Wednesday 16 January 2013

Definsi dan Asas Makanan


"Maka seharusnya manusia memperhatikan MAKANANnya" (Abasa,80 : 24)

 

Bismillah. Pernahkah anda membaca atau terbaca artikel berkenaan “Mengapa Yahudi Bijak? Jika dahulunya artikel ini berlegar-legar di dalam inbox email kita, maka dengan penggunaan Facebook yang semakin meluas, maka ‘serangan’ artikel ini berpindah pula kepada inbox atau wall facebook kita.  Artikel tersebut kononnya adalah hasil tesis PhD seorang yang ‘dinamakan’ Dr. Stephen Carr Leon yang antara lainnya menyentuh bahawa faktor pemilihan MAKANAN adalah salah satu elemen penting dalam memastikan penguasaan cendikiawan berbangsa Yahudi dalam hampir kesemua bidang termasuklah kejuruteraan, muzik, saintis dan bidang perniagaan.  Antara kesimpulan yang diberikan berdasarkan ‘kajian’ beliau ialah saranan untuk mengubah cara pemakanan serta memilih makanan yang elok dan berkhasiat yang baik untuk otak. Namun, identiti Dr. Stephen Carr Leon masih diragui dan misteri kerana langsung tidak dijumpai siapa sebenarnya orang tersebut apabila dicari dalam enjin carian seperti google dan yang banyak hanyalah email/website/forum yang nama ‘Dr Leon’ tersebut digunakan. 

 

Malah, tidak kurang juga yang mengaitkan kebijaksanaan bangsa Yahudi itu dengan faktor genetik atas alasan sebahagian nabi-nabi adalah dari bangsa tersebut dan cuba merasionalkan mereka adalah insan atau bangsa terpilih.  Menurut sebahagian yang dikatakan ‘kajian’ genetik, bangsa Yahudi ini telah diberikan kesempatan merasai makanan dari langit iaitu ‘Manna’ dan ‘Salwa’ dan mereka hanya akan berkahwin sesama sendiri sahaja untuk memelihara ‘keistimewaan’ mereka ini.

 

Pada pandangan ambo, pada hakikatnya Allah S.W.T. mencipta manusia dengan kelebihan masing-masing dan merupakan sebaik-baik penciptaan oleh Allah S.W.T.  Baik mereka yang dinamakan bangsa Yahudi, bangsa Arab atau bangsa Melayu sekalipun, manusia diciptakan sama sahaja dari aspek kebijaksanaan atau keintelektualan mereka.  Asasnya, mereka nampak berjaya kerana telah membina suatu ‘imej’ keintelektualan kerana usaha yang kuat dan berterusan. 

 

Kehebatan bangsa Yahudi bukan secara semulajadi iaitu lahir dengan tahap intelektual yang tinggi secara tiba-tiba atau anugerah namun mereka menjadi cerdik kerana sistem pendidikan dan pembudayaan.  Kecerdasan pemikiran orang Yahudi bukanlah terhasil dari evolusi kecerdasan pemikiran dan keintelektualan tetapi dibentuk oleh hasil-hasil pemikiran mereka yang mereka terima dari bangsa-bangsa lain yang telah berjaya. Ya, ianya adalah suatu SISTEM termasuklah perancangan pengambilan makanan yang betul sejak bayi dalam kandungan ibu lagi yang tidak dipandang enteng.

 

Hakikatnya lagi, kebanyakan amalan yang dibicarakan dalam artikel tersebut adalah antara perkara yang telah Junjungan Besar kita Nabi Muhammad  S.A.W. telah amalkan. Alangkah betapa ruginya kita yang nyata keIslamannya, tapi tidak mengambil sunnah Rasullah S.A.W. sebagai pedoman hidup. Marilah kita sama-sama memusatkan niat kita untuk mengikuti sunnah kekasih kita, nabi Muhammad S.A.W. kerana Allah S.W.T semata-mata.  Moga-moga amalan kita diterima Allah S.W.T. sebagai amal ibadah dan saham kebaikan di akhirat kelak. InsyaAllah, sebelum membicarakan lanjut berkenaan sistem pemilihan makanan Halal lagi Toyyib yang ditekankan dalam Islam, ambo akan kongsikan dan ingin sama-sama mengajak teman-teman mengenali denifisi dan prinsip MAKANAN itu terlebih dahulu.

 

Apakah definisi makanan?  Apakah elemen–elemen atau ciri-ciri yang perlu ada untuk menamakan sesuatu ‘barang’ atau ‘benda’ itu sebagai ‘MAKANAN’? Menyentuh beberapa contoh rancangan masakan yang dipaparkan dalam media elektronik termasuklah Menu Alam, Masak dengan Chef amar, Halal Oasis mahupun channel khas untuk rancangan masakan seperti AFC, menjadi salah satu indicator bahawa manusia dan makanan tidak boleh dipisahkan serta mereka sentiasa inginkan sesuatu yang baru dan kepelbagaian dalam persembahan makanan yang diambil

 

Di dalam al-Quran, salah satu surah dinamakan berkait langsung dengan makanan iaitu surah yang kelima (ke-5) iaitu surah Al-Maidah yang bermaksud ‘Hidangan’.  Antara lain, firman Allah S.W.T. pada ayat 114 yang bermaksud “Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu TANDA (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki".  Banyak kali perkataan makanan atau al-Ta‘am disebut dalam al-Qur’an dan hadith. Al-Ta‘am dalam bahasa Arab ialah kata plural bagi ta‘ama yang bermaksud “segala yang dimakan[10] .

Jika dilihat dari aspek teori humanistik yang biasanya dibincangkan iaitu berdasarkan Teori Hirarki Keperluan Maslow, ianya memberi penekanan bahawa setiap manusia dilahirkan dengan keperluan-keperluan tertentu yang akan membolehkan seseorang itu terus membesar, berkembang dan mencapai tahap kesempurnaan.  Maslow menerangkan keperluan manusia secara hieraki atau tingkat seperti piramid kerana mempunyai peringkat yang tersusun [1] .  Terdapat 5 tingkat keperluan dalam hidup manusia dan salah satu tingkat keperluan yang paling asas (bawah) yang juga dinamakan keperluan fisiologi adalah MAKANAN. Keperluan Fisiologi ialah keperluan manusia paling asas adalah untuk hidup. Dengan kata lain, keperluan fisiologi ialah apa-apa sahaja yang diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang.  Bagi memenuhi tingkat yang lebih tinggi, manusia perlu ‘mendaki’ tingkat demi tingkat seterusnya dari kesempurnaan fisiologi ke kesempurnaan keselamatan, kesempurnaan sosial, kesempurnaan harga diri dan kemuncak tingkat ialah Kesempurnaan Pencapaian Hasrat Diri.  Seseorang individu akan terus bermotivasi melepasi sesuatu tingkat yang lebih tinggi didorong oleh sesuatu matlamat. Matlamat ini dianggap sebagai keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia tanpa mengambil kira budaya, persekitaran dan perbezaan tahap generasi.

 

Walau bagaimanapun, di sana terdapat persoalan jika kita merujuk kepada persoalan dasar teori ini iaitu adakah kesempurnaan harga diri ini ‘perlu menunggu’ kesempurnaan fisiologi, keselamatan dan sosial terlebih dahulu? Sedangkan manusia dari kelompok mana sekalipun akan meletakkan harga diri sebagai unsur yang utama. Jangan hanya kerana demi memenuhi keperluan fisiologi, keselamatan dan sosial, manusia sanggup menggadaikan harga diri demi memenuhi keperluan yang kononnya secara berstruktur.

 

Dalam sejarah perjuangan Islam,  Bilal Bin Rabah R.A. tidak menghiraukan keselamatannya demi harga diri sebagai seorang Muslim dan harga Islam itu sendiri. Begitu juga ketika Umat Islam di Mekah yang mengalami proses pemboikotan ekonomi selama 3 tahun. Dalam satu riwayat menyatakan bahawa sepanjang tempoh itu, hanya daun-daun dan pucuk kayu sebagai makanan umat Islam.  Namun adakah mereka tergugat dengan pendirian mereka? Sebagai manusia khususnya yang beragama Islam, sebenarnya terdapat satu lagi keperluan yang melekat dengan setiap tingkat keperluan lain iaitu keperluan KESEMPURNAAN SPIRITUAL. Keperluan ini yang menjadikan proses manusia untuk memenuhi keperluan mereka adalah berlandaskan proses yang lebih baik dan bersistem [4] .


 

Pada asasnya, MAKANAN ialah apa sahaja yang boleh dimakan.  Oleh sebab itu, sesuatu bahan atau benda itu boleh dikategorikan sebagai makanan apabila ianya dapat dimamah serta ditelan, dikunyah atau dihisap., secara umumnya melalui mulut. Antara contoh makanan termasuklah nasi, roti dan lain lain. Malah, makanan juga diertikan sebagai rezeki.  Apabila dikatakan makanan berzat, maka ia memberi erti bahawa sesuatu makanan itu mempunyai ZAT atau NUTRIEN seperti vita­min, protein, dan lain-lain. (Kamus Dewan Edisi Empat).


Melihat dari sudut pandang pengkajian biologi, sudah pasti perbincangan interpretasi makanan adalah berkenaan sumber tenaga dan NUTRIEN penting bagi kehidupan manusia.  Makanan didefinisikan sebagai bahan yang boleh dimakan dan digunakan oleh badan untuk melaksanakan FUNGSInya. Makanan mengandungi zat makanan dan apabila dimakan, ia digunakan oleh badan untuk :
1.    Mengeluarkan tenaga bagi mengekalkan suhu badan dan memberi kesan terhadap pergerakan dalam dan luar;
2.    Membina dan menjaga kesempurnaan tisu badan dan untuk pembiakan;
3.    Membekalkan bahan-bahan bagi melaksanakan pelbagai proses dalam badan

Biasanya makanan yang dimakan berasal dari SUMBER tumbuhan dan haiwan dan terbina daripada oksigen, nitrogen dan karbon dioksida daripada udara dan air serta garam mineral dari tanah. Ada kemungkinan bahawa makanan boleh menjalankan satu atau lebih fungsi, tetapi tiada satu makanan pun yang boleh memberi semua zat makanan yang diperlukan oleh badan mengikut imbangannya.  Makanan boleh diuji untuk menentukan kandungan dan fungsinya pada badan dan telah didapati bahawa makanan terdiri daripada paduan antara satu atau lebih zat makanan iaitu kategori bahan makanan protein, karbohidrat, lemak, vitamin, garam mineral, air dan makanan pelawas [5] .

Bentuk makanan meliputi semua bahan pepejal atau cecair yang masuk ke dalam saluran pencernaan dan digunakan untuk menjaga dan membina tisu tubuh, mengawal atur proses-proses tubuh dan membekalkan tenaga untuk manusia terus hidup.  Makanan mengandungi berbagai-bagai sebatian organik dan bukan organik.  Jadi, setiap makanan adalah sebatian kimia atau campuran beberapa sebatian kimia.  Sebatian-sebatian dan unsur-unsur makanan ini makanan ini terdiri daripada protein, lipid (lemak), karbohidrat, mineral, vitamin dan air, dan boleh dikumpulkan sebatian dan unsur organik dan bukan orgnanik.

Sebatian organik termasuklah protein, lipid, karbohdrat dan vitamin, manakala unsur bukan organik ialah air dan mineral seperti Kalsium, Fosforus, Natrium, Kalium, Klorin, Sulfur, Ferum, Iodin, Kuprum, Magnesium, Mangan, Kobalt, Zink dan lain-lain lagi.  Juzuk-juzuk makanan ini dikenali sebagai NUTRIEN.  Untuk mendapat kesemua nutrien yang diperlukan untuk fungsi yang normal, tubuh mesti bergantung kepada pemilihan makanan yang bijak.  Sekiranya makanan tidak dipilih dengan teliti, akan terjadi kekurangan satu nutrien perlu atau lebih.  Nutrien perlu ialah nutrien yang mesti dibekalkan kepada tubuh melalui makanan dan tidak boleh disintesis oleh tubuh [6] .

Makanan merupakan bahan-bahan yang boleh dicerna, biasanya terdiri dari karbohidrat, lemak, air dan/atau protein, yang boleh dimakan atau diminum oleh manusia dan haiwan untuk mendapat NUTRIEN dan/atau nikmat. Kajian mengenai makanan pula dipanggil sains makanan [7]Makanan terdiri dalam pelbagai BENTUK, TEKSTUR, RUPA, RASA, WARNA DAN BAU yang berlainan. Makanan juga ialah gabungan pelbagai RASA iaitu pahit, masin, manis, pedas dan masam. Tekstur makanan bermaksud kelembutan, kelicinan, kekerasan, kegaringan dan kekasaran suatu makanan. Makanan merupakan keperluan asas atau primer setiap manusia. FUNGSInya ialah memenuhi keperluan fizikal, fisiologi, psikologi dan sosial. Kuantiti dan kualiti makanan mempengaruhi tahap kesihatan individu. Makanan yang mempengaruhi keperluan makanan adalah faktor geografi, agama, budaya dan sosial. Pemilihan makanan dipengaruhi oleh faktor (Faktor pemilihan makanan) - umur, jantina,aktiviti seharian, pekerjaan, saiz badan, iklim dan tahap kesihatan [8] .

Dari aspek perundangan di Malaysia berdasarkan tafsiran Akta Makanan 1983, “makanan” meliputi setiap barang yang dikilang, dijual atau diberi gambaran untuk digunakan sebagai makanan atau minuman untuk kegunaan manusia atau yang masuk pada atau digunakan dalam campuran, penyediaan, pengawetan apa-apa makanan atau minuman dan meliputi gula-gula, benda-benda kunyahan dan apa-apa ramuan bagi makanan, minuman, gula-gula atau benda kunyahan itu [9] .

Makanan mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap tubuh badan, jiwa, emosi dan akal.  Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan terbaik ialah makanan yang Halal lagi bersih (Halal & Thoyyib), seimbang, berzat dan berjadual.  Makanan seimbang ialah set makanan yang mengandungi kesemua bahan makanan yang diperlukan oleh otak dan tubuh supaya dapat berfungsi dengan sempurna [11] . Justeru, apabila sesuatu bahan atau benda itu dapat dimamah serta ditelan, dikunyah atau dihisap, secara umumnya melalui mulut dan memenuhi ciiri-ciri makanan dari aspek sumbernya, zat dan nutriennya, keberkesanan fungsi kepada badan serta tekstur, rupa, rasa, warna, bau dan bentuknya, maka insyaAllah dinamakanlah ianya MAKANAN . 


Oleh itu, teruskan perjuangan mencari makanan yang Halal melalui sumber yang Halal juga di samping sentiasa berSYUKUR kepada Allah SWT atas limpahan rezeki yang melimpah ruah itu [12] .  Peribadi diri yang tinggi dan akhlak yang mulia adalah cerminan daripada hati seseorang yang bersih dan terpelihara. Sebagai umat Islam yang benar-benar menghayati ajaran agama sepatut dan sewajarnya kita berusaha untuk mencari yang halal kerana sabda Rasulullah S.A.W.: “ mencari yang Halal itu fardhu atas setiap Muslim” [13] .



Salam Maulidur Rasul

Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal

kredit to :

5.    Pemakanan, Phuah Uoi Ean, 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
6.    Makanan, Pemakanan dan Terapi Diet, Marie V.Krouse, L.Kathleen Mchan (Penterjemah: Suriah Abd. Rahman et.al), 2003, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur)
9.    Akta Makanan 1983, Kementerian Kesihatan Malaysia
10.  Sekuriti Makanan Dari Perspektif Syariah Asmak Ab Rahman, Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 2 (2009) 299-326
13.  http://ustazhusni.blogspot.com/2012/03/makanan-halal-bentuk-peribadi-mulia.html

No comments:

Post a Comment