Wednesday 2 January 2013

Secebis Sejarah Pensijilan Halal Malaysia


“Mulai Januari ini (tahun 2013), logo dan ungkapan Halal seperti ditanggung Halal, makanan orang Islam, bufet Ramadan dan lain-lain lambang Islam yang boleh mengelirukan serta memperdayakan orang Islam adalah dilarang…Syarikat pengeluar, pengedar makanan atau barang-barang yang masih menggunakan logo dan ungkapan Halal bukan daripada JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) akan dikenakan tindakan.”  
~ Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, sumber Utusan Online


Bismillah. Sememangnya, tidak dapat dinafikan, sistem pensijilan dan pemantauan Halal yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak sekian lama telah diiktiraf oleh dunia pada masa kini.  Sepertimana yang telah ambo kongsikan dalam facebook Abdullah Abas berkenaan ‘secubit’ dari sejarah pensijilan Halal Malaysia yang telah melalui suatu proses yang amat mencabar sepanjang tempoh pelaksanaannya di Malaysia. Sebagaimana direkodkan dalam laman sesawang Hab Halal JAKIM (halal.gov.my), penglibatan Jabatan ini dalam memberi pengesahan status Halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam d negara ini bermula sejak tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan Halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak.

Bermula pada tahun 1994 pula, pengesahan Halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan beserta logo Halal dan mulai 30 September 1998 pemeriksaan Halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan.  Pada 1 September 2002, kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan Halal dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai hanya 28 jawatan. Dengan perkembangan pesat industri makanan di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, maka pada 17 November 2005 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah meluluskan sebanyak 165 perjawatan pelbagai skim dan gred dengan nama baru Bahagian Hab Halal.

Pada 2 April 2008, pengurusan pensijilan Halal diambil alih oleh Halal Industry Development Corporation (HDC). Akhirnya, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memutuskan pengurusan pensijilan Halal Malaysia dalam dan luar negara dikembalikan kepada JAKIM.  Menurut
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, kabinet berpendapat HDC perlu memberikan tumpuan kepada fungsi asalnya untuk membangunkan produk dan hab Halal di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Tidak dapat dinafikan, kredibiliti JAKIM menerajui pensijilan Halal bukan saja dalam Negara bahkan di peringkat antarabangsa amat diakui dan mempunyai pengalaman luas untuk menguruskannya sejak sekian lama.  Pelbagai pihak sebelum ini membantah langkah menyerahkan pengeluaran sijil berkenaan kepada HDC kerana mendakwa ia mempunyai kepentingan dalam perniagaan dan akan menyebabkan pengeluaran sijil berkenaan tidak telus.  Selaras dengan keputusan itu, semua kakitangan kerajaan yang dipinjamkan kepada HDC bagi menguruskan urusan pengeluaran sijil dan membuat pemantauan akan diserap semula ke JAKIM.  Kakitangan terbabit terdiri daripada pegawai JAKIM yang bertanggungjawab mengendalikan ujian secara saintifik dan Islamik serta kakitangan Kementerian Kesihatan yang telah dipinjamkan bagi membuat pemantauan. 

Menyorot perkembangan mutakhir ini, semakin jelas bahawa minat dan permintaan terhadap pengeluaran dan pembekalan produk-produk dan perkhidmatan yang diiktiraf sebagai “Halal ” semakin menunjukkan peningkatan yang luar biasa, dan menjadi komponen yang wajib dalam memenuhi keperluan dan citarasa pengguna-pengguna bukan sahaja di kalangan orang-orang Islam malah orang-orang bukan Islam dalam pasaran sejagat.

Bagi umat Islam, tidak dapat dinafikan bahawa permintaan ini adalah berasaskan kepada memenuhi tuntutan agama Islam itu sendiri iaitu untuk memastikan bahawa setiap produk dan perkhidmatan yang digunakan oleh mereka sama ada pakaian, perubatan, makanan atau apa sahaja barang gunaan adalah suci dalam ertikata dibenarkan oleh Islam, dan dengan itu, tidak boleh tercemar oleh apa jua yang dianggap tidak Halal  (haram) dari segi kandungan dan ramuan, pengendalian peralatan, dan kaedah memproses atau dari segi pengolahan.

Malaysia sebagai negara Islam yang sedang pesat membangun adalah merupakan lokasi yang strategik dan tepat bagi pengeluaran produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan Halal untuk pasaran domestik, serantau dan antarabangsa. Sehingga kini, Malaysia telah berjaya membuktikan keupayaannya memenuhi syarat, dan kriteria, untuk muncul sebagai Hab atau Pusat Halal  Global yang disegani.

Faktor-faktor seperti struktur perundangan dan peraturan yang berkesan dengan JAKIM sebagai badan utama, Logo atau Tanda “Halal ” JAKIM telah didaftarkan di bawah Trade Mark, Penyeragaman pensijilan “HALAL ” melalui Malaysian Halal  Standard MS 1500  (veris terbaru 2009), sokongan penyediaan infrastruktur fizikal dan pentadbiran yang beterusan, asas perkilangan sektor makanan, perubatan, dan barangan pengguna yang kukuh, rantaian kerjasama dengan negara-negara asing untuk memudahkan import komponen, bahan-bahan mentah dan ramuan-ramuan, dasar-dasar yang liberal bagi pelabur-pelabur asing dan tempatan melabur secara besar-besaran dan dasar-dasar khusus untuk membangunkan industri Halal amat membantu menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau dan global untuk pengeluar Halal  yang diterima oleh dunia.

Malah, tidak dapat dinafikan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berintegriti, dalam mempelopori pengeluaran produk-produk Halal, merupakan penjenamaan “premium” atau kelebihan kepada pengeluaran produk-produk tersebut di Malaysia. Pendeknya, pasaran antarabangsa menilai tinggi dan menerima pengiktirafan Halal  oleh JAKIM terhadap produk-produk dan perkhidmatan.

Sebanyak 9,338 pengeluaran Sijil Halal telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat dan produk-produk sejak Januari 2001 sehingga Oktober 2004. Pada tahun 2010 pula, sebanyak 4,787 Sijil Halal  telah dikeluarkan kepada pekilang, premis dan rumah sembelih oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Jumlah ini meningkat pada kadar 25% setiap tahun. Sebilangan besar daripada syarikat-syarikat ini merupakan pengusaha dalam industri Makanan dan Minuman di mana 82% daripada mereka adalah pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS).

Pelaburan dalam sektor pemprosesan makanan terus menunjukkan peningkatan dan dalam tahun 2003 pelaburan sebanyak RM1.1 ribu juta telah diluluskan dan bagi jangka masa antara Januari hingga Oktober 2004, sebanyak 59 projek memproses makanan telah diluluskan, dengan pelaburan berjumlah RM 896.5 juta. Malah, Malaysia juga telah berjaya mengeksport sejumlah RM 2,843.4 juta produk makanan ke luar negara dimana 53% jumlah eksport adalah ke negara ASEAN dan Timur Tengah yang mempunyai majoriti penduduk Islam dan pengguna terbesar produk makanan Halal  dunia. Keupayaan ini mampu dipertingkatkan lagi kerana jumlah pasaran antarabangsa makanan Halal bernilai AS 80.7 billion (RM 298.6 billion) dan nilai ini dijangkakan terus meningkat setiap tahun. Sehingga 2011, pasaran Halal global terus berkembang dan dianggarkan bernilai lebih daripada 2.3 trilion Dolar Amerika setahun di mana lebih 60% daripada nilai pasaran yang dianggarkan berjumlah 680 bilion Dolar Amerika adalah produk makanan Halal.  Kini Halal menjadi nilai komersial yang penting dan tinggi merentasi sempadan bangsa, agama dan antarabangsa.

Namun, hasrat kerajaan supaya produk-produk dan perkhidmatan Halal  dari Malaysia yang dapat diterima di kalangan Umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia akan tinggal cita-cita dan angan-angan sahaja sekiranya keperluan-keperluan dan kehendak-kehendak asas dari segi kualiti, standard, harga dan pematuhan kepada peraturan-peraturan sedia ada masih gagal dipenuhi. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha telah mengingatkan pihak industri agar lebih bersedia dan peka dengan tuntutan pensijilan Halal Malaysia dari semasa ke semasa  dan  turut berharap agar orang ramai turut bekerjasama menyalurkan maklumat sekiranya berlaku penyalahgunaan logo Halal. Cabaran buat pengguna Muslim dalam Negara bahawa suatu hakikat yang perlu diterima di Malaysia ialah tidak kurang 70% industri Halal dikuasai oleh pengusaha bukan Islam & tidak kurang 60% pengguna di Malaysia adalah beragama Islam.
  
InsyaAllah, adalah diharapkan agar pensijilan Halal ini terus dimantapkan dan Malaysia kekal menjadi peneraju untuk dicontohi oleh negara-negara yang lain. Moga perkongsian kali ini mendatangkan manfaat buat semua, diberkati Allah S.W.T. dan menjadi bekalan kebaikan di akhirat kelak.


Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Perunding berdaftar/ Ahli Professional MIFT
Tutor Keselamatan Makanan diiktiraf HABC
Facebook : inspirasi Halal

kredit to :
1. halal.gov.my/v3/index.php/ms/korporat/sejarah-halal
2. utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121229/dn_04/Denda-berkuat-kuasa-1-Januari
3. dwnmasyarakat.dbp.my/?p=1435
4. yadim.com.my/wacana_ekonomi/view.asp?Id=171
5. i-genhalal.blogspot.com



No comments:

Post a Comment