Salam Maal Hijrah 1446
Bismillah

Salam Maal Hijrah 1446

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah keadaan mereka” (al-Ra’d : 11)
Sepanjang tahun 2016 sehingga 2024, sudah pasti banyak berlaku peristiwa yang telah lebih mematangkan diri dalam kehidupan. Ya, lama tidak mencoret di blog ini, orang kata dah bersawang. Banyak coretan direkodkan di media sosial terutama mukabuku. Dalam 8 tahun ini, sebahagian #misi1444 yang digerakkan sejak 2014 dapat dicapai. Dari institusi pengajian tinggi (IPT) membimbing batch pertama Diploma Pengurusan Industri Halal pada 2014 kemudian berhirah ke institusi pengajian tinggi yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda (ISM) Pengurusan Industri Halal pada 2017. Sejak 2022, diamanahkan untuk memimpin Pusat Kecemerlangan Halal dengan peranan yang lebih besar untuk membangunkan ekosistem bakat Halal yang lebih lestari. Lapan tahun ini menyaksikan lebih 20 IPT telah menawarkan program halal di peringkat Diploma dan hampir 10 IPT menawarkan program halal di peringkat ISM.
Tahun 2018 juga menyatukan kami sekeluarga setelah 9 tahun berhubungan jarak jauh. Dua minggu, sekali stesyen bas Terminal 1 atau Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menjadi tempat untuk menaiki bas pulang ke bumi Serendah Sekebun Bunga, Serambi Mekah. Paling mencabar pada tahun 2014 apabila banjir besar melanda, dengan isteri baru bersalin cahaya mata ketiga. Pandemik yang melanda 2020 menyebabkan kami 'tersangkut' di kampung hampir 2 bulan sebelum kami sekeluarga pertama kali beraya di perantauan. Solat Sunat Hari Raya di rumah, ziarah raya dengan jumlah tetamu yang dihadkan. Tidak sampai setahun kami berpindah ke rumah sendiri setelah menyewa setahun. Hikmahnya mengeratkan kami sekeluarga, solat jemaah bersama, majlis ilmu bersama. Amat luas kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya. Alhamdulillah. Sesi pembelajaran dan program secara atas talian mula menjadi budaya baru.
Tahun 2021 paling mencabar dan menguji kesabaran diri. Ma sedang bergelut dengan kanser. Doktor maklumkan hanya bertahan untuk 6 bulan. Isteri diuji dengan pendarahan keguguran lagi setelah pertama kali pada 2020. Pada masa yang sama, selaku Ketua Program sedang berhempas pulas untuk persediaan akreditasi penuh program ISM Pengurusan Industri Halal oleh pihak MQA. Ditambah pula dengan mengikuti Sijil Profesional Pengauditan Halal Dalaman dan baru sahaja mendaftar untuk PhD Industri Halal. Allah SWT lebih sayangkan Ma setelah hampir 3 minggu 'ditahan' di hospital yang serba kekurangan bagi seorang pegawai yang bersara dari kerajaan dek kerana keutamaan diberikan pesakit covid. Tak dapat dilupakan apabila Ma minta ambilkan gambar bersama Doktor dan misi-misi (jururawat) yang menjaganya dari awal, selepas mendapat 'lampu hijau' untuk pulang ke rumah.
Perisitiwa hijrah mengembalikan ingatan kita kepada pengorbanan dan perpaduan umat Islam atas segala perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta sabahat baginda RA yang telah melakukan Hijrah setelah mendapat perintah Allah S.W.T. Didoakan, ketibaan tahun baru Hijrah ini membawa perubahan kepada semua terutama diri sendiri untuk berhijrah kepada sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan.
Comments
Post a Comment