Catatan Siiru Fil Ardh (Cerita Kembara) di Bandar Diraja Perak (1997)

 Bismillah


Catatan Siiru Fil Ardh (Cerita Kembara) di Bandar Diraja Perak
===============================================

Cerita 5 : Kembara Kuala 1 ~ Pengalaman kembara Pahang amat bermakna kerana ianya menjadi medium persediaan kembara yang seterusnya. Lebih mencabar, kali ini di luar Pantai Timur dan mengambil masa 5 tahun berulang-alik ke Kelantan.

Kembara kali ini tidak pernah terlintas dalam fikiran ambo. Masih ambo ingat saat mengambil keputusan UPSR di sekolah (Sekolah Kebangsaan Kampung Laut), guru kelas yang juga guru Matematik, memaklumkan yang ambo mendapat tawaran ke sekolah terbaik di luar Kelantan. Cikgu Azmi namanya.

Sekolah Kebangsaan Kampung Laut, Kelantan
Sumber : google.com
Masjid Kampung Laut
Sumber : pandupelancong.com


Sekolah Kebangsaan Kampung Laut terletak di dalam mukim Kampong Laut merupakan salah sebuah mukim yang terdapat dalam dalam pentadbiran Jajahan Tumpat, negeri Kelantan. Kedudukannya adalah di seberang jajahan Kota Bharu yang dipisahkan dengan Sungai Kelantan. Kegiatan ekonomi dan sumber pendapatan penduduk adalah pembuatan berasaskan makanan seperti Serunding, pembuatan dodol, keropok ikan, kraftangan, tanaman dan perniagaan, selain daripada pekerjaan profesional dan kakitangan kerajaan. Antara kegiatan kebudayaan yang terkenal di sini adalah permainan wayang kulit, kumpulan rebana kercing, seni mempertahankan diri seperti silat dan juga permainan wau (dan layang - layang). Di sini juga terletak Masjid Kampung Laut yang merupakan antara masjid tertua di Malaysia.

Bagi seorang anak kampung Kelantan, perancangan menyambung pelajaran di peringkat menengah hanya terlintas paling jauh pun ke Maahad Muhammadi Kota Bharu (Lelaki). Namun hasrat terbantut kerana menurut arwah Ayah Mat (panggilan bapa saudara sabit sebelah Ma), permohonan ambo tidak diluluskan atas beberapa faktor dan Sekolah Agama Berangan, Tumpat (kini Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin Tumpat) menjadi pilihan sementara.

Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin Tumpat
Sumber : facebook.com


1997, bermula kembara di bumi Bandar Diraja Perak.


Cerita 6 : Kembara Kuala 2~ Pertama kali melalui Jalan raya Jeli-Gerik atau Lebuhraya Timur Barat. Abah setia memandu proton saga kelabunya, membawa ambo ke bumi Perak. Kembara ini juga ditemani arwah Che dan cikgu Mad Nor (jiran kami semasa tinggal di kuarters lama).

Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan adalah sepanjang 125 kilometer yang beroperasi mulai Julai 1982 dan laluan ini memendekkan perjalanan dari Utara ke pantai Timur, khususnya Kelantan. Lebuh raya ini membolehkan pemandu dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara menuju ke Kelantan tanpa perlu turun ke Selatan melintasi beberapa negeri untuk sampai ke destinasi. Jarak perjalanan menjadi lebih dekat dan banyak masa dijimatkan.
Jalan raya Jeli-Gerik atau Lebuh raya Timur Barat
Sumber : mstar.com.my

Hentian Rewat dan Rawat Titiwangsa
Sumber : percutianbajet.com

Lebih daripada itu, laluan ini adalah lambang kegigihan dan pengorbanan generasi dahulu untuk keselesaan generasi masa kini dan akan datang. Dengan strategi serampang dua mata, pembinaan lebuhraya ini juga bertujuan untuk mengekang kegiatan pengganas komunis khususnya di kawasan Gerik. Ketika ancaman komunis antara tahun 1967 hingga mereka meletakkan senjata di bawah Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989, Gerik adalah kawasan hitam. Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, telah mencetuskan idea pembinaan lebuhraya ini pada 1967 dengan matlamat menjadikannya `lebuh raya pertahanan’, sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan komunis.

Masih ambo ingat, antara jam 12 tengah malam dan 1 pagi, kami singgah di Batu Melintang, tidak jauh dari kem tentera untuk hilangkan dahaga dan bagi Abah, untuk hilangkan mengantuk beliau. Sempat juga ambo membelek-belek buku atlas dunia yang baru dihadiahkan Abah.

Batu Melintang merupakan sebuah daerah di dalam jajahan Jeli, Kelantan. Aliran sungai Pergau mengalir di sekitar empangan hidroelektrik Pergau berada di daerah ini. Gunung Reng yang menjadi tarikan pengguna lebuh raya Timur Barat turut terletak di daerah ini. Gunung Reng merupakan salah satu tempat bersejarah yang menjadi tarikan para pelancong.

Gunung Reng Jeli
Sumber : utusantv.com


Mengikut sejarah, tapak Gunung Reng ini asalnya adalah sebuah kampung bernama Kampung Tala yang dibuka oleh Tok Tadoh berketurunan Pulang Hari dari Jawa kira-kira 1,400 tahun dahulu. Malah, kawasan ini juga dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Puteri Sa'adong (Raja wanita kedua Kelantan dan anak angkat Cik Siti Wan Kembang) untuk seketika, setelah berpindah dari Bukit Marak di Pasir Puteh.

Jalan yang berlekuk-lekuk dan banyak selekoh agak merbahaya ini sebenarnya tidak asing bagi Abah. Beliau sendiri melalui jalan ini sejak lebih setahun lepas kerana menyambung pengajian di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) Kedah.

Subuh kami di Masjid Rizwaniah tanggal 13 Januari. Permulaan episod berdikari tanpa Ma dan Abah.

Masjid Rizwaniah Kuala Kangsar
Sumber : musmun.blogspot.com



Cerita 7 : Kembara Berdikari ~ Semasa sesi pendaftaran, antara guru yang awal ditegur Abah bernama Mior. Kata Abah, muka guru tersebut iras dengan antara kenalannya di IPDA dan ternyata, guru tersebut sememangnya adik-beradik kenalannya.

Tanggal 13 Januari 1997, hari pertama di Bandar Kuala
Sumber : Koleksi peribadi

Abah tidak menunggu lama. Selesai mengangkut barang ke dorm dan membeli sedikit barangan keperluan di pekan, Abah meninggalkan ambo di tempat baru, Asrama Persediaan (Prep School) sebelum Asar. Setiap pelajar diberikan nombor dobi dan ambo ditempatkan di dorm C, tingkat atas bangunan 2 tingkat tersebut.

Pembinaan bangunan Prep School telah dimulakan pada tahun 1911 dan bersedia untuk menerima budak baru pada Januari 1913. Tambahan pertama bangunan Prep School telah dilakukan pada tahun 1940. Satu dewan makan baru telah ditambah di hujung barat bangunan. Dengan tambahan ini, sekali gus meningkatkan jumlah kapasiti Prep School kepada 60 daripada 40 sebelumnya. Pada tahun 1952, satu lagi kerja tambahan dan pengubahsuaian telah dibuat untuk menampung jumlah kapasiti 95. Pada tahun 1957, terdapat perubahan dasar apabila sekolah ini menjadi sekolah menengah sepenuhnya dan hanya menerima pelajar lelaki di Tingkatan 1. Meskipun terdapat beberapa perubahan polisi selepas itu, namun bermula tahun 1972 Prep School menjadi kediaman pelajar Tingkatan 1 sehingga kini.

Sebaik sahaja sepeninggalan Abah, hati mula terasa sebak. Bukannya tidak pernah berjauhan dari keluarga. Pernah ke beberapa Kem seperti Kem Perkhemahan Pengakap dan Kem Sains sejak darjah 4 yang paling lama mengambil masa seminggu. Tambahan pula, selama ini membesar dalam persekitaran sekolah dan asrama. Namun kali ini, terasa benar kelainannya.
Prep School - Asrama pelajar tingkatan 1
Sumber : berita.mcoba.org



Cerita 8 : Kembara asas kepimpinan ~Tahun awal di bumi Kuala Kangsar, kembara ambo hanya sekadar berulang-alik dari sana ke kampung tercinta. Pastinya setiap kali cuti sekolah. Pernah sekali ke Jitra, Kedah mengikut Abah, sampai malam di sana dan keesokan paginya, terus pulang ke Kelantan. Kadang-kadang ke daerah atau kampung sekitar menjadi pasukan sorak sekolah (cheering team), yang diwajibkan kepada pelajar.

Rakan sekelas 1 Unggul - Kelas harian/ pembelajaran (siang)
Sumber : Koleksi peribadi

Rakan sekelas 1 Unggul - Kelas persediaan/ rujukan (malam)
Sumber : Koleksi peribadi

Tahun pertama masih dapat merasai bas percuma, menurut sumber katanya ada geran dari kementerian. Perjalanan bersama anak-anak Kelantan yang berjauhan dari keluarga yang memakan masa lebih kurang sepertiga hari menambahkan lagi ikatan persahabatan antara kami. Malah rakan-rakan dari Besut juga turut bersama.

Jika dibandingkan di sekolah, bukannya ambo tidak pernah dilantik sebagai pimpinan pelajar. Cuma zaman itu, boleh dikatakan hampir kebanyakan idea dan perancangan telah diatur oleh guru dan kami melaksanakan sahaja. Di sini, ambo mulai mengenali kepimpinan dan pentadbiran di peringkat nasional. Antara yang memberi kesan ialah latihan dalam kelas Bahasa Inggeris yang diberikan Cikgu Mat Saat iaitu 'The most admired person'.


Sumber : sinarharian.com.my





Comments

Popular posts from this blog

Penilaian Sensori Makanan : Ujian Diskriminatif dan Deskriptif

MS 1500

Sains Makanan : Suatu Pengenalan Siri 1