zone’ – elak terjebak dalam perkara syubhah (grey area)
5. Definisi Halal dari aspek syariah, kategori makanan yang kritikal dalam penentuan Halal (contoh : daging, hasilan daging, minyak, lemak, GMO, Khamr, bahan tambah, herba)
6. Pihak syarikat menyediakan fail yang telus (transparent) untuk dinilai oleh auditor. Penilaian dokumen termasuklah :


6.1       Profil syarikat (sebaiknya termasuk sejarah perolehan sijil Halal)
6.2       Pendaftaran syarikat
6.3       Lesen pihak berkuasa tempatan
6.4       Perakuan bahan mentah/ ramuan yang digunakan
6.5       Nama dan alamat pembekal
6.6       Status kehalalan bahan mentah/ ramuan
6.7       Bahan pembungkus
6.8       Proses dan prosedur pengilangan
6.9       Sijil Halal pembekal
6.10    Sijil Penyembelih dari Jabatan Agama Islam Negeri (bagi yang berkenaan)
7.  Proses pensijilan Halal 

Sesi 2 : Sistem Jaminan Halal (SJH) 1- Pengenalan
Setelah berhenti rehat untuk minum pagi, bengkel diteruskan dengan pendedahan berkenaan Sistem Jaminan Halal (SJH).  Dari segi keperluan dan kepentingan, SJH membantu memastikan status keHalalan bahan mentah, proses dan produk yang mendapat pengiktirafan sijil Halal adalah dijaga dan dipantau sepanjang masa secara berterusan.  Seterusnya, para peserta dibengkel didedahkan dengan istilah Eksekutif Halal, syarat dan tanggungjawab serta Pengurusan Jaminan Halal (PJH) dalam industri.  Keperluan mengadakan Eksekutif Halal ini adalah selaras dengan MS 1500 versi 2009 di mana ‘Pihak Pengurusan hendaklah mewujudkan sebuah jawatankuasa atau pegawai eksekutif Halal yang terdiri daripada orang Islam yang bertanggungjawab memastikan keberkesanan sistem kawalan Halal dalaman’. (boleh rujuk entri bertajuk MS 1500 untuk serba ringkas berkenaan MS 1500)

Antara tanggungjawab Eksekutif Halal termasuklah :
1. Menyusun PJH (dalaman) secara bertulis
2. Menyelaras pelaksanaan PJH di syarikat
3. Mengadakan program latihan PJH di syarikat
4.Melaksanakan audit dalaman secara berkala dan/ atau berdasarkan keperluan
5.  Menyediakan laporan hasil audit dalaman
6. Membuat laporan kepada pengurusan tertinggi (top management) berkenaan urusan berkaitan PJH – komitmen Pengurusan Tertinggi amat penting dalam pelakasaan PJH yang berkesan termasuk penentuan polisi syarikat, menyediakan kemudahann dan infrastruktur serta memberi kuasa kepada Eksekutif Halal untuk melaksanakan PJH
7.  Melakukan hubungan dengan pihak JAKIM/ JAIN

Bengkel berhenti rehat untuk makan tengah hari dan solat Zohor mulai 12.30 tengah hari dan disambung semula pada jam 2.00 petang.

Sesi 3 : Sistem Jaminan Halal (SJH) 2- Pelaksanaan dan Bengkel SJH
Seusai rehat, bengkel diteruskan dengan penerangan Pengurusan Jaminan Halal (PJH) yang terdiri daripada 4 langkah iaitu perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan tindakan pembaikan.  Perancangan PJH termasuk :
1. Objektif SJH
2. Struktur pengurusan SJH
3. Garis panduan Halal (merangkumi pengertian Halal-Haram, dasar al Quran, Hadith, Fatwa, Manual Prosedur JAKIM, MS 1500, Panduan halal-haram bahan mentah dan proses pengeluaran produk)
4. Prosedur piawaian operasi (SOP) Halal (merangkumi SOP untuk bahan mentah, R & D, permohonan Halal)
5. Rujukan teknikal SJH
6. Sistem pentadbiran
7. Sistem dokumentasi (mencakupi pembekal, pembelian, penggunaan bahan mentah, proses, stor,serta penilaian, pemantaun dan tindakan pembaikan)

PJH ini mestilah dilaksanakan dan difailkan dalam bentuk hardcopy bagi tujuan semakan pihak JAKIM.  Antara 5 fail penting mesti ada :
1. Fail utama – profil syarikat termasuk pemegang saham, polisi syarikat, carta organisasi, Semua sijil berkenaan, Senarai pembekal, senarai pekerja termasuk rekod suntikan typhod & latihan, aliran proses produk (process flow), pelan premis, lain-lain (kawalan perosak, rawatan sisa air, eksport, rekod penyembelihan (yang berkenaan sahaja), laporan kewangan (untuk tentukan kategori syarikat)
2. Fail Bahan mentah/ Ramuan – sijil Halal, bahan kritikal
3. Fail Isu Halal – surat masuk keluar, laporan audit JAKIM
4. Fail Jawankuasa Halal – minit mesyuarat, rekod latihan/seminar/kursus/praktikal Halal
5.  Fail Permohonan Halal – dokumen-dokumen penting semasa memohon e- Halal online (bentuk hardcopy termasuk sijil pendaftaran syarikat, lessen perniagaan, surat pengesahan jawatan & salinan IC pegawai bertanggungjawab, laporan kewangan tahunan, senarai produk, jenama dan bahan mentah, lampiran sijil Halal, spesifikasi atau COA, aliran proses produk (process flow), peta ke kilang dan pelan kilang)



Bagi memastikan pelaksanaan yang baik, pemantauan mestilah dilakukan dengan sistem audit dalaman yang berkesan.  Program audit merangkumi audit pembekal, audit premis/ proses dan audit pelanggan.  Latihan berakhir pada pukul 5.00 petang selepas bengkel diadakan di mana para peserta di minta untuk membina polisi Halal, carta organisasi jawatankuasa Halal dan tanggungjawab jawatankuasa Halal.


                          


Moga-moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah S.W.T. dan menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.


Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC




2 comments:

  1. Pagi Encik,
    Bolehkah Encik bagi contoh Sistem Jaminan Halal ?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    Adakah encik ada contoh Manual Sistem Jaminan Halal

    ReplyDelete