Monday 13 January 2014

Illuminiati Saintis Islam Siri 2

Salam Maulidur Rasul 1435H
Bismillah.
Sebagai menyambung pengisian yang seterusnya, ambo ingin kongsikan nukilan dari seorang ilmuan Muslim Malaysia iaitu Yang Berbahagia Prof Dr Shaharir Mohammad Zain* yang sangat memberi inspirasi dalam menyebarkan konsep Pengislaman Ilmu dewasa kini. Secara peribadi, ambo pernah terlibat langsung dengan beliau semasa menjalan Seminar PPSMI yang pernah diadakan sekitar tahun 2009 di KUIS yang dianjurkan oleh persatuan NGO JASA.  Didoakan bermanfaat untuk semua pengunjung yang sudi singgah sebentar membacanya.




Sains ialah perkataan baru dalam bahasa Melayu yang muncul secara rasminya di Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia sekarang) sejak 1958 dan di Indonesia sejak 1970-an sahaja. Perkataan itu diambil daripada Inggeris science dengan makna daripada bahasa tersebut. Sebelum tahun-tahun itu orang rumpun Melayu di Alam Melayu ini tidak mahu menerima perkataan science dalam bahasa Inggeris (dan Perancis) atau wetenschap dalam bahasa Belanda atau, sebelum itu ciência dalam bahasa Portugis (atau dahulunya orang Melayu menamainya Feringgi atau Benggali Putih; Portugis sendiri mengejanya Português) atau ciencia dalam bahasa Sepanyol kerana mereka merasakan tidak cocok dengan makna “ilmu” yang mereka terima sejak abad ke-12 menerusi Islam (drp bahasa Arab,‘ilm, yang diMelayukan dalam huruf Rumi/Latin sebagai ‘ilmu,‘elmu, elmu dan sejak 1972 menjadi ilmu). 

Ilmu daripada bahasa Arab itu ada hubungan yang rapat dengan “iman”, sedangkan science/ciência/ciencia atau wetenschap yang mereka kenal daripada penjajahnya itu langsung tiada kena mengena dengan “iman”.  Jadi ilmu umum memang perlu dibeza dengan ilmu khusus yang distilahkan sebagai “ilmu yang sebenar” atau “ilmu haqiqi”. Dalam bahasa Arab perkataan al-‘ilm itu muncul kerana selok-belok bahasa Arab, iaitu setiap al- bermaksud “yang khas” atau “yang khusus” sama seperti the dalam bahasa Inggeris. Jadi al-‘ilm itulah “ilmu yang sebenar” itu. Oleh itu orang Islam khususnya orang di Alam Melayu yang “tahu” keadaan ini, mereka bertindak sama ada tidak menganggap science/ciência/ciencia itu sebagai “ilmu” oleh itu diabaikan sekurang-kurangnya istilahnya itu, atau mereka menganggap science itu sejenis ilmu daripada penjajah mereka itu sebagai sejenis ilmu lain, ilmu yang bertaraf rendah daripada “ilmu” yang difahami daripada Islam itu, lalu timbullah istilah ilmu science [yang ejaan Inggeris itu dikekalkan buat beberapa ketika terutamanya ketika huruf Rumi/Latin belum menjadi huruf rasmi baru bahasa Melayu (di Alam Melayu). [Ingatlah, sebelum 1957 bahasa Melayu di Malaysia, 1945 di Indonesia dan di mana sahaja di Alam Melayu ini, bahasa Melayu menggunakan huruf Jawi, berasaskan huruf Arab tetapi ditambah beberapa huruf lagi untuk keperluan khusus bahasa Melayu].  Hingga sekarang pun masih sering muncul istilah “ilmu sains” itu digunakan terutamanya apabila seseorang mahu membezakannya dengan ilmu lain. Dengan pemBaratan yang hebat berlaku di kalangan orang rumpun Melayu Islam terutamanya sejak abad ke-20 , maka kini orang Melayu di Malaysia dan rumpun Melayu amnya mungkin majoritinya sudah menerima makna sains sama dengan science dan sebagainya itu di Eropah sehingga begitu sukar malah ditentangnya sesiapa sahaja yang mahu mengubah maknanya kepada yang lebih serasi dengan ilmu daripada segi Islam (yang pernah didokongi oleh datuk-neneknya dahulu) seperti menerusi pengIslaman ilmu itu.


Perkataan “knowledge” kini biasanya diterjemah sebagai ilmu atau pengetahuan. Oleh sebab orang Melayu (yang arif) sedar bahawa knowledge tidak semestinya bertaraf ilmu (atau bertaraf science sekalipun) kerana banyak pengetahuan yang belum dapat difahami dan dirasionalkan dengan sesebuah teori, apatah lagi jika pengetahuan itu berkait dengan benda-benda ghaib, maka timbullah istilah “ilmu pengetahuan”, iaitu ilmu kepada pengetahuan yang sudah difahami dan ada teorinya. Jadi “ilmu pengetahuan” itu tidak termasuk ilmu ghaib, khususnya “ilmu magik”, “ilmu hitam” , “ilmu batin” dan sebagainya serta yang lebih penting lagi tidak termasuk “ilmu agama”.  Maka “ilmu pengetahuan” terutamanya di Indonesia sehingga 1970-an dianggap sama dengan sains sekarang lalu nama-nama fakulti (fakultas di sana) seperti Fakultas Ilmu Pengetahuan Alam atau ringkasannya FIPA dan Ilmu Pengetahuan dan Teknologi atau ringkasnya IPTEK amat terkenal (dengan “alam” di situ bermaksud “alam tabii” atau “tabii” sekarang) yang masing-masingnya sepadan dengan Fakulti Sains Tabii, dan Sains dan Teknologi di Malaysia. 



Mengikut Zaidi (2008), “Kitab Jawi: Aspek Falsafah sains yang terkandung padanya” (di Bengkel PengIslaman Ilmu kedua anjuran ASASI, 18 Okt. 2008), memang perkataan ‘pengetahuan’ untuk ‘ilm dipakai oleh ulama-ulama alam Melayu sekurang-kurangnya sejak abad ke-18M lagi, yang ditakrifkan oleh Syaykh Zain al-‘Abidin al-Fatani (akhir abad ke-19M) sebagai “mendapat akan sesuatu yang berbetulan dengan hakikatnya”. Takrif ini cukup tepat dan perlu dihidupkan semula, malah tidak kurang menusuk tepat rasanya sama seperti takrif ilmu oleh Syed Muhammad Naguib al-Attas (yang cukup disegani antarabangsa di abad ini) yang dipaparkannya dalam tahun 1980-an seperti dalam bukunya “Islam & Filsafat Sains” (terjemahan Melayu Indonesia kepada karya asalnya “The Islamic Philosophy of Science”, katanya ilmu itu “sampainya makna sesuatu pada hati”, “sampainya jiwa pada makna sesuatu perkara”, atau “kehadiran/kedatangan makna sesuatu di dalam jiwa”. Sebenarnya perkataan “tahu” atau versi purbanya “thu” (transkripsi orientalis terhadap bahasa Melayu purba dalam huruf Palawa) menjadi perkataan Melayu sebelum mereka menerima Islam lagi dengan maksud “ilmu” , “pengetahuan” atau “maklumat’ sekarang ini seperti yang tercatat pada prasasti (batu bersurat) berbahasa Melayu Purba/Kuno/Kuna sekurang-kurang abad ke- ke-7M lagi.

Sehubungan dengan itu, maka makna sains bagi orang di Alam Melayu ini bergantung pada pendirian atau ikutan falsafah seseorang itu. Kalau dia secara sedar atau tak sedar menganggap sains itu sama sahaja dengan science (atau lain-lain istilah yang setara dalam bahasa-bahasa Eropah itu), maka dia akan tanpa segan-silu lagi akan mengikut makna science dari bahasa Inggeris sekarang yang sekular, ateis atau tidak kesah agama dengan setia dan bergayanya sahaja dan menganggap makna lain itu tidak betul atau bukan mentakrifkan sains.

Bagi mereka yang sedar dan insaf dengan sistem nilainya sendiri yang dipengaruhi oleh pendirian agamanya tentunya tidak akan bersetuju dengan menyamakan makna sains dengan makna science itu dan akan memberi takrif yang berbeza seperti sekurang-kurannya kembali kepada makna asal science daripada scientia (bahasa Latin/Rumi) itu, atau mengambil makna ilmu (mengikut ajaran Islam) untuk sains lalu terbitlah “sains Islam”. Sebenarnya ciência/ciencia dalam bahasa Portugis dan Sepanyol bahkan science dalam bahasa Inggeris itu berasal daripada bahasa Latin/Rumi, scientia, itu.  Scientia dalam Latin/Rumi itu ialah padanan Eropah dengan perkataan ‘ilm dari bahasa Arab itu dan oleh itu, sesuai dengan pegangan Kristian/Nashora mereka istilah scientia itu sama dangan ‘ilm daripada segi adanya hubungan istilah dengan agama (pada mereka tentunya Kristian/Nashora).
[Di dalam al-Qur’aan, agama/orang Kristian itu diistilahkan sebagai Nashora; manakala dalam bahasa Melayu perkataan ini menjadi Nasrani yang membawa maksud orang Asia, terutamanya Pan-Asia, yang beragama Kristian]. Namun mulai abad ke-15M, scientia (masa itu hinggalah abad ke-18, bahasa sains Eropah ialah Latin/Rumi) dan oleh itu ciência/ciencia dan science dan istilah-istilah lain dalam bahasa-bahasa nasional di Eropah seperti scienza dalam bahasa Italia, wetenschap dalam bahasa Belanda, dan Jerman,Wissenschaft mulai memisahkan dirinya dengan agama hingga abad ke-18 bolehlah dikatakan unsur agama dalam scientia, science dan sebagainya itu secara dominannya tidak diiktiraf lagi, dan oleh itu istilah itu menjadi sekular bahkan menjadi apeduli agama (tidak peduli agama langsung), deis (tuhan ada tetapi tidak berperanan dalam kehidupan ini),…. dan bahkan ateis atau mulhid. Namun saki-baki sarjana Inggeris atau Barat amnya yang mahu mengiktiraf adanya agamanya dalam scientia, science dan sebagainya itu memanglah berlarutan hingga sekarang sehingga seseorang ahli sains yang berpegang teguh pada Kristian/Nashoramentakrifkan science dan sebagainya itu yang lebih mirip kepada takrif “sains Islam” (sains mengikut acuan makna ilmu dalam Islam), walaupun jika dihalusinya memang tetap berbeza kerana konsep ketuhanan yang berbeza. Inilah sebabnya bahasa dan ilmu memang amat rapat hubungannya. Oleh itu “Sains dan Matematik” menerusi bahasa Inggeris yang menjadi dasar pendidikan Malaysia sejak 2003 itu pastinya akan semakin menyamakan sains umat Melayu Islam dengan sains Anglo-Saxon (bangsa yang berbahasa Inggeris), menyuburkan lagi pemBaratan sains, dan semakin sukar atau jauhlah perjalanan pengIslaman Ilmu yang berdestinasikan “sains Islam” itu.

Istilah “Islamization of Knowledge” yang dianjurkan oleh sesiapa pun kalau diterjemah secara harfiahnya (perkataan demi perkataan) ialah “Pengislaman ilmu” (dengan i kecil) atau “PengIslaman ilmu” (dengan I besar) tetapi seringlah juga diistilahkan (mulanya, terutamanya, di Indonesia) “Islamisasi ilmu”. Kedua-duanya patut diterima, walaupun “ilmu” di situ bermaksud “sains Barat”, kerana seseorang boleh menjelaskan maknanya mengikut kehendaknya jika dia mempunyai makna yang berbeza daripada orang lain. Umpamanya “pengIslaman ilmu” mengikut Isma‘il al-Faruqi memang berbeza daripada “pengIslaman ilmu” mengikut Sayed Muhammad Naquib al-Attas, dan berbeza lagi dengan kebanyakan umat Islam amnya yang mahu mengaitkan sains dengan Islam secara remeh dan simpel itu (fahaman umum). Sudah tentu, sebagai sarjana, “pengIslaman ilmu” mengikut fahaman umum itu tidaklah begitu berguna kerana bersifat reaktif sahaja. Maksudnya sesuatu “sains” yang baru diketahui oleh seseorang Islam jenis ini akan cuba dirasionalkan “kebenaran sains” itu menerusi ayaht al-Qur'aan dan berhenti di situ sahaja. Mereka tidak menilai sains itu secara kritis dan membuat sentisis lalu berkemungkinan menerbitkan alternatifnya.

[Untuk penjelasan yang lebih teperinci tentang perbezaan ilmu, pengetahuan, ilmu pengetahuan, dan yang berhubung rapat dengan ini, ilmu pengenalan atau ma‘rifaht dan sekaligus boleh memahami perbezaan makna science dan “sains Islam” pembaca dipersilakan membaca karya Sayed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya “Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak” terbitan ABIM tahun 1977 pp 57-72 , atau Apendiks buku beliau “Islam & Filsafat Sains” diterbitkan oleh Penerbit Mizan , Bandung 1995].


Sebenarnya “pengIslaman ilmu” berlaku sepanjang zaman tamadun manusia Muslim (sejak selepas nabi Adam, sejak adanya orang bukan Muslim membina “ilmu” mereka) bertembung dengan bukan Muslim.  Cuma yang terkenal diketahui ialah pada Zaman Tamadun Islam yang berhadapan dengan “ilmu” daripada pelbagai tamadun bukan Islam seperti Tamadun Yunani (Grik Purba, Ancient Greek bagi Inggeris), Parsi (Iran sekarang), Tiongkok (China bagi Inggeris dan bekas tanah jajahannya, dan Shinny bagi Arab), Hindia (India bagi Inggeris dan bekas tanah jajahannya; Hindy/Hdindy bagi Arab) dan lain-lain lagi. “PengIslaman ilmu” berlaku sebaik sahaja sarjana Muslim menilai “ilmu” asing itu berasaskan pada ajaran Islam sehingga ada komponen ilmu itu yang terpaksa dibuang, ada yang perlu diubahsuai dan ada yang dibina semula sepenuhnya bagi menserasikan dengan ajaran Islam dan sekali gus menerbitkan ilmu baru yang dapat menandingi “ilmu” asing itu.  Hanya apabila Muslim malas menilai “ilmu” asing apatah lagi membina ilmunya sendiri (sejak abad ke-14M) “pengIslaman ilmu” tidak berlaku. 

Suatu pengIslaman ilmu pernah berlaku di Alam Melayu ini apabila Islam mula bertapak di rantau rumpun Melayu ini.  Prof. Sayed Muhammad Naquib al-Attas terkenal dengan huraian perkara ini dalam aspek kebudayaan Melayu dalam syarahan pemasyhuran professor di Institut Kebudayaan, Kebudayaan dan Kesusateraan Melayu (IBKKM) di UKM pada tahun 1972 dahulu (sejak 1990 institut ini diubah namanya kepada Akademi Tamadun Melayu atau ATMA; sila telaah buku syarahan beliau itu, “Islam dalam Sejarah dan kebudayaan Melayu: Suatu Mukadimah mengenai Peranan Islam dalam Peradaban Sejarah Melayu-Indonesia dan Kesannya dalam Sejarah Pemikiran, Bahasa, dan Kesusasteraan Melayu” terbitan UKM.  Pandangan Syed Naquib ini dipaparkan dengan baiknya untuk orang awam dalam akhbar Siasah 21-27 September 2008, 43-44 : “Bahasa Melayu dari Sudut Islam” oleh Wan Ahmad Fayhsal).  Namun, sepertilah dengan kebanyakan sarjana Malaysia, apa tah lagi orang awam Malaysia, istilah “kebudayaan Melayu” itu tidak termasuk sains dan kejuruteraan-teknologi sehingga istilah “tamadun Melayu” bercitrakan tamadun sastera sahaja.  Namun sejak penyelidikan status sains dan teknologi tamadun Melayu dilakukan sejak 1990-an, sains dan teknologi Melayu sebelum Islam boleh dimasukkan ke dalam kategori hebat bahkan ajaib juga tetapi hilang dalam lipatan sejarah kerana pengIslaman yang tidak kritis, iaitu nampaknya segala “pengetahuan” (istilah asalnya thu dan ajnanam) dibuang langsung dan digantikan dengan yang dari tamadun Islam yang dibawa oleh ulama atau pendakwah Islam ke Alam Melayu ini termasuklah sistem sankia/angka (digantikan dengan sistem ‘adad), wariga (digantikan dengan taqwim), hora (digantikan dengan ‘ilm nujum dan falak), nyaya (digantikan dengan mantiq), arthasastera (digantikan dengan iqtishad),castera/sastera (digantikan dengan ‘ilm), dancasana/vantin/kepemimpinan-kepengurusan (digantikan dengan kesultanan). Kemudian apabila Barat (menerusi penjajahan Feringgi/Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris) bertapak di Alam Melayu maka pemBaratan pun berlaku dan lagi sekali hampir semua ilmu Melayu dari tamadun Islam disingkir atau tersingkir digantikan dengan science dan istilah-istilah setaranya dari penjajah masing-masing tanpa penapisan acuannya sendiri lagi.  Ini berlaku seluruh dunia Islam.  

Umat Islam terpasung buat berkurun-kurun.  Hanya apabila muncul abad ke-20 ini sahaja perkara ini ditimbulkan kembali yang pertamanya oleh Sayyed Hossain Nasr menerusi ungkapan “ilmu mengikut doktrin kosmologi Islam”, Sayed Muhammad Naquib al-Attas menerusi “pengIslaman kebudayaan Melayu” dan Ismail al-Faruqi dengan “pengIslaman ilmu” dengan penubuhan IIIT (International Institute of Islamic Thought) di Washington pada tahun 1980-an yang ditumpukan pada sains sosial dan kemanusiaan itu. P enumpuan kepada sains tabii dan kejuruteraan-teknologi dilakukan oleh ASASI (di Malaysia) dan MAAS (di India) yang dipengaruhi oleh buah fikiran Nasr, al-Attas dan al-Faruqi itu, walaupun ASASI terutamanya telah boleh dianggap mencipta aliran sains Islamnya yang tersendiri. Hasil daripada “pengIslaman ilmu” diharapkan akan terbitnya penilaian yang lebih baik kepada ilmu kontemporer ini dan seterusnya akan melahirkan ilmu yang layak diberi nama “sains daripada perspektif Islam” atau “sains Islam” itu. Sedikit-sebanyaknya harapan ini sudah tercapai, walau tidak cukup banyak sehingga dapat dirasai umum sebagai alternatif kepada “sains Barat” yang masih dominan itu.

Bagi para sarjana yang mengutarakan gagasan “pengIslaman Ilmu” yang telah disebut di atas dan sebahagian besar kumpulan penggiat ASASI (Akademi Sains Islam Malaysia), secara dominannya sejak 1980-an “pengIslaman ilmu” tidak bermaksud kegiatan seperti yang dilakukan oleh Harun Yahya atau yang setara dengannya itu sebelumnya dan selepasnya (Di Malaysia pun agak ramai termasuk ahli ASASI; malah tahun 1970-an dahulu ASASI juga menerbitkan sebuah risalah karya Maurice Buccaille 1978, “Quran and Moden Science” dan jurnal ASASI, Kesturi, dan Warkah Beritanya, ASASAINS, ada juga menerbitkan tulisan yang cenderung ke arah ini yang seolah-olah menggambarkan kecitaan ASASI ke arah kegiatan tersebut).  Kalau diperhatikan, golongan pendokong Bucailleisme (yang popular) itu bukanlah mereka yang membuat penyelidikan dalam bidang yang mereka bicarakan itu. Oleh itu mereka ini tidak mungkin mencetuskan program penyelidikan yang diingini oleh para penggerak asal “pengIslaman ilmu” itu. Mereka memang menyeronokkan umat Islam yang rata-rata bukan masyarakat penyelidik pada zaman ini.  Sebab itu buku-buku karya golongan ini sentiasa menjadi “laris jualan”. PengIslaman ilmu yang diingini ialah menggunakan al-Qur’aan atau ajaran Islam untuk mengkritik sains kontemporer seperti yang di sebut dia atas, “teori dentuman besar”, “teori kenisbian” dan sebagainya itu. Kalau pun benar ada sarjana Islam zaman tamadun Islam dahulu memberi pandangan awal tentang sesuatu sains kontemporer itu tetapi pandangan mereka itu telah diabaikan berkurun-kurun sehingga hampir pasti berlainan sekali dengan yang dibina oleh ahli sains bukan Islam hingga sekarang ini. Tugas utama para penggerak pengIslaman ilmu sebenar ialah mencipta program penyelidikan dalam acuan Islam bukannya mengiyakan sains sedia ada dengan membaiki acuan Islam supaya sesuai dengan sains yang sedia ada sekarang.  Umat Islam tidak mungkin berada di baris hadapan atau menyaingi ahli sains Barat jika mereka asyik menunggu program Barat dan mengeyakannya sahaja seperti yang dilakukan oleh para Buccaileis itu.  Cara yang terbaik untuk memaparkan sains semasa kepada khalayak umum mengikut perspektif Islam (menggunakan Hadith atau al-Qur’aan) mestilah dengan kritisnya, iaitu menyatakan tempat-tempat yang seakan-akan serupa dengan maksud sesuatu ayat al-Qur’aan atau Hadith itu dan menegaskan aspek-aspeknya yang memang tidak serupa malah bertentangan dengan maksud sumber Islam itu.  Ini tentunya memerlu tahap kesarjanaan yang tinggi. Sekali gus cara ini menghidupkan makna “al-Qur’aan sebagai sumber ilmu”, atau “al-Qur’aan sebagai panduan ilmu” dan sebagainya.


Soalan yang serupa tentunya pernah muncul pada zaman Tamadun Islam dahulu, pada Zaman Pertengahan di Eropah, dan tamadun-tamadun lain lagi selepas itu seperti Jepun dan Korea.   Berbezanya mereka ini percaya kebudayaannya sendiri mampu menyaingi dan akhirnya mengalah bangsa yang yang dianggap superior dalam sains dan teknologi pada zamannya.  Sains dan teknologi Muslim dahulu pernah mengalahkan tamadun-tamadun lain menerusi pengIslaman ilmu selama sekitar 200 tahun (dikira selepas wafat Beginda Rasulullah Muhammad SAW).  Memang benar sejak kejatuhan ‘Uthmaniyah (yang diInggeriskan kepada Ottoman) abad ke-18M, malah ada yang mengatakan sejak kejatuhan ke tangan Mongol abad ke-14 lagi, umat Islam hanya menumpang nikmat tamadun Barat.  Sains dan teknologi Islam sudah hilang sejak itu.  Sains dan teknologi Islam itu sudah disambung oleh Barat menerusi acuannya sendiri sahaja (pemBaratan sains dan teknologi Islam) hingga ke hari ini.  Dalam konteks sejarah ini, pengIslaman ilmu sekarang ialah satu kegiatan yang dihidupkan kembali untuk meyambung “kepandaian Barat” itu pula tetapi menerusi acuan Islam kembali yang dipercayai akan menjadi alternatif yang hebat kepada “kepandaian Barat” itu dan akhirnya mengatasinya pula buat kali keduanya (kali pertama ialah apabila “Tamadun Islam” dahulu dapat mengatasi “kepandaian pelbagai tamadun yang tinggi” pada zaman itu).

Persoalan “Di manakan Sains Islam” buat masa ini hanya boleh dijawab dalam bentuk “Marilah kita bersama bertekad membinanya menerusi gagasan pengIslaman ilmu dalam bidang penyelidikan masing-masing”.  Gagasan “pengIslaman ilmu” ini bermula sekitar 1980-an dahulu dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan dan dalam bidang sains tabii boleh dikatakan bermula pada tahun 1990-an sahaja dan Malaysia boleh dikatakan berada di baris hadapan walaupun masih jauh perjalanannya.  Gunalah pepatah Melayu “Pantang undur sebelum ajal”.  Bagi sarjana dalam bidang ekonomi dan pengurusan, jawabannya mungkin lebih positif lagi kerana bibit-bibit kejayaannya sedang disaksikan seluruh dunia menerusi perbankan Islam dan pengurusan kewangan Islam itu, walaupun banyak lagi yang perlu dilakukan oleh para sarjana bidang ini bagi memperkukuhkan teori ekonomi dan pengurusan Islam sehingga semua pelajar di dunia boleh nampak adanya teori ekonomi dan pengurusan Islam dalam buku-buku teks ekonomi dan pengurusan (yang tidak ada perkataan “Islam” sekalipun) di peringkat universiti, sama seperti buku-buku teks ekonomi dan pengurusan sekarang tanpa judul kata sifat yang menonjolkan “keBaratan” atau “ketiadaan agama” itu seperti, kalau dalam bahasa Inggerisnya,Neoliberal Economic Theory, Capitalistic Economic Theory, Nonreligious Based Economic and Management Theory, Secular Organization Theory dan sebagainya, walaupun buku-buku teori ekonomi dan pengurusan sekarang memang berasaskan neoliberalism, capitalism, atau secularism bahkan deism atau atheism sekalipun.  Judul-judul sebegini tidak perlu kerana semua –isme ini sudah menguasai dunia; lawannya sahaja yang perlu menonjolkan namanya supaya dapat dikenali.

Salam 2014 yang penuh optimis dan kejayaan :-)

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Trainer Pengendali Makanan KKM
Ahli Professional MIFT
Facebook : inspirasi Halal
oleh : Prof Dr. Shaharir Mohammad Zain, Pengislaman Ilmu, Disember 2008
(Bersekolah Melayu sepanuhnya...anak Melayu pertama beroleh Ph.D (Matematik), ahli matematik Malaysia pertama beroleh "Fulbright Scholar" dan FASc (Mal)... pencipta dan ideolog pengIslaman dan pemeribumian sains matematik dan pengisiannya. lanjut di http://shaharirbmz.blogspot.com/)

Wednesday 1 January 2014

Illuminiati Saintis Islam Siri 1

“Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.”[al-Jathiyah : 20]


Bismillah.
Sebagai pengisian pertama tahun baru Masihi, ambo ingin kongsikan nukilan salah seorang ilmuan Muslim Malaysia iaitu Yang Berbahagia Dr Danial Zainal Abidin* yang sangat memberi inspirasi dalam menyebarkan konsep Sains dalam Islam dewasa kini. Didoakan bermanfaat untuk semua pengunjung yang sudi singgah sebentar membacanya.

Sains Islam Dan Sains Barat

Islam tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia ialah,”Systematized knowledge in any field, but applied usually to the organization of objectively verifiable sense experience.”Ia bermaksud, “Sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif.”
Secara umumnya, sains boleh didefinisikan sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan (iaitu analisis dengan menggunakan panca indera) serta fahaman yang lahir daripadanya. Ia juga boleh diertikan sebagai huraian secara sistematik tentang fenomena tabii atau alam semula jadi. Huraian secara sistematik melibatkan penggunaan intelek di samping kaedah yang dapat diukur (quantitative). Jika diamati definisi-definisi ini, ia memang telah ditekankan oleh Islam berdasarkan dalil-dalil dan nas yang telah disebutkan sebelum ini.
Ilmu sains melahirkan teknologi. Teknologi (mengikut Merriam-Webster Dictionary, The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition dan WordNet Dictionary), boleh didefinisikan sebagai, “Pengaplikasian atau penggunaan ilmu terutamanya ilmu sains secara praktikal dan digunakan terutamanya dalam bidang perdagangan dan industri untuk kemanfaatan manusia.” Justeru, ilmu sains merupakan alat penting untuk membina teknologi namun ilmu sains bukanlah teknologi. Sebagai contoh, sains membicarakan tentang teori atom dan daripada itu lahirlah teknologi yang menghasilkan kuasa atom.
Keterbatasan Sains
Islam memberi kebebasan kepada para saintis untuk mengkaji, namun ia menyedari keterbatasan intelek yang dimiliki manusia. Justeru, sains Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam erti kata yang lain, dalam Islam, wahyu mengatasi akal kerana wahyu datang daripada kuasa tanpa batas sedangkan akal terbatas. Sains tidak boleh mengatasi wahyu. Apa-apa konklusi yang bercanggah dengan dasar-dasar wahyu dianggap sebagai konklusi sains yang salah dan apa-apa yang selari dengannya bolehlah diterima. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 20,
“Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.”
Justeru, sains dalam Islam ialah sains yang berkonsepkan tauhid. Sains dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan Allah melalui rasulnya. Sains dalam Islam tunduk kepada al-Quran.
Di barat konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism. Kadang kala ia dikenali juga sebagai intelligent design. Konsep-konsep ini ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U.S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains.” Hal ini dinyatakan dalam Science and Creationism: A View from the National Academy of Sciences, Second Edition, terbitan National Academy of Sciences tahun 1999.
Dalam kes Kitzmiller lawan Dover Area School District pada tahun 2005 (Case No. 04cv2688. December 20, 2005), sebuah mahkamah persekutuan di Amerika memutuskan mana-mana sekolah yang mengajar sains dan mengaitkan kejadian kehidupan dengan kuasa ghaib dan mengetepikan teori evolusi, ia dianggap telah melanggar perlembagaan Amerika.
Matlamat dan Metodologi Sains
Dalam Islam, sains mempunyai matlamatnya. Matlamat jangka pendek ialah mengenali hakikat kejadian alam serta manusia dan memanfaatkan ilmu itu untuk kebaikan semua. Sebagai contoh, melalui sains kita mengetahui bahawa seks kromosom lelaki menentukan kejantinaan seseorang bayi, kejadian bayi bermula dengan persenyawaan antara sperma lelaki dan ovum wanita, kejadian bumi berlaku selepas kejadian bintang-bintang di langit dan yang seumpamanya. Namun akhirnya yang menjadi keutamaan ialah matlamat jangka panjang iaitu mengagungkan dan membesarkan Allah. Hal ini terserlah dalam surah al-Mukminun ayat 14 yang bermaksud,
“Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah itu alaqah. Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah. Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.”
Perhatikanlah ayat ini dengan baik. Selepas Allah menceritakan fasa-fasa kejadian bayi (dan hal ini dapat disahkan oleh sains), Allah mengakhiri ayat itu dengan ungkapan, “Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.”Inilah matlamat asasi sains, iaitu untuk mengagungkan Allah.
Untuk mencapai matlamat ini metodologi yang digunakan perlulah betul. Sains berkonsepkan tauhid melahirkan metodologi atau pendekatan yang mengambil kira syariat. Kepatuhan kepada syariat tidak menghalang kreativiti dan inovasi kerana kebebasan untuk mengkaji telah pun diberikan Islam berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, “Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.” Yang dituntut ialah kepatuhan kepada prinsip-prinsip syariat yang akan mencantikkan sains. Sebagai contoh syariat mengutamakan nyawa manusia. Justeru kajian sains dan teknologi yang terhasil daripadanya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan nyawa. Syariat juga melarang kemudaratan dilakukan berdasarkan sabda nabi yang bermaksud,
“Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.”Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibn Majah.
Islam juga menekankan tentang akhlak. Antara akhlak yang wajib dihayati ialah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Amanah ini melibatkan individu, alam sekitar dan masyarakat secara amnya. Lihatlah apa yang berlaku pada hari ini apabila sains dan teknologi terbabas daripada nilai-nilai amanah dan agama. Sebagai contoh, bidang bioteknologi telah melahirkan satu konsep baru yang dikenali sebagai kejuruteraan genetik (genetic engineering). Teknologi ini mampu memindahkan bahan genetik yang bernama DNA dari satu spesies ke spesies yang lain. Walau bagaimanapun untuk berjaya, proses ini memerlukan bantuan virus tertentu agar DNA daripada spesies yang berbeza dapat mengenali antara satu sama lain. Penggunaan kuman-kuman virus ini akhirnya menyebabkan kelahiran pelbagai kuman serta penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr Mae-Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, United Kingdom, kejuruteraan genetik telah menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992, wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E. Coli 157 di Scotland.
Justeru, kepatuhan kepada syariat adalah penting agar sains tidak terbabas daripada landasan kebenaran dan kesejahteraan.
Salam 2014 yang penuh optimis dan kejayaan :-)

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal


* Dr.Danial Zainal Abidin merupakan seorang pengurus dan pengamal perubatan di klinik Syifa’ Gelugor, Pulau Pinang. Beliau juga adalah pengarah urusan kepada Syarikat Danial Zainal Consultancy. Di samping itu beliau juga merupakan seorang pakar motivasi undangan di radio,penceramah dan penulis buku yang berkaitan Islam dan Sains.
Sumber artikel : www.danialzainalabidin.com

Sumber dapatan : http://www.iluvislam.com