Catatan Siiru Fil Ardh (Cerita Kembara) di Pantai Timur (1992 - 1996)

 Bismillah


Catatan Siiru Fil Ardh (Cerita Kembara) di Pantai Timur

=========================================

Cerita 1: Kembara bersama keluarga ~ Bumi Terengganu, seingat ambo adalah antara negeri di luar Kelantan yang terawal dilawati. Ianya sekitar awal 90an, pada fasa ambo masih di sekolah rendah.

Negeri Terengganu Darul Iman (atau Terengganu) adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Keluasan negeri Terengganu sekarang adalah kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1.295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara (Besut) ke selatan (Kemaman) (sumber : terengganu.gov.my)


sumber : terengganu.gov.my

Biasanya, kami adik-beradik (masa tersebut 5 beradik) dibawa bersama kerana Abah perlu menghadiri Kursus atau temuduga. Tugas sebagai warden asrama selain kerja hakiki sebagai pendidik mungkin menjadi antara faktor kami jarang berpeluang keluar dari bumi Cik Siti Wan Kembang.Dengan proton saga kelabu keluaran 1992, Abah membawa kami sekeluarga. Sepeninggalan Abah menyelesaikan urusan, Ma setia menemani kami.

Sumber : commons.wikimedia.org

Antara tempat lawatan yang masih ambo ingati ialah Sekayu dan Bidong. Satunya tempat perkelahan air terjun dan satu lagi pesisir pantai yang menghadap pulau Bidong, yang pernah menjadi pusat perlindungan pelarian Champ (dari Kemboja dan Vietnam).

Hutan Lipur Sekayu atau lebih dikenali juga dengan Air Terjun Sekayu terletak di dalam kawasan hutan simpanan Hulu Terengganu Tambahan. Ia berada di dalam daerah Hulu Terengganu, Terengganu, 16 kilometer dari pekan Kuala Berang dan 56 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Pada masa kini, kawasan ini boleh dicapai melalui persimpangan Ajil Lebuh Raya Pantai Timur (mhdt.terengganu@gov,my).  

sumber : forestry.gov.my/my

sumber : pelancongan-terengganu.blogspot.com


Pulau Bidong pula terletak di daerah Kuala Nerus, Terengganu dengan keluasan 203 hektar persegi.  Ianya dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Pulau Vietnam atau Mini Saigon kerana lokasi ini pernah dijadikan sebagai pusat penempatan pelarian dari negara Vietnam suatu ketika dulu, sekitar 1976 hingga 1991. Kependudukan pelarian Vietnam di Pulau Bidong bermula pada Ogos 1978 apabila Kerajaan Persekutuan mewartakannya sebagai pusat penempatan bagi memudahkan urusan bantuan perubatan, makanan dan kemanusiaan kepada warga Vietnam yang melarikan daripada krisis peperangan di negara mereka (bharian.com.my).  Hari ini, Pulau Bidong menjadi antara destinasi pelancongan dengan keunikan tersendiri untuk ditawarkan selepas menjadi kawasan larangan selama berbelas tahun.

Sumber : astroawani.com

sumber : nst.com.my


Cerita 2 : Kembara Pahang ~ Negeri kedua yang dilawati selepas Terengganu masih di Pantai Timur. Pahang menjadi arah tujuan kembara. Seingat ambo, 2 daerah iaitu di Temerloh dan Kuantan. Rasanya, untuk pertama kali 'mabuk' dalam perjalanan.

Pahang Darul Makmur atau Pahang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu bersempadan dengan Negeri Kelantan di sebelah utara, Negeri Perak, Selangor serta Negeri Sembilan di barat, Negeri Johor di selatan dan Negeri Terengganu serta Laut China selatan di bahagian timur. Negeri Pahang merangkumi kawasan seluas 35,965 kilometer persegi (km2) terbahagi kepada 11 buah daerah pentadbiran, dengan jumlah keseluruhan penduduk di negeri ini kira-kira 1.75 juta orang dengan kepadatan penduduk seramai 48.6 orang bagi setiap km2 (pahang.gov.my).

sumber : researchgate.net

Sumber : pahang.gov.my


Kembara Temerloh tidak lagi bersama-sama Ma dan adik-adik. Kali ini menemani Abah, yang masih setia dengan proton saga kelabunya. Turut bersama ialah arwah Che (Panggilan untuk atuk, Haji Abas) dan We (Panggilan untuk maklong). Dua lagi penumpang lain tidak terlintas lagi dalam kotak memori. Tahun itu 1995. Trip kembara ini untuk 'belarok' iaitu majlis perkahwinan sepupu Abah (juga sepupu Ma) yang bertemu jodoh dengan orang di sana.

Temerloh merupakan sebuah bandar yang maju dan tersusun. Ia terletak di Pahang Tengah dan merupakan pusat pertemuan diantara Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Temerloh terkenal sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia dan juga mendapat jolokan Bandar Ikan Patin kerana ikan jenis ini banyak terdapat di sini, memandangkan bandar ini berhampiran dengan sungai yang lebih dikenali sebagai Sungai Pahang (sumber : mpt.gov.my).

sumber : melancong.com.my

Sumber : hmetro.com.my


Setahun selepas itu, bermulalah kembara pertama tanpa Ma, Abah dan adik-adik serta tanpa kereta Abah. Kali ini ke Kuantan.

Cerita 3 : Kembara Mingguan ~ Sekitar tahun 1993 (atau 1994), suatu detik yang tidak disangka apabila Abah membawa ke Wakaf Bharu, dengan lebih tepat di kedai basikal. Letaknya di sebelah Klinik Singgam.

Abah memberi peluang untuk memilih basikal yang berkenan dan basikal gear 5 buatan Taiwan menjadi pilihan akhirnya. Yang lebih istimewa, gearnya terletak di tengah-tengah antara 'handle' dan tengkuk, bentuknya persis gear kereta.

Dengan basikal itulah, ambo telah gunakan untuk ziarah rumah arwah Along (panggilan untuk maklong sebelah Ma) atau rumah Mek (panggilan untuk nenek sebelah Ma) hampir saban minggu di Kok Pasir, tersohor dengan tempat suluk Tok Selehor.


sumber : hmetro.com.my

Jaraknya lebih kurang 4 kilometer dari rumah, di Kampung Laut. Dengan berbekalkan baju untuk persalinan semalaman atau 2 malam, kembara tersebut melalui Hutan Jambu, kadang-kadang berselisih dengan kawan-kawan yang tinggal di antaranya.


Cerita 4 : Kembara Pahang 2 ~ Ya, kali ini ke Kuantan. Bukan lagi dengan kereta proton kelabu Abah, namun pertama kali dengan bas (keluar dari Kelantan). Sebelum ini pernah juga naik bas, itupun jarang-jarang dari Kampung Laut ke Kota Bharu. Selalunya dengan motor penambang yang tentunya tiada masalah trafik dan tempoh perjalanan yang boleh dijangka.

Kuantan terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia di antara garis lintang 3° 49′ 0″ di utara dan garis bujur 102° 20′ 0″ di timur. Di bahagian timur ialah Laut Cina Selatan dengan panjang kawasan pantai 56 km (35 batu). Di sebelah barat ialah Daerah Maran dan Jerantut, di utara ialah Negeri Terengganu dan di selatan ialah Daerah Pekan. Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai penempatan.

Ambo ke sana diajak sepupu yang paling tua (sebelah Ma). Ambo panggilnya Abe Soh (bersama doakan kesejateraan dan sedekahkan al-fatihah buat arwah). Turut bersama ialah adik beliau, yang sedikit berusia dari ambo bernama Zamrudi.

Masih segar dalam ingatan, ambo ke sana berbekalkan salinan kad pengenalan sementara yang baru dibuat di Pejabat Pendaftaran Tumpat. Di Kuantan, kami tinggal di rumah teres yang belum siap sepenuhnya di Jalan Alor Akar. Abe Soh bekerja buat rumah di taman baru tersebut.

Sumber : tripadvisor.com


Pengalaman manis apabila Abe Soh membawa kami berjalan-jalan di bandar Kuantan dan pantai Teluk Cempedak. Keistimewaan pantai ini kerana mukabuminya yang lebih indah berdekatan kawasan bukit yang tidak ditemui di mana-mana pantai Kelantan.

Pantai Teluk Cempedak atau lebih dikenali sebagai TC cukup terkenal di kalangan pengunjung yang berasal dari negeri Pahang dan cukup sinonim dengan daerah Kuantan. Pantai ini terletak hanya 5 km daripada bandar Kuantan dan berhampiran dengan Kelab Golf Diraja Pahang. Di pantai ini, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan sama ada sendirian atau bersama keluarga seperti berkelah, mandi laut, memancing, bermain layang-layang, bola pantai atau sekadar bersiar-siar di pantainya sambil menghirup bayu laut.

Sumber : mbk.gov.my

Sumber : negeripahang.com




.


Comments

Popular posts from this blog

Penilaian Sensori Makanan : Ujian Diskriminatif dan Deskriptif

MS 1500

Sains Makanan : Suatu Pengenalan Siri 1