Tuesday 25 February 2014

IMP : Suatu Tambah Nilai dalam Sistem Kualiti Makanan

Bismillah 


Satu piawaian Amalan Pengilangan Islam atau Islamic Manufacturing Practices (IMP) yang menekankan pengeluaran produk makanan dan barang gunaan yang mencapai status Halalan Toyyiba telah diperkenalkan sejak tahun 2005, selaras dengan perkembangan positif Perbankan Islam dan Takaful Islam dalam Negara. Bagi merealisasikan hasrat melihat IMP dapat dijalankan secara praktikal, maka sebuah kilang bertaraf Amalan Pengilangan yang Baik atau Good Manufacturing Practices (GMP) telah dibangunkan dan menjadi model pengilangan IMP.  IMP bukan lagi melihat kebersihan dari sudut lahiriah dan fizikal, malah dari sudut kesucian dan kerohanian [2]

Pada hari ini,  pengilangan GMP semakin mendapat tempat dan menjadi amalan kebiasaan di kalangan indsutri pengilangan.  Secara umumnya, pensijilan GMP adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu melalui Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan (BKKM) bagi GMP untuk produk makanan dan melalaui Bahagian Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) bagi produk ubat-ubatan, makanan tambahan (supplement) dan kosmetik. 

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh BKKM, GMP diwujudkan bagi membantu industri untuk mencapai piawai pengeluaran makanan yang lebih tinggi bagi memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak pengguna. Satu garis panduan telah disediakan sebagai panduan terhadap elemen-elemen utama GMP kepada industri makanan daripada penerimaan bahan mentah hingga ke pengedaran produk. Pelaksanaan garis panduan yang betujuan mewujudkan keseragaman dalam GMP bagi industri makanan.  Garispanduan ini terpakai kepada semua jenis industri makanan di Malaysia termasuk bidang pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan, penstoran dan pengedaran [4] .

Bagi pensijilan GMP melalui BPFK, pelaksanaannya adalah sebagai pra-syarat memenuhi salah satu keperluan  Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, untuk melayakkan permohonan lesen pengilang serta pendaftaran produk / pemberitahuan kosmetik. GMP adalah piawai yang perlu dipatuhi oleh pengeluar produk farmaseutikal / tradisional berdaftar dan kosmetik untuk memastikan bahawa produk yang dihasilkan adalah selamat, berkesan dan berkualiti.  Sijil GMP dikeluarkan bagi tujuan pengeksportan produk berdaftar yang dikeluarkan dalam negara. Ia mengesahkan bahawa pengeluar tempatan mematuhi keperluan GMP. Sijil ini diperlukan oleh agensi-agensi kawal selia di luar negara untuk pendaftaran produk di negara-negara mereka [5] .

IMP menambah nilai GMP dengan pengisian unsur kesucian dan kerohanian di mana penekanan diberikan kepada pemprosesan produk oleh orang-orang Islam yang beramal dengan amalan Islam.  Dengan kata lain, IMP juga adalah suatu piawaian bertaraf  Halalan Toyyiba, iaitu Halal lagi baik yang mempunyai prinsip-prinsip kesucian rohani, jasmani, keselamatan, kualiti dan keberkesanan terhadap pemikiran, perasaan, jiwa dan akhlak manusia.  Proses pengilangan yang bukan sahaja suci dari aspek fizikal yakni tiada bahan haram atau pencemaran dengan bahan haram malah juga suci dari sudut rohaninya iaitu pemprosesan produk dijalankan oleh orang-orang Islam yang beramal dengan amalan Islam semasa menjalankan kerja [2] .

Penguasaha IMP yang melibatkan dalam pembuatan produk makanan yang Halalan Toyyiba mestilah mengetahui persoalan hokum pembuatan produk dan mempunyai ilmu berhubung dengan persoalan keagamaan.  Selain itu, mereka juga perlu bertanggungjawab membekalkan produk  yang benar-benar memenuhi keperluan syarak dan menyedari bahawa penghasilan produk akan menjadi darah daging dan akan dituntut di akhirat kelak.  Malah, sumber kewangan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan tidak bersumberkan riba dan yang terpenting ialah menyematkan niat untuk menyediakan produk yang Halal lagi baik kepada pengguna Muslim semata-mata kerana Allah S.W.T [2] .


Bagi memenuhi situasi kilang dan bahan mentah bertaraf IMP, maka susunan dalam kilang mestilah mengikut syariat di mana tiada muzik sebarangan didendangkan tetapi bacaan Al Quran diperdengarkan.  Selain itu, kuliah kefahaman Halal, IMP mahupun sistem keselamatan makanan seperti GMP diadakan dari semasa ke semasa.  Malah, kuliah kefahaman agma juga diadakan di kalangan pihak pengurusan dan pekerja 3 kali setiap minggu.  Sumber bahan mentah yang digunakan mestilah Halal dan mendapat pengesahan dari pihak berkuasa dan unit Audit Syariah Dalaman.  Peralatan dan bahan mentah mestilah dibersihkan mengikut piawaian syariah seperti penggunaan air mutlak yang bersih dan suci lagi menyucikan [2] .

Elemen pekerja juga ditekankan dalam pengilangan IMP di mana pemilihan pekerja mestilah yang Islam dan beriman kepada Allah dan RasulNya.  Mereka mestilah mengetahui dengan sungguh-sungguh hokum bersuci (thaharah) berhubung dirinya dan kesucian bahan perlatan dan bahan mentah.  Aspek pengetahuan terhadap air mutlak dan air mustakmal, kemampuan membaca al Quran juga ditekankan bagi memenuhi pengilangan IMP ini.  Pekerja mestilah menjadikan amalan membaca Basmalah apabila memulai sesuatu pekerjaan dan amalan doa-doa khusus serta sentiasa dalam keadaan berwudhu’.  Percampuran antara lelaki dan perempuan juga dipraktikkan di mana ruang kerja antara meraka diasingkan [2] .

Kemampuan membaca al Aquran ditekankan kerana banyak doa dan bacaan yang perlu dibaca semasa proses pengilangan.  Selain itu, elemen wudhu ditekankan supaya cahaya keberkatan (Nur) wudhu’ sentiasa ada pada operator.  Nur dari bacaan al Quran, basmalah dan wudhu’ diharapkan melimpah masuk ke dalam produk yang akhirnya menghasilkan jiwa yang murni dan bertaqwa di kalangan pengguna.  Natijahnya, manusia mengalami perubahan pemikiran, perasaan, jiwa dan budi pekerti yang akan menjadi hamba Allah yang lebih taat kepada perintah Allah dan RasulNya [2] .



Pengilangan IMP memandang penting persoalan Halal dan haram makanan dan barang gunaan harian kerana menjadi salah satu elemen terpenting orang Islam berkualiti dalam pembinaan tamadun manusia.  Daging yang tumbuh dari sumber yang haram menyebabkan manusia mudah terjebak dalam lingkaran maksiat dan menjadikan hati terhijab untuk mendapat cahaya hidayah Allah.  Pada saat hati telah dipenuhi dengan titik-titik hitam dan maksiat sehingga tiada ruang lagi untuk titik kebaikan, maka pada pada saat itu neraka  menjadi tempat yang lebih baik untuk mereka [2] .

Antara kelebihan pemilihan makanan yang Halalan Toyyiba termasuklah menjalinkan ukhuwan dan kasih sayang di kalangan umat Islam atas dasar Iman kepada Allah sekaligus menghilangakn perasaan dan sifat dengki (hasad) dan sifat-sifat tercela di kalangan orang Islam.  Secara langsung, akhlak yang terpuji dapat dibina di kalangan orang Islam dan melahirkan umat yang kuat pegangan akidah dan agama. Ini kerana, pengilangan IMP menyedari hanya darah daging yang suci dari makanan yang syubhat dan haram adalah layak untuk masuk ke syurga Allah [2] .



Gerakan IMP ini diterajui oleh syarikat Sidratul Corporation Sendirian Berhad (Sidratul) yang merupakan sebuah syarikat milikan 100% Muslim.  Ia mula beroperasi pada awal tahun 2006 sebagai manifestasi menyokong dan membantu membangunkan Industri Halal yang kian pesat berkembang terutamanya di Malaysia.  Teras perniagaan Sidratul adalah dalam industri pengilangan produk-produk makanan, minuman dan kosmetik Halal selain daripada memberi perkhidmatan perundingan kepada usahawan-usahawan Isam yang ingin menceburkan diri didalam industri makanan Halalan Thoyyiba.[1] .

Selain menyediakan produk yang berkualiti kepada pelanggan-pelanggan, melalui gabungan makanan-makanan sunnah dan herba-herba yang diproses dengan berpandukan syarak melalui Amalan Pengilangan Secara Islam atau dikenali sebagai Islamic Manufacturing Practice (IMP), syarikat ini percaya bahawa makanan yang Halal lagi baik merupakan asas kepada pembentukan jiwa seorang Islam yang beriman dan insyallah akan mencapai Ihsan [1] .  Pembuatan produk secara Halalan Toyyiba merupakan kombinasi nilai-nilai fizikal dan spiritual berasaskan mengenai hokum Syarak [1] . 

Secara ringkasnya, Sidratul Corporation disokong oleh tiga syarikat yang lain iaitu Sidratul Enterprise sebagai entiti yang menjalankan pengilangan, Sidratul Edar sebagai entiti  yang menjalankan promosi dan pemasaran dan Sidratul Trading sebagai entiti yang menguruskan pengangkutan dan pengedaran [1] .

Kilang makanan milik syarikat Sidratul Corporation beralamat di No.12, Jalan Industri 1, Taman IKS MIEL, 33010 Kuala Kangsar Perak pada 7 Mei 2013 dan mengeluarkan produk makanan berasaskan rumpai laut seperti spagemee rumpai laut, makanan berasaskan madu seperti madu akasia, madu sawda, madu pala, madu guarana, madu mahkota dewa dan madu bunga cengkih, makanan berasaskan barli seperti bar barli madu Raf-Raf, coklat barli Aswad, biskut barli Raf-Raf dan barli Aswad dan makanan prebiotik seperti susu kambing prebiotik akasia dan rumpai laut coklat prebiotik akasia.  Selain itu, minuman juga dikeluarkan dari kilang ini termasuklah susu seperti susu penuh krim Halib’s, susu penuh krim Halib’s Gold, susu kambing Caliph Goata dan kopi Goata, cordial ros dan rumpai laut, minuman berasaskan koko seperti Hot Choc dan Honeko, dan juga minuman saffron seperti Saffron Sparkling dan kordial Saffron oren madu [3] .  Produk yang dikeluarkan adalah sama ada milik syarikat ini sendiri atau kontrak pengilangan (contract manufacturing) dari syarikat lain. 





Salam 2014 yang penuh optimis dan kejayaan :-)
[Hamad (Libya), Fadhli (Malaysia), Ust.Tajuddin (Malaysia), Saif (Oman)]



Abdullah Abas ~ Pencinta Halal
Trainer Pengendali Makanan KKM
Ahli Professional MIFT
Facebook : Fadhli RahmanAbas


Rujukan :
1.      Laman Sesawang Sidratul Corporation Sendirian Berhad (http://www.sidratul.com/)
2.    Ahmad Tajuddin Arshad. 2010. Halalan Toyyiba: Buku Panduan IMP. Penyelaras Falsafah & Sains Islam Universiti Sains Malaysia. Pulau Pinang
3.      Product Catalogue. Sidratul Corporation
4.  Portal Rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. (http://fsq.moh.gov.my/v3/component/k2/item/266-garis-panduan-amalan-pengilangan-yang-baik-gmp/266-garis-panduan-amalan-pengilangan-yang-baik-gmp)
5.  Portal Rasmi Bahagian Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia. (http://portal.bpfk.gov.my/index.cfm?&menuid=146&parentid=113)

No comments:

Post a Comment