Thursday 22 November 2012

Bismillah

Bismillah ..sebutannya ringan sahaja di bibir, namun besar maknanya apabila disebut oleh seseorang yang mengakui dirinya seorang Muslim.
Mengenang peristiwa junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pulang dari bumi Thaif dalam keadaan dakwah baginda tidak diterima oleh Bani Thaqif  malah dihina dengan lontaran-lontaran batu oleh kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa.  Namun kehadiran Addas sedikit mengubat kedukaan baginda.  Siapakah Addas ini? Addas merupakan hamba yang beragama Nasrani, hamba kepada Utbah dan Syaibah, anak-anak lelaki Rabiah.  Kedua-dua tuannya telah meminta beliau menghidangkan setangkai anggur kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W. semasa baginda sedang berlindung dalam sebuah kebun.  Addas diperintahkan oleh tuan-tuannya setelah melihat kepenatan Rasulullah S.A.W. menerima layanan buruk Thaqif.  Saat inilah cerita 'Bismillah' bermula. Apabila Addas menghidangkan anggur tersebut kepada Rasulullah S.A.W, maka kalimah mulia ini 'Bismillah' dilafazkan oleh baginda apabila mula memakannya.  SubhanaAllah, ucapan itu amat menarik perhatian Addas kerana belum pernah sesiapapun mengucapkan kalimah seumpama itu sebelum ini dan Alhamdulillah, pintu hidayah Addas yang diketuk telah bersahut sehingga beliau memeluk Islam setelah berdialog dengan Rasulullah S.A.W. 

Bismillah atau Basmalah adalah bacaan yang sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan umat Islam.  Kalimah ini biasanya diucapkan sebelum membaca ayat suci Al Quran mahupun saat memulai sesuatu hal seperti makan, duduk, bekerja dan lain-lain.  Apabila kita memakai pakaian, kita membaca Bismillah.  Apabila kita membaca buku dan menulis, kita baca Bismillah.  Apabila kita hendak masuk ke tandas, maka kita akan membaca Bismillah dan memohon perlindungan Allah dari syaitan sebelum memasukinya.  Kita buat apa sahaja, maka bacaan Bismillah akan disebut sebelum memulakannya.


Apa sebenarnya makna bismillah ini? Ya, semua sudah maklum maknaya 'Dengan Nama Allah".  Dengan menyebut nama Allah sebelum memulakan sesuatu perbuatan atau pekerjaan, maka insyaAllah perkara tersebut termasuk dalam ibadah.  Apabila pakaian yang dipakai dengan nama Allah, menutup aurat kerana akur perintahNya dan cinta kepadaNya, maka bermula dari niat & perbuatan memakai pakaian tersebut, insyaAllah amalan kebaikan akan sentiasa tertulis sehinggalah kita menanggalkan pakaian tersebut.  Apabila kita membaca dengan memulakan menyebut nama Allah, maka bermulalah catitan amalan kebaikan sehinggalah buku tersebut ditutup dan apabila sebelum masuk ke tandas pun dimulai dengan nama Allah, maka sepanjang kita duduk daam tandas itu, selama itulah kebaikan itu tercatat malah dikira sebagai ibadah.  Apatah lagi jika dihiasi dengan amalan-amalan sunnnah Rasulullah S.A.W. 

Subahanallah. Bismillah mengajar kita asas ibadah, neraca sama ada berat atau tidak untuk sebagai hamba Allah yang Islam, sehinggalah kita benar-benar merasi bahawa benarlah Islam tidak dapat dipisahkan dari kehidupan kita sehingga keluarlah ungkapan ' Islam ~ The Way of Life'.  Suburkanlah hati kita dengan Allah dengan namaNya sentiasa di bibir, di hati dan perbuatan kita. Terkadang tergelecoh (tergelincir) dari rel, sama ada sedar atau tidak, bersegera beristighfar kepadaNya dan mohon keampunanNya. Indahnya lagi apabila kalimah Bismillah ini digabungjalin dengan asmaNya yang agung, Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah) dan Ar-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Bismillahirrahmanirrahim ~ Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


InsyaAllah, wadah blog Abdullah Abas ini menjadi pengganti blog i-genhalal yang tegendala sejak lebih setahun lepas. Kenapa yer agaknya? insyaAllah, pada kesempatan lain ambo cuba kongsikan :-).  Melalui wadah ini, ambo harapkan dapat berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman sama ada daripada kehidupan atau profesyen ambo sebagai fasilitator / konsultant Halal & Keselamatan Makanan.  Juga dikongsikan nota-nota, kertas kerja dan bahan-bahan seminar daripada kursus-kursus Halal dan berkaitan Halal termasuklah Kebersihan dan Keselamatan Makanan (GMP, HACCP & lain-lain).  Moga semua mendapat manfaat, diberkati Allah s.W.T dan menjadi bekalan saham akhirat kelak.

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli profesional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : https://www.facebook.com/inspirasihalal?ref=hl
Flickr : http://www.flickr.com/photos/inspirasihalal/
Youtube : inspirasi halal

No comments:

Post a Comment